GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

SEBELUM tidur kita disunatkan berwuduk. Sekiranya terbatal, perlukah bangun dan memperbaharui wuduk dan apakah kelebihan berwuduk sebelum tidur?

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda kepadaku maksudnya: “Apabila kamu datang ke tempat perbaringan, hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk solat, kemudian berbaring atas lambung kanan dan berdoalah: ‘Ya Allah, aku serahkan diriku pada-Mu dan aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku sandarkan belakangku kepada-Mu dengan penuh rasa harap dan takut kepada-Mu. Tiada tempat bersandar dan selamat selain daripada-Mu. Aku beriman dengan kitab-Mu yang Kamu turunkan dan nabi-Mu yang Kamu utuskan.’”

“Sekiranya kamu mati, nescaya kamu mati di atas fitrah dan jadikanlah rangkuman
doa ini sebagai akhir apa yang kamu baca. (Riwayat al-Bukhari - 6311)

Dalam sebuah hadis yang turut diriwayatkan al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” (Riwayat al-Bukhari - 247 dan Muslim - 2710)

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Hadis itu terdapat tiga sunah. Salah satunya berwuduk untuk tidur kerana dibimbangi Allah mematikannya tanpa taharah (tanpa dalam keadaan bersuci). Seterusnya supaya mimpinya benar serta jauh daripada permainan syaitan dalam mimpinya dan yang menakutkannya.  Ketiga, jika dia mati, maka akhir amalannya di dunia adalah bertaharah serta zikrullah. (Lihat  Ikmal al-Mu’lim, 8/207)

Menjawab persoalan di atas, apabila seorang Islam berwuduk untuk tidur dan kemudian terbatal sebelum dia tidur, maka sunat baginya mengulangi wuduk.

Ini kerana maksud wuduk ialah supaya seseorang tidur dalam keadaan suci.

Berdasarkan sebuah hadis daripada Muaz bin Jabal R.A, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang Islam yang tidur dengan berzikir dan dalam keadaan taharah, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali Allah SWT perkenankan hajatnya.” (Riwayat Abu Daud - 5042) dan Ibn Majah - 3881)

Muhammad Kamil Abd al-Somad, dalam bukunya  al-I’jaz al-Ilmi fi al-Islam wa al-Sunnah al-Nabawiyah  menjelaskan, manfaat dalam wuduk sangat  besar untuk tubuh badan manusia.

Mula  daripada membasuh tangan dan menyela-nyela jari, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam lubang hidung, membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan sampai siku, mengusap kepala, membasuh telinga, kemudian membasuh kaki hingga buku lali.

Justeru, bagaimana pula jika dilakukan wuduk sebelum tidur? Ramai pakar kesihatan menganjurkan agar membersihkan kaki, mulut dan muka sebelum tidur.

Bahkan, sejumlah pakar kecantikan yang menghasilkan alat kecantikan mencadangkan agar dapat menjaga kesihatan kulit muka.

Selain itu, galakan berwuduk juga mengandungi nilai ibadat  yang tinggi.

Jika seseorang berada dalam keadaan suci, bererti dia dekat dengan Allah.

Sebenarnya, terlalu banyak rahsia dan hikmah wuduk kerana kita yakin setiap perintah Allah pasti mempunyai maslahat dan manfaat serta menolak mudarat.

 

>>Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 8:53 AM