GAMBAR Hiasan
Nor Asree Mohd Noh

RAMAI dalam kalangan masyarakat khususnya kaum muda gemar bermain permainan melalui telefon bimbit.  Hal itu kerana kebanyakan permainan video itu sangat mudah diperoleh kerana ia boleh dimuat turun saja melalui aplikasi telefon secara percuma.

Fenomena itu semakin menjadi-jadi dan ia  seolah-olah menjadi satu penyakit baharu yang berlaku dalam masyarakat. 

Dalam Islam, secara umumnya, hukum bermain permainan video adalah dibolehkan selagi tidak bertentangan dengan syariat sebagaimana yang disebut oleh sebahagian cendikiawan Islam contohnya, Sheikh Yusuf al-Qara keadaan lalai sehingga menjejaskan diri sendiri, hubungan dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia. 

Bentuk kelalaian seperti tidak menjaga solat atau terus meninggalkan solat  disebabkan terlalu asyik bermain permainan video boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

Sebagaimana kita ketahui, ancaman serta hukuman bagi golongan yang meninggalkan solat adalah mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Saqar. 

Sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai daripada menyempurnakan solatnya.” (Surah al-Ma‘un, ayat 4 hingga 5)

Manakala dalam satu lagi ayat, Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang mengerjakan solat.” (Surah al-Muddaththir, ayat 42 hingga 43) 

Selain itu, keasyikan seseorang bermain permainan video juga akan memberikan implikasi besar kepada institusi keluarga  dan pekerjaannya.

Apabila terlalu leka bermain, dia lupa serta tidak menghiraukan keadaan diri dan sekelilingnya. Oleh itu, tidak hairan jika ada yang hidup dalam dunianya sendiri dan tidak tahu bersosial.

Lebih menyedihkan, ada juga langsung tidak menghiraukan waktu makan dan minum sehingga boleh menjejaskan kesihatan diri. 

Justeru, pada peringkat awal, ibu bapa perlu memainkan peranan memperbetulkan masalah anak mereka yang ketagihan permainan video.

Proses pendidikan dan pembendungan boleh dilakukan oleh ibu bapa dengan mengawal pergerakan sambil memberikan penerangan mengenai kesan buruk perbuatan terbabit buat masa depan mereka kelak.

Ia bertepatan dengan kaedah usul fekah iaitu saddu al-Dhari‘ah  yang bererti menutup jalan-jalan yang membawa kepada perkara yang buruk.

Pada masa sama, ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik buat mereka dengan memberi masa bersama anak-anak seperti menjalankan aktiviti luar.

Dengan cara itu, anak-anak tidak berasa tersisih daripada keluarga selain tidak mengalami kebosanan apabila masa mereka sentiasa terisi tanpa perlu mencari hiburan lain.

>>Penulis Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Pendidikan Kolej Universiti Islam Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 8:29 AM