FOTO hiasan
Bersama Suriany Awaluddin

SALAM puan. Saya menghadapi masalah untuk menuntut nafkah anak selepas saya dan bekas suami bercerai. Saya ingin meminta penjelasan bagaimana seorang bekas isteri mahu menuntut nafkah anak yang dalam penjagaannya memandangkan bekas suami bersikap lepas tangan dan tidak mahu ambil peduli?

Nafkah bermaksud pembekalan keperluan hidup bagi seseorang. Manakala menurut syarak pula nafkah adalah keperluan untuk makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal kepada orang yang wajib diberi nafkah atau yang berada di bawah tanggungan seseorang.

Nafkah juga termasuk segala kerperluan yang dinyatakan di atas untuk diri sendiri. Dari segi kewajipan memberi nafkah itu kerana adanya hubungan kerabat atau ahli keluarga. Menurut Mazhab Syafie nafkah bagi kerabat itu adalah ibu bapa hingga ke atas dan anak hingga ke bawah. Oleh itu suatu yang tidak boleh dipertikaikan seorang bapa wajib menanggung nafkah anaknya semenjak anak itu lahir hingga hilang kelayakan anak itu terhadap nafkah daripada bapanya.

Peruntukan undang-undang berkenaan nafkah ada dinyatakan mengikut Seksyen 73, Undang-Undang Keluarga Islam Negeri iaitu: Seksyen 73(1) “kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki untuk menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada di dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pendidikan sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”

Dengan adanya peruntukan ini, menjadi sumber undang-undang yang diamalkan di Malaysia khususnya bagi orang Islam untuk mengetahui siapa yang wajib menyara nafkah anaknya. Sama ada anak terbabit dalam jagaan ibu atau bapanya, segala keperluan untuk anak terbabit menyara hidup wajib ditanggung hingga anak terbabit mampu menyara hidupnya sendiri. Justeru, bagi ibu yang menjaga anaknya, ibu perlu bertindak bagi pihak anaknya yang kecil menuntut nafkah dari bapa atau bekas suaminya.

Tuntutan itu dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa dan berhampiran dengan tempat tinggal ibu dan anak berkenaan. Dalam menuntut nafkah anak, ibu perlu melengkapkan dokumen yang boleh menyokong mengenai jumlah nafkah yang ingin dituntut seperti bil pembayaran bulanan anak, perbelanjaan makan minum, pakaian dan lain-lain keperluan diri dan pendidikan anak.

Mahkamah akan membuat penilaian dari kadar nafkah yang dituntut dengan kemampuan bapa selaku pembayar. Setiap orang anak perlu disediakan keperluan yang munasabah yang diperlukannya yang terdiri dari pakaian, makanan, minuman, keperluan tempat tinggal, pendidikan dan perubatan.

Begitu faktor taraf kehidupan dan persekitaran yang menjadi kelaziman di tempat anak berkenaan tinggal akan menjadi kayu ukur mengapa kadar nafkah anak di tetapkan sedemikian. Oleh itu, semua fakta yang menyokong mengenai mengapa nafkah itu perlu disediakan, berapa jumlahnya, mampukah bapanya untuk membayar, perlu disediakan dan dinyatakan oleh ibu dalam tuntutannya.

Selain fakta menyokong, dokumen yang ada itu akan menjadi bukti yang bakal diambil kira oleh mahkamah. Ketiadaan bukti yang menyokong akan memberi kesan terhadap tuntutan nafkah terutama isu kadar nafkah anak terbabit.

Tuntutan nafkah anak ini boleh dibuat oleh ibu pada bila-bila masa. Malah, dalam tempoh perkahwinan dan proses bercerai, nafkah anak ini boleh dituntut.

Sebagaimana mengikut Seksyen 74, Undang-Undang Keluarga Islam Negeri; mahkamah boleh pada bila-bila masa, memerintahkan seseorang bapa untuk membayar nafkah anaknya – (a) jika dia enggan atau cuai mengadakan peruntukan nafkah dengan munasabah bagi anak dan/atau isterinya; (b) jika dia meninggalkan langsung isterinya, dan anaknya itu adalah dalam penjagaan isterinya; (c) dalam masa menanti keputusan sesuatu perbicaraan hal ehwal suami isteri di mahkamah; atau (d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain. Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberi semua jenis nafkah kepada anaknya sama ada lelaki atau perempuan.

Jika mereka tidak mempunyai bapa, maka datuk wajib mengambil alih tanggungjawab itu dan begitu seterusnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: Yang bermaksud: ...jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; Surah al-Talaq (6).

Ayat ini menjelaskan perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak itu. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah (233): Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

>>Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 8:01 AM