MEDIA sosial sering disalahgunakan pihak tertentu untuk merendahkan, menghina serta mencaci orang lain. FOTO hiasan
Sedetik rasa bersama Dr Azlan Shaiful Baharum

SALAH satu perkara negatif di media sosial adalah ia alat yang digunakan untuk memudahkan seseorang merendahkan, menghina serta mencaci orang lain.

Semua perbuatan itu belum tentu berani dilakukan seseorang di alam nyata. Di dunia maya, seseorang boleh menyamar di sebalik nama gelarannya.

Salah satu yang banyak dilakukan segelintir warganet yang tidak berakhlak baik ialah menghina fizikal seseorang sama ada kekurangan atau kecacatan tubuh seseorang yang disebut body shaming.

Kadang-kadang mereka melakukan perbuatan mengejek fizikal seseorang itu tanpa sedar.

Ia mungkin ungkapan yang dikeluarkan secara tidak sengaja bagi menceriakan suasana atau ada kalanya bergurau melampaui batas serta memang bertujuan menghina kenalan atau rakan sekerja.

Sesetengah orang melakukan body shaming tanpa sedar kerana memang sudah kebiasaan menjadi tabiat buruk mereka.

Tentunya orang yang menjadi sasarannya berasa tidak selesa. Perbuatan body shaming itu hakikatnya jelas haram dan ditegah oleh Islam.

Semua ciptaan Allah ada kelebihan serta hikmahnya. Ia tidak sepatutnya dicela dan dihina sedemikian rupa.

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu sebaik-baik kejadian.”

Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas’ud RA.

Beliau memiliki betis yang kecil. Ketika beliau mengambil ranting untuk dijadikan siwak, angin berhembus dan menyingkap betisnya yang kecil itu lalu sahabat Nabi tertawa kerana melihat betis Ibnu Mas’ud yang kecil itu.

Maka Baginda menegur perbuatan sahabat dengan bersabda yang bermaksud: “Apa yang membuat kalian ketawa?”

Mereka berkata, “Wahai Nabi Allah kerana kedua-dua betisnya yang kurus.”

Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di timbangan daripada Gunung Uhud.”

Hadis itu menunjukkan, menghina fizikal seseorang adalah haram. Jika kita perhatikan, sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan namun hanya ketawa saja. Ia adalah haram dan mereka ditegur oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT melarang kita merendah-rendahkan serta menghina orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita (yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil- memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Sehubungan itu, peliharalah tutur kata kita kerana apa sahaja yang dituturkan akan memperlihatkan sahsiah orang yang bercakap.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 9:31 AM