AZLAN ketika menaiki kuda.
Oleh Azlan Awang


KASHMIR walaupun bergolak tetap indah manakala penduduknya yang majoritinya penganut Islam juga ramah dengan orang luar.

“Sepanjang tujuh hari mengembara ke Kashmir, saya dapati masyarakat Islam masih bebas melakukan kegiatan harian walaupun ramai anggota tentera India berkawal,” kata guru tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan, Ipoh, Perak, Azlan Awang, 36, yang berkongsi kisahnya dengan wartawan, Mohamad Fahd Rahmat.

“Walaupun keadaan di Kashmir masih bergolak, ia tidak mematahkan semangat saya dan rakan untuk mengembara ke wilayah ini.

Namun, kebebasan kami juga terhad kerana perkhidmatan Internet dilucutkan dan hanya panggilan telefon tetap sahaja dibenarkan.

Selain itu, panggilan melalui pembelian kad tambah nilai selain SMS juga dibatalkan pihak berkuasa India atas alasan keselamatan.

Mujur sepanjang di sana, kami dibantu rakyat tempatan yang menjadi pemandu pelancong.

Situasi memang tegang namun masyarakat Islam masih bebas melakukan kegiatan harian masing-masing, malah pelancong juga tidak diganggu.

Ini kerana, aktiviti utama ekonomi di Kashmir membabitkan pelancongan dan pertanian.

Pengangkutan utama di sana adalah kereta dan bas namun kami memilih kereta untuk ke sesuatu destinasi kerana lebih mudah.

Keadaan jalan raya di sana juga daif dan banyak berlubang walaupun berturap.

Makanan halal mudah diperoleh dan antara menu utama ayam dan daging masala, kari selain roti puri.

Kami tidak berdepan masalah untuk menikmati makanan tempatan kerana ia tidak jauh beza dengan makanan
di Malaysia.

Walaupun berdepan sedikit kesukaran namun berkunjung ke Kashmir boleh saya katakan sebagai pengalaman cukup berharga.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 10:24 AM