GAMBAR hiasan.
Mohd Ajib Ismail

ALLAH SWT menciptakan manusia dengan kepelbagaian latar belakang bagi tujuan saling mengenali dan melengkapi keperluan masing-masing.

Setiap insan harus memiliki sifat peduli sesama manusia agar mereka saling membantu.

Manusia diciptakan Allah SWT dalam keadaan lemah. Ia sebagaimana dijelaskan dalam Surah An-Nisa’, ayat 28 yang bermaksud: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Dalam satu lagi ayat dalam Surah Ar-Rum, ayat 54, Allah berfirman yang bermaksud: “Allah lah yang Menciptakan kamu daripada keadaan lemah, kemudian Dia Menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban.”

Berdasarkan ayat-ayat itu, bukan bermaksud keadaan lemah menjadi alasan buat manusia tidak melakukan sesuatu.

Apabila menyedari kelemahan, kita akan berusaha mencari sumber kekuatan bagi memperbaiki diri.

Dalam masyarakat, golongan yang sering dikategorikan sebagai orang lemah terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada kesempitan dari segi ekonomi, penderitaan yang menyebabkan tidak mampu bekerja serta tidak berdaya sama ada fizikal atau mental selain ditindas kerana dizalimi.

Golongan itu mungkin terdiri daripada wanita, anak yatim, orang miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Golongan lemah itu amat memerlukan perlindungan dan pembelaan agar mereka tidak mengalami penderitaan lebih parah.

Allah SWT memerintahkan agar melindungi kaum yang lemah seperti firman-Nya dalam Surah An-Nisa’, ayat 75 yang bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).”

Ahli tafsir menjelaskan, perkataan al-mustad’afin adalah sebagai golongan lemah dan orang yang dianggap tidak berdaya oleh masyarakat.

Manusia tidak boleh hidup sendirian, sebaliknya perlu bersama orang lain seperti keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan jiran tetangga.

Sifat peduli terhadap keperluan dan kesukaran dialami orang lain harus disemai dalam masyarakat melalui keprihatinan dan empati.

Empati bermaksud menghayati situasi sama terhadap kesusahan dialami orang lain yang akan kemudiannya membangkitkan semangat untuk membantu.

Bantuan terhadap golongan memerlukan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada zakat, sedekah, bantuan sosial, perlindungan dan lain-lain.

Di peringkat Wilayah Persekutuan misalnya, mereka dibantu melalui bantuan zakat serta program menggalakkan golongan asnaf berdikari.

>>Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 9:13 AM