GAMBAR hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

DALAM keasyikan menyaksikan manusia memajukan kehidupan duniawi, kita jarang mengakui semua yang terjadi adalah atas keizinan dan anugerah daripada Allah SWT.

Akal fikir kita sering ‘terperangkap’ bahawa manusia itu makhluk hebat sehingga lupa segala yang terhasil itu anugerah Allah semata-mata.

Sebagai umat Islam, kita seharusnya memulangkan setiap pujian atas nikmat akal fikiran serta keupayaan yang dimiliki kepada Allah SWT.

Betapa besarnya kekuasaan Allah SWT yang memberi nikmat akal fikiran kepada makhluk ciptaan-Nya.

Bagaimanapun, kita tidak seharusnya menjadi ‘penonton’ pada zaman perebutan ilmu pengetahuan hari ini.

Umat Islam mampu bangkit menjadi umat terbilang.

Setiap Muslim adalah khalifah Allah yang diamanahkan untuk memanfaatkan apa sahaja kurniaan-Nya.

Rasulullah SAW dilaporkan sentiasa berdoa agar dikurniakan Allah SWT dengan ilmu pengetahuan yang boleh mendatangkan manfaat.

Hal itu dinyatakan seorang sahabat karibnya, Abu Hurairah yang meriwayatkan, Baginda SAW pernah berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, kurniakanlah aku manfaat daripada apa yang Engkau ajarkan kepadaku dan ajarkanku perkara yang bermanfaat bagiku dan tambahkanlah bagiku ilmu pengetahuan, segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Manakala Ummu Salamah pula memberitahu, Rasulullah SAW pernah berdoa pada solat Subuh ketika hendak memberi salam dengan lafaz doanya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Syaibah dan al-Baihaqi)

Jabir seorang lagi sahabat Rasulullah SAW turut menceritakan, Baginda SAW sering menasihatkan umatnya berdoa kepada Allah bagi memperoleh ilmu yang bermanfaat.

Sebagaimana disabdakan Baginda SAW yang bermaksud: “Mohonlah kalian kepada Allah akan ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah daripada Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.” (Hadis Riwayat Abu Syaibah sebagaimana terkandung dalam Musannafnya)

Apa itu ilmu yang bermanfaat? Adakah ilmu itu tertakluk pada perolehan ilmu akhirat sahaja?

Sebagai umat Islam, tentunya kita memberikan jawapan ilmu yang bermanfaat adalah ilmu agama yang akan memandu kehidupan dunia untuk dijadikan bekalan akhirat.

Apa sahaja ilmu  bersangkutan agama adalah ilmu bermanfaat. 

Dalam doa yang disabdakan Baginda SAW itu, lafaz ilmu yang bermanfaat tidak dinyatakan secara khusus sama ada ilmu dunia atau akhirat.

Bermakna apa sahaja ilmu pengetahuan, asalkan memberikan manfaat buat diri apatah lagi kepada manusia dikira sebagai ilmu yang bermanfaat.

Menerusi ilmu sains misalnya, kita mampu memahami apa sahaja yang terdapat di dunia.

Ilmu oceanology yang mengkaji hidupan marin dan laut akan memberikan kefahaman jelas betapa besarnya kekuasaan Allah dalam mencipta sesuatu.

Pastinya saintis Muslim meyakini kehebatan kekuasaan Allah SWT.

Ulama tersohor, Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali mengingatkan masyarakat Islam: Sesungguhnya ilmu ialah jenis zikir yang paling afdal dan ilmu juga jenis jihad yang paling afdal.”

Pesanan beliau tidak tertakluk kepada penuntut ilmu agama sahaja, tetapi buat kesedaran semua penuntut ilmu termasuk berkaitan ilmu duiawi juga.

Ilmu duniawi seperti ilmu sains sekiranya diaplikasikan bersendikan iman dan takwa, pasti menjadi ilmu yang cukup memberikan kebaikan.

Itulah jihad dalam bidang ilmu. Ilmu untuk kebaikan ummah sejagat. Semoga umat Islam dapat bersama menjulang kembali imej dan maruah umat Islam dengan kehebatan ilmu pengetahuan.

>>Penulis Pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 9:20 AM