Mohd Rizal Azman Rifin

ORANG berakal ialah orang yang mengekang akalnya dari semua perkara yang tercela. Siapakah yang pernah melontarkan kata-kata yang penuh dengan hikmah itu? Banyak aspek yang perlu kita hadam dengan bersungguh berkenaan ungkapan kata itu demi menjadikannya sebagai satu pedoman bermanfaat dalam kehidupan.

Tidak lain, yang menyebut kata-kata itu ialah seorang ilmuwan Islam diberikan jolokan sebagai, Pembela Sunnah dan Hadis. Ya, beliau ialah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafi’i bin as-Sa’ib bin ‘Ubaid bin Abu Yazid bin Hasyim bin al-Muattalib bin Abdul Manaf. Sekali lagi ada kalangan kita tertanya-tanya siapakah orang ini?

Itu nama penuhnya bagi Imam asy-Syafie yang jelas berdasarkan susur galur nasabnya mempunyai akar umbi dalam kekeluargaan Rasulullah SAW.

Malah, As-Sa’ib bin ‘Ubaid iaitu datuk asy-Syafie adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang dikatakan bermirip wajahnya dengan Baginda SAW.

Kita yang berada di daerah Nusantara ini adalah pengamal kepada mazhab dibawa olehnya. Berbalik kepada topik perbincangan berkenaan, pengertian yang cuba diluahkan oleh Imam Asy-Syafie tadi kerana memahami susur galur sejarah riwayat hidupnya tidaklah sepenting untuk kita mengutip apa ditinggalkannya untuk kita kunyah sebagai bahan sumber pengajaran dalam meniti arus kehidupan masa kini.

Akal adalah anugerah Allah yang paling bernilai yang tidak dikurniakan-Nya kepada makhluk lain, baik malaikat, haiwan mahupun kepada apa saja yang diciptakanNya.

Dengan adanya anugerah akal itulah faktor utama Allah menjadikan Nabi Adam AS dan keturunan seterusnya sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Sejak bermulanya penciptaan Nabi Adam AS hinggalah ke zaman manusia serba moden hari ini, akal yang menunjangi kemajuan kehidupan manusia.

Kemajuan dan kemodenan kehidupan manusia di muka bumi ini tidak pernah terhenti, malah sentiasa melalui begitu banyak perubahan yang semuanya berlaku bersandarkan kecerdikan dan kecerahan yang ada pada akal manusia.

Cuma sayangnya kecerdasan dan kecerdikan akal fikiran bertaraf minda genius banyak kalanya dijuruskan kepada perekaan peralatan yang menjunamkan manusia kepada kehidupan yang memudaratkan.

Kita puji setingginya apa saja kemajuan diusahakan manusia hingga masa ini kita mampu jalani kehidupan dalam serba kemudahan dan kesenangan namun dalam masa sama kita juga menggelengkan kepala apabila menyaksikan banyak kerosakan dibawa oleh kecerdikan akal.

Sebab itulah, Imam Asy-Syafie awal-awal lagi memperingatkan manusia supaya mengekang akal daripada terjebak kepada usaha laku untuk kemaksiatan dan kemungkaran yang dicela Allah. Sesungguhnya akal tanpa berpandukan kepada ajaran agama memungkinkan banyak kerosakan yang akan berlaku.

Kita boleh saksikan sendiri di hadapan mata bagaimana kerosakan demi kerosakan berlaku dan dilakukan oleh manusia. Adakah akal manusia sudah hilang fungsi sehingga dengan mudah manusia hilang pedoman dalam mempertimbangkan yang baik dan buruk? Tidak, akal manusia tetap masih kekal berfungsi dan tidak hilang seni berfikirnya, tetapi manusia banyak yang tidak menggunakan agama sebagai pedoman.

Hari ini, kita lihat manusia lebih memanjakan kehendak hawa nafsu tanpa sebarang kawalan lalu apa saja yang dilakukan seakan-akan jauh daripada ketepatan ajaran agama.

Menjadi apapun kita hari ini, maka akal minda seharusnya berpijakkan kepada aturan agama yang benar. Usah sama sekali kita gadaikan keutuhan akal minda anugerah Allah SWT untuk merosakkan kehidupan sendiri, apatah lagi sehingga memudaratkan insan lain.Sememangnya kita patut bersyukur sebanyaknya kepada Imam Asy-Syafie kerana sumbangan jasanya dalam memberikan keilmuan tinggi kepada masyarakat Islam. Sesungguhnya Imam Asy-Syafie yang juga guru kepada Imam Ahmad bin Hanbal itu perlu kita pelajari sedalam-dalamnya setiap kitab yang ditinggalkan buat kita.

Semoga kita kembali menjadi umat terbilang yang berjaya menerajui kehidupan manusia dengan imej yang suci murni selari ajaran Ilahi.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 9:48 PM