X
PENULIS (kiri) merakam gambar kenangan bersama jemaah lain ketika menziarahi beberapa lokasi bersejarah di sekitar Makkah.
PENULIS (kiri) merakam gambar kenangan bersama jemaah lain ketika menziarahi beberapa lokasi bersejarah di sekitar Makkah.
Mohd Rizal Azman Rifin


PADA diri setiap umat Islam pastinya tidak akan ‘terlepas’ daripada mengingati tiga lokasi atau nama penting iaitu Makkah, Kaabah dan Madinah.

Ketiga-tiga nama berkenaan seakan-akan terpaku kental dalam hati setiap individu Muslim. Kerinduan yang membuak-buak untuk berada di bumi penuh keberkatan itu pasti menguatkan kita sentiasa mengupayakan diri dalam segenap aspek demi memenuhi hasrat murni itu.

Selepas sekian lama memendam keinginan yang amat sangat untuk mengerjakan umrah, akhirnya hajat penulis dimakbulkan Allah.

Akhir November tahun lalu menjadi saksi buat penulis dan keluarga merafakkan kesyukuran kerana menjadi antara sekian ramai tetamu Allah sekali gus mengunjungi lokasi bersejarah dalam pengembangan syiar Islam oleh junjungan tercinta Rasulullah SAW.

Sebelum ini pun hati sudah tertutup rapat untuk berziarah ke tempat lain kerana nekad bumi asing pertama yang akan dijejaki ialah bumi kelahiran Rasulullah SAW. Azam dan niat yang tercetak kemas dalam hati itu nyata diredai Allah.

Sebaik saja bas yang membawa rombongan penulis menuju Makkah al-Mukarramah, rombongan terus menuju hotel penginapan di Retaj al-Baiyt yang terletak kira-kira 50 meter dari Masjidil Haram.

Jarak antara lokasi penginapan dan masjid suci itu sangat dekat serta ia memudahkan pergerakan penulis bersama keluarga untuk berulang-alik ke masjid.

Penulis sering teringat akan fadilat bersolat di Masjidilharam iaitu ganjaran satu solatnya bersamaan 100,000 kali berbanding masjid yang lain.

Makkah khususnya Masjidilharam dan Kaabah mempunyai aura sangat hebat dan mempesona kerana setiap umat Islam yang berada di sisinya pasti akan menjadi hamba Allah yang khusyuk hatinya dalam menjalani amal ibadat kepada-Nya.

Segenap ruang hati terisi dengan pengharapan untuk mendapatkan reda Allah dan memohon keampunan daripada-Nya atas segala dosa yang pernah dilakukan serta keterlanjuran sebagai seorang hamba yang serba lemah.

Perjalanan dari bilik hotel dengan memakai ihram sambil mulut tidak pernah lekang daripada berzikir dan berdoa, menyusun langkah dengan tegap menuju ke Kaabah.

Kali pertama menatap Kaabah yang tersergam gah di depan mata, mulut seolah-olah terkunci kelu seketika. Penulis nyata sebak serta terharu kerana turut diberikan peluang oleh Allah untuk menziarahi lokasi suci bagi umat Islam.

Penglihatan penulis kepada Kaabah juga mengimbau kembali sirah Nabi Ibrahim AS bersama putera kesayangannya iaitu Nabi Ismail AS untuk membina Kaabah yang hari ini diziarahi semua umat Islam tidak mengira bangsa atau negara.

Umrah penulis bersama keluarga serta ahli rombongan dikelola Jad Travel bersama mutawif Ustaz Badrul Hakimi dan setiap lokasi ziarah diberi penerangan yang komprehensif termasuk sirah di sebaliknya.

Rombongan yang dibawa Badrul Hakimi tidak membuang masa dan terus menyelesaikan tawaf sebelum bergerak ke Marwah dan Safa bagi mengerjakan Saie.

Tentu sekali ingatan sesekali akan mengimbau kepada kisah yang pernah dilalui Nabi Ibrahim AS bersama isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail AS.

Tatkala penulis duduk di sisi Kaabah untuk bertawaf membuatkan seolah-olah merasakan ‘tempias’ mukjizat Nabi Ibrahim AS yang berdoa kepada Allah agar menjadikan Makkah dan Kaabah sebagai satu tempat yang dikunjungi umat manusia dan nyata sekali Allah memakbulkan doa Rasul-Nya.

Sehingga kini, boleh dikatakan kota suci berkenaan menjadi tumpuan umat Islam tidak mengira masa sama ada mahu mengerjakan umrah ziarah atau menunaikan fardu haji apabila sampai masanya.

Pesona Makkah dan aura iman Kaabah. Dua frasa ini hanya sekelumit mampu penulis ungkapkan untuk menggambarkan betapa bahagianya hati berada di Tanah Haram berkenaan.

Umrah yang dilakukan juga terisi dengan meninjau beberapa kawasan yang ada hubungannya dengan sejarah Islam khususnya membabitkan perjalanan Rasulullah SAW sendiri.

Mutawif rombongan, Badrul Hakimi membawa ahli rombongan ke sekitar pesisir bangunan Masjidilharam. Kunjungan pertama yang sangat mengharukan ialah ketika berada di persekitaran tapak rumah kelahiran Rasulullah SAW yang kini dijadikan perpustakaan.

Walaupun ia bukanlah sebagaimana rupa bentuk rumah yang asal namun hati jemaah tetap puas kerana dapat berada di kawasan hampir tempat Rasulullah SAW dilahirkan.

Penulis terbawa-bawa dengan kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang kental jiwa dan semangatnya melakukan seruan dakwah meskipun sentiasa dihimpit dengan pelbagai dugaan yang bukan kepalang daripada masyarakat kaumnya sendiri.

Sesekali hati dan kotak minda berkocak kembali kepada sirah Baginda SAW bersama sahabatnya yang diredai Allah dalam membantu Rasulullah SAW memancar sinar Islam di bumi Makkah.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 7:00 AM