KAMPUNG Ayer yang mesti dikunjungi jika ke Brunei.
AZLAN bersama rakannya, Ariffshah Hasan (kanan) menggunakan khidmat
TAZKIRAH ringkas selepas solat di Masjid Sultan Hassanal Bolkiah
MASJID Sultan Hassanal Bolkiah.
Mohamad Fahd Rahmat


MENURUT Dr Muhammad Hadi Muhammad Melayong dalam rencana di Media Permata, Pengislaman Awang Alak Betatar 651 tahun yang lalu (dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah) adalah satu penghijrahan kepada agama Islam.

“Penghijrahan baginda adalah satu perjuangan yang besar dalam sejarah kesultanan Brunei dan menjadi warisan bangsa Brunei hingga ke hari ini.

“Oleh itu, bermulalah zaman pemerintahan Islam di Brunei Darussalam pada 1368 Masihi,” kata guru, Azlan Awang, 36, yang berkongsi pengalamannya mengembara ke Brunei Darussalam pada 1 hingga 3 November lalu bersama wartawan, Mohamad Fahd Rahmat.

Saya dan beberapa rakan berpeluang mengembara ke Brunei, baru-baru ini untuk menghayati corak kehidupan dan kekayaan budaya masyarakatnya.

Brunei mengamalkan sistem pemerintahan monarki di bawah pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah dengan penduduknya berjumlah kira-kira 500,000 orang.

Sepanjang di negara berkenaan, kami dapati syiar Islam sangat subur di bawah pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah.

Majlis ilmu diadakan di seluruh masjid di Brunei, malah masjidnya memberi keselesaan kepada jemaah.

Antara masjid yang kami lawati ialah Masjid Sultan Hassanal Bolkiah dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin.

Seni bina masjid ini sarat dengan seni bina kemelayuan dan unsur tradisional.

Masjid ini juga sarat dengan aktiviti keagamaan menyebabkan kami berasa selesa seperti berada di tanah air.

Berdasarkan pemerhatian kami, kehidupan masyarakatnya sangat harmoni dan sejahtera dengan agama Islam menjadi tunjang kehidupan masyarakat.

Untuk lebih mengenali Brunei, kami turut melawat Muzium Maritim dan Muzium Teknologi Melayu.

Antara barangan dipamerkan di Muzium Teknologi Melayu ialah replika rumah masyarakat Melayu tradisional Brunei yang membawa kita kepada corak kehidupan masyarakat Brunei tradisional.

Seterusnya, kami ke Muzium Kebesaran Diraja (Royal Regalia Museum) di mana sejarah pengasas kesultanan Brunei dan alat kebesaran diraja dipamerkan.

Muzium ini juga mempamerkan koleksi hadiah dari negara luar kepada Kerajaan Brunei. Muzium Kebesaran Diraja ini boleh saya katakan sebagai lokasi yang wajib dilawati jika ke Brunei.

Kami kemudian melawat Kampung Ayer untuk melihat kehidupan masyarakat serta pemandangan sekitar dengan menaiki bot dan ia cukup mengujakan.

Sebelum pulang, kami sempat ke Restoran Aminah Arif untuk menjamah keenakan ambuyat yang juga menu tradisional masyarakat Brunei.

Secara keseluruhan, Brunei adalah negara yang memiliki kepelbagaian dan kaya dengan seni budaya, kehidupan masyarakat dan keagamaan.

Masyarakatnya suka membantu selain persekitarannya bersih. Hal ini menjadikan Brunei sebagai lokasi yang mesti dilawati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:45 AM