FOTO HIASAN.
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

SETIAP manusia memiliki nafsu dalam diri masing-masing.

Selain menghadapi cabaran menentang godaan syaitan, manusia juga perlu berdepan cabaran nafsunya sendiri.

Nafsu jika tidak diurus dengan baik akan menjadikan diri tersungkur melakukan kemungkaran.

Ibnu Qayyim al-Jawziyah daam kitabnya Asbab al-Takhallus min al-Hawa menyebut, nafsu adalah kecenderungan diri kepada sesuatu yang selaras dengan keinginannya.

Nafsu perlu dikawal kerana tidak semua keinginan diri menjurus kepada perkara yang baik.

Selain dikaitkan dengan perkara buruk, nafsu juga boleh menyebabkan diri berasa berat melakukan perkara baik.

Misalnya, apabila diri terjaga daripada tidur pada waktu malam, boleh sahaja diri mengambil wuduk lantas menunaikan solat sunat malam.

Namun, nafsu boleh menjadi penghalang utama untuk melakukan amalan baik berkenaan.

Justeru, sifat sabar perlu diterapkan dalam diri untuk melakukan perkara yang baik. Sabar bukan sahaja ubat mujarab ketika ditimpa sesuatu musibah, namun penting dalam mendidik diri istiqamah melakukan amalan kebaikan.

Sememangnya dalam usaha melakukan kebaikan, banyak rintangan datang dari pelbagai sudut.

Penuntut ilmu contohnya, akan menemui 1,001 rintangan tatkala melalui proses menuntut ilmu.

Sebab itu, ada dalam kalangan penuntut ilmu yang ‘tersungkur’ di pertengahan jalan.

Mereka tidak mampu meneruskan pengajian lalu mengambil jalan untuk berhenti belajar. Seorang tabi’in bernama Yahya bin Abi Kathir pernah menyatakan, seseorang itu tidak mampu menguasai ilmu dengan kerehatan tubuh badan.

Begitulah ungkapan keramat yang menggambarkan kesukaran yang perlu ditempuhi penuntut ilmu.

Semua kesukaran itu tidak akan mampu ditanggung kecuali dengan memiliki kesabaran.

Begitu juga dalam usaha dakwah menyeru manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Ia tugas yang sarat dengan rintangan. Itulah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan rasul yang lain.

Meskipun mereka semua insan pilihan Allah SWT yang dianugerahkan mukjizat serta dijanjikan kedudukan istimewa di akhirat nanti namun mereka tetap menempuh jalan sukar dalam melaksanakan tugas dakwah.

Golongan rasul dibenci oleh kaumnya. Mereka dilemparkan pelbagai tuduhan, malah diganggu sehingga menyebabkan nyawa terancam.

Jadi tidak pelik apabila pendakwah menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha menyebarkan dakwah.

Ia kerja yang tidak semudah yang disangkakan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, para rasul sebelummu (Muhammad) pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (semua janji-Nya), dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian daripada khabar berita para rasul itu.” (Surah al-An’am, ayat 34)

Sabar adalah jalan terbaik untuk setiap Muslim memastikan dirinya istiqamah melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Setiap kebaikan pasti pada akhirnya mendapat ganjaran istimewa daripada Allah SWT. Ketika berdepan rintangan agar usaha melakukan kebaikan terbantut, diri perlu dikuatkan dengan sifat sabar untuk terus melakukan kebaikan.

Syurga dengan segala kenikmatan di dalamnya menanti golongan yang sabar dalam melakukan kebaikan.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:03 AM