GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fatimah Syarhaa Mohd Noordin


MENDAPAT reda Allah, syurga tertinggi dan melihat wajah-Nya adalah kemenangan terbesar yang selayaknya kita berjuang habis-habisan untuk meraihnya.

Allah SWT menjelaskan bermaksud: “Nescaya Allah SWT mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai yang menempatkan kamu di tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.” Surah al-Saf (ayat 11 hingga 12).

Mungkin kita terasa detik itu masih jauh, hakikatnya kematian sangatlah dekat. Hanya sesaat, semuanya boleh berubah. Kita boleh berubah dari alam dunia
ke alam kubur hanya mungkin sesaat saja lagi, bila-bila masa, tanpa menunggu kita sempat melangkah ke usia tua.

Lihatlah, satu demi satu berita tentang kematian sampai ke telinga. Seorang demi seorang insan yang kita sayang dijemput pulang ke rahmat dan kasih sayang-Nya.

Hari ini kita mendengar berita tentang pemergian orang, akan tiba suatu hari, orang lain pula mendengar berita tentang pemergian kita.

Sebelum kita dipanggil pulang, kita akan melalui satu solat yang terakhir, satu Ramadan yang terakhir, satu pembayaran zakat atau sedekah yang terakhir, satu umrah atau haji yang terakhir, dan segala-galanya adalah yang terakhir.

Sebelum nikmat masa yang kita kecapi ini menjadi yang terakhir, kita terus diuji dengan melalui pergantian hari, bulan, dan tahun yang mengheret kita ke detik penghabisan setelah setiap putaran saatnya membuatkan umur kita semakin lama semakin berkurang.

Kita sudah tidak banyak masa. Detik kembali akan segera tiba sama ada kita bersedia atau tidak, suka atau terpaksa. Kita sudah diingatkan tentang sifat dunia yang sementara dan rumah transit di barzakh menanti kita untuk menuju ke alam akhirat yang seterusnya iaitu Mahsyar, hisab, titian sirat, syurga atau neraka.

Jika kita berniaga, kita tentu tidak mahu rugi, mengelak kerugian, merancang tidak rugi dan mengatur pelbagai strategi agar untung.

Begitulah hidup, kita sedang berjual beli dengan Allah. Kita miskin dan tidak mampu membeli apa-apapun dari kekayaan Allah. Namun, Allah yang Maha Kaya lagi Maha Memiliki diri kita dan segala-galanya sanggup menawarkan kepada kita untuk membeli amal soleh kita dengan jaminan keselamatan dan ganjaran.

Untuk meraih kemenangan yang besar ini, kita perlu berjuang setiap hari menyelamatkan diri kita daripada merugikan peluang dan masa yang sedang kita lalui.

Bangunlah setiap pagi dengan menyedari hakikat bahawa ada empat kriteria manusia yang tidak rugi iaitu:

Pertama, orang yang beriman. Iman adalah tujuan utama kehidupan. Dengan iman manusia menjadi mulia. Firman-Nya: “... Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan berilmu di antara kalian beberapa darjat.” Surah al-Mujadalah (ayat 11)

Dengan iman kehidupan manusia menjadi penuh erti, bermatlamat dan berstrategi. Dengan iman segala keadaan dirasakan baik dan menjadi peluang meraih kebaikan. Itulah kemenangan yang disegerakan iaitu berminda pemenang (winner’s mentality) bukannya berminda mangsa keadaan (victim’s mentality).

Allah SWT menjanjikan menerusi firmannya bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, baik lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya kami menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka kerjakan.” Surah al-Nahl (ayat 97)

Sebaliknya tanpa iman, amalan manusia hanya menjadi fatamorgana dan bayangan yang tidak memberi manfaat kerana destinasi akhir amalannya terpisah dari tujuan dan kebenaran.

Bukankah berbeza orang yang memandu kereta dengan menuju satu destinasi berbanding orang yang memandu kereta sekadar bermain-main, lalai, leka dan tiada tuju hala apatah lagi jika memandu saat mabuk.

Kedua, beramal soleh. Amal soleh adalah buah dari keimanan. Kebenaran iman dalam jiwa memotivasikan seseorang menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran. Amal soleh yang dimaksudkan adalah segala yang dipandang baik oleh Allah dan Rasul-Nya. Penanda arasnya adalah syariat yang bersumber dari wahyu Allah iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Ketiga, saling menasihati dalam kebenaran. Orang yang beruntung tidak hanya mencukupkan diri dengan kesolehan dirinya sendiri, tetapi ia juga melakukan pembaikan diri.

Bahkan saling menasihati, memberi semangat agar selalu berada pada jalan kebaikan, bukan sekadar kewajipan akan, tetapi dipandangnya sebagai bukti kecintaannya terhadap satu sama lain dan menetap kebenaran diyakininya sebagai hajiyah dharuriyah basyariyah (keperluan dasar kehidupan).

Keempat, kesabaran. Sabar dalam menjalani iman, amal, dan dakwah dalam kebenaran. Hal ini kerana dalam menunaikan tiga hal terbabit mestilah ada ujian, baik dari dalam mahupun luar dirinya. Dari dalam berupa bisikan nafsu sedangkan dari luar berupa gangguan dan godaan dari syaitan, jin mahupun manusia.

Penulis adalah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:01 AM