SULIMAN kini dalam misi kayuhan solo Kembara Masjid di Jepun 2019 dari 9 November hingga 27 November ini.
Suliman Abd Lah

BIAR sedikit namun sumbangan untuk pembangunan Islam itu biarlah ikhlas.

Itu pendapat Penolong Pengurus Unit Elektrik dan Elektronik Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Suliman Abd Lah, 49, berkaitan usahanya dalam membantu penyebaran syiar Islam.

Ketika ini, Suliman terbabit dalam misi kayuhan solo melalui Kembara Masjid di Jepun 2019 bermula 9 November lalu dan berakhir 27 November ini.

“Kita sebagai hamba Allah SWT apabila sumbangkan sesuatu untuk pembangunan Islam di seluruh dunia, biarlah sedikit asalkan ada keberkatannya, insya-Allah,” katanya yang turut dikenali sebagai Man Gerek ketika berkongsi kisahnya bersama wartawan, Mohamad Fahd Rahmat.

Komuniti Islam di Jepun masih sedikit dan ramai dalam kalangan rakyat negara itu tidak mengenali Islam.

Jika ada pun, mereka mendapat maklumat berkaitan Islam melalui laman sosial atau Internet.

Paling mengujakan sepanjang misi ini, saya menyaksikan 11 wanita Jepun mengucapkan dua kalimah syahadah ketika saya singgah di Masjid Hamamatsu.

Sebahagian daripada wanita ini mengenali Islam melalui YouTube.

Ketika di Hamatmasu, saya dapati ada golongan tabligh yang singgah dari rumah ke rumah penduduk tempatan untuk menyampaikan dakwah mengenai Islam.

Dalam kembara ini juga, saya menyampaikan sumbangan daripada rakyat Malaysia kepada komuniti Islam di sini dan mereka berterima kasih di atas sumbangan berkenaan.

Selain warga tempatan, orang luar yang bekerja di Jepun seperti warga Pakistan, Bangladesh dan Indonesia turut mengimarahkan masjid serta berdakwah.

Saya turut mengambil peluang mengembara ke Masjid Hyuga dan Chiba, Pusat Pertukaran Budaya Islam di Shinagawa, Masjid Tokyo, Pusat Rakyat Turki Tokyo, Masjid Fuji, Surau Shizuoka, Masjid Muhammadi Hamamatsu, Masjid Nagoya dan Masjid Suzuka.

Saya juga akan ke Masjid Osaka, Masjid Kobe, Surau Himeji, Pusat Islam Okayama, Trek Basikal Kaido, Masjid Mihara, Pusat Islam Hiroshima, Atomic Dome, Hotel Park Side Hiroshima, Hotel Hikari Daiichi, Hotel Shimonoseki Station dan Masjid Al Nour Islamic Fukuoka sebelum pulang ke tanah air.

Tiada masalah berkayuh dalam cuaca sejuk di Jepun.

Saya seronok dan setakat ini Alhamdulillah Allah beri kekuatan dan masih sihat hasil doa daripada semua termasuk masyarakat dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 9:15 AM