GAMBAR hiasan.
Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki

CADANGAN baharu Kabinet Taiwan meluluskan satu draf pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang akan menjadikan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk sebagai kesalahan bunuh menunjukkan betapa seriusnya bahaya arak kepada manusia.

Walaupun cadangan itu memerlukan kelulusan di peringkat parlimen, namun ia menjadi usul yang menggemparkan susulan terdapat banyak kes kematian berprofil tinggi yang mencetuskan kemarahan meluas masyarakat setempat.

Begitu juga dengan di negara kita, kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin membimbangkan. Mengapakah perkara sedemikian terjadi?

Adakah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau terlalu mudah minuman keras didapati di pasaran sehingga jumlah kematian saban tahun meningkat angkara minuman yang diharamkan agama Islam itu?

Menurut kacamata Islam, arak adalah perkara yang memabukkan.

Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak iaitu haram yang membawa mudarat kepada kehidupan manusia.

Menurut ijmak  ulama, pengharaman arak kerana ia memabukkan.

Oleh itu, pengharaman itu mestilah sama terhadap semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.

Ini berdasarkan satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud, semua yang memabukkan adalah haram.

Selain itu, terdapat satu hadis riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi sesungguhnya manusia dalam kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”

Tidak hairanlah kita melihat lambakan arak di pasaran dijual secara terbuka terutama di premis 24 jam.

Ia  boleh membawa kesan serius kepada masyarakat jika tidak dibendung.

Ketika seseorang berada dalam keadaan mabuk, pemikiran akan menjadi terlalu kacau sehingga menghalang fungsi akal.

Al-Quran menukilkan dalam Surah al-Maidah, ayat ke-91, yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Disebutkan juga dalam satu hadis balasan bagi mereka yang meminum arak ketika hidup di dunia.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Arak adalah kunci segala kejahatan. Bahana arak boleh menyebabkan keluarga bahagia menjadi porak-peranda  dan pekerja yang berdedikasi menjadi seorang yang bermasalah.

>>Penulis penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 8:04 AM