Skip this ad x
DI posisi perjuangan Islam dibawa Rasulullah SAW, golongan wanita banyak berjasa dan berdiri teguh di belakang tentera Islam. FOTO hiasan
Kembara mukmin bersama Fahimi Zakaria

SETIAP kali berbicara soal wanita, terbayang di benak fikiran mereka golongan lemah, wajib dilindungi dan orang penting di belakang seorang lelaki.

Pada zaman jahiliah, wanita tiada nilai kemuliaan sedikitpun, bahkan hanya dijadikan pemuas nafsu lelaki yang tiada pedoman.

Lebih dahsyat, bayi perempuan turut ditanam hidup-hidup. Sejarawan Islam menyebut, zaman itu bermula sejak kurun ke-7 sebelum kelahiran Rasulullah SAW iaitu sekitar 250 tahun sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul. (Rujuk Mukhtasar fi nasha’h al-lughah al-‘arabiyyah wa lahjatiha wa ‘ulumiha, 2011)

Selain itu, sejarawan Islam turut menceritakan masyarakat Arab pada zaman jahiliah sangat benci wanita, bahkan mereka berasa malu jika isteri melahirkan bayi perempuan.

Justeru, mereka menanam bayi perempuan hidup-hidup dan membunuh hanya kerana rasa malu dan tidak mahu dihina orang lain. (Rujuk Dustur al-usrah fi zilal al-Quran, 1987)

Allah SWT merakamkan keadaan mereka dalam al-Quran yang bermaksud: “Apabila dikhabarkan kepada mereka dengan kelahiran anak perempuan, maka berubahlah wajah mereka menjadi warna hitam kerana menahan kemarahan. Lalu disembunyikan berita itu disebabkan buruknya perkara itu. Justeru, dia berkira-kira sama ada untuk terus menjaganya dengan penuh kehinaan atau menguburkannya sahaja. Alangkah buruknya apa yang dilakukan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58)

Jika tidak menanam bayi dalam keadaan hidup, mereka tetap akan letak bayi itu di tempat yang hina sehingga dia besar dengan dipakaikan pakaian jijik sebelum dihantar ke kawasan pedalaman sebagai pengembala unta.

Bagi isteri kematian suami pula, seluruh harta peninggalan suami akan diambil termasuk pakaian yang dipakainya.

Tiada siapa lagi akan mengahwininya melainkan dia akan beranak-pinak tanpa bersuamikan yang halal.

Jika wanita itu kaya, mereka akan membunuh suaminya dan memaksa berkahwin dengan salah seorang daripada mereka.

Setelah itu, hartanya diambil lalu diceraikan semula secara zihar (menyamakan anggota syahwat isterinya dengan ibunya).

Bagaimanapun, selepas kedatangan Islam, wanita diangkat ke martabat yang mulia di sisi Allah dan Rasul-Nya.

Peranan dan kedudukan wanita lebih jelas ketika Islam memegang tampuk pemerintahan di Madinah.

Mereka bukan lagi pengembala, pembawa sial dan manusia hina, tetapi menjadi sayap kiri perjuangan Islam.

Di posisi perjuangan Islam dibawa Rasulullah SAW, golongan wanita banyak berjasa dan berdiri teguh di belakang tentera Islam.

Dalam peristiwa Hijrah, As-ma’ bin Abu Bakar menghantar makanan kepada Rasulullah dan bapanya, Abu Bakar.

Jika disebut pula wanita bernama Khadijah binti Khuwailid, beliau memberi sumbangan besar terhadap perjuangan Islam.

Islam dipandang oleh masyarakat Arab kerana adanya wajah jutawan takwa seperti beliau.

Bahkan, perkahwinan Baginda SAW dengan isteri-isterinya antara lain bagi menjaga kemuliaan wanita dan agamanya.

Penulis pensyarah di Management & Science University (MSU)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 10:09 AM