GAMBAR HIASAN

KIAMAT pasti berlaku. Bila dan ketikanya, hanya Allah SWT yang mengetahuinya.

Sesungguhnya setiap kejadian yang akan berlaku hanya di dalam ilmu Allah SWT dan kita sebagai umat Islam wajib berpegang teguh serta mempercayai kiamat itu pasti tiba.

Pada minggu ini, ruangan Iktibar Hadis akan menyingkap hadis kedua dalam buku 40 Hadis Huru Hara Kiamat terbitan Telaga Biru hasil karangan Zulkarnain Dollah dan Asyraff Hafdzan Abdullah berkaitan tegaknya matahari di atas kepala.

Kita sering mendengar peristiwa kiamat sama ada pembelajaran secara formal mahupun tidak dan antara yang paling popular kita dengar apabila di bumi Mahsyar nanti matahari hanya sejengkal daripada kepala.

Tatkala musim kemarau, kita sudah berkeluh kesah dengan panasnya matahari itu yang terletak ratusan ribu kilometer dari kita, namun teriknya masih dirasai. Bagaimana pula nanti, apabila matahari hanya terletak sejengkal di atas kepala.

Menerusi hadis Riwayat Muslim bermaksud: “Daripada al-Miqdad bin al-Aswad berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, pada hari kiamat, matahari didekatkan kepada manusia sehingga sejauh satu mil.

“Sulaim bin Amir berkata, demi Allah SWT aku tidak tahu apa yang Baginda maksudkan dengan jarak satu mil berkenaan, sama ada ukuran di bumi ataupun mil yang digunakan untuk bercelak mata (alat celak mata).

“Rasulullah SAW bersabda, lalu mereka berada dalam peluh berdasarkan amal perbuatan mereka antara mereka ada yang berpeluh sehingga ke tumitnya, ada yang berpeluh sehingga ke lututnya, ada yang berpeluh sehingga ke pinggang dan ada yang benar-benar tenggelam di dalam peluhnya.

“Al-Miqdad berkata, Rasulullah SAW menunjukkan dengan tangan ke mulut baginda,”’ Hadis Riwayat Muslim. (No. 2864).

Melihat kepada hadis berkenaan, jelas bahawa setiap amal perbuatan kita di muka dunia akan dibalas bermula di bumi Mahsyar dan ini antara hadis yang memperlihatkan keadaan manusia tatkala menanti penghakiman yang maha adil daripada Allah SWT.

Ketika manusia dikumpulkan di padang Mahsyar, matahari didekatkan sejauh jarak satu mil daripada mereka menyebabkan bercucuran peluh keluar daripada tubuh hingga menenggelamkan mereka sesuai dengan amalan sendiri.

Perawai Sulain bin Amir meriwayatkan daripada al-Miqdad, tidak dapat memastikan sama ada satu mil yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah satu mil jarak di atas bumi yang bersamaan dengan 4,000 hasta atau sepanjang alat celak (lebih pendek daripada ukuran jari).

Kepanasan matahari itu sememangnya terasa di atas muka dunia lagi terutama tatkala musim kemarau, kita duduk berdiri pada waktu tengahari, pastinya bercucuran peluh akan membasahi tubuh.

Apatah lagi di padang Mahsyar kelak apabila dengan kehendak Allah, matahari didekatkan dengan satu mil kepada manusia, pastinya bahang matahari berkenaan akan jelas terasa.

Hanya Allah SWT sajalah tempat kita berserah.

Pengajaran yang jelas dapat kita ambil adalah, hari kiamat adalah hari penghakiman kepada setiap perbuatan manusia dan tiada siapa tanpa mengira darjat, pangkat, kedudukan atau harta akan terlepas daripada pandangan Allah SWT.

Justeru, persiapan kita sebagai orang Islam adalah kembali mendekatkan diri dengan Allah SWT dan mengenali Yang Maha Esa yang menciptakan kita semua, alam seisinya dan segala isi alam semesta ini.

Sesungguhnya, Allah SWT jualah tempat kita memohon perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:00 AM