ORANG ramai tiba di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu untuk pengebumian jenazah Abam.
ORANG ramai tiba di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu untuk pengebumian jenazah Abam.
Mohd Shahrizal Nasir

MINGGU lalu, berita pemergian seorang anak seni, Abam Bocey memenuhi ruang media massa termasuk paling rancak dalam media sosial.

Pemergian Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan dirasai segenap anggota masyarakat meskipun oleh mereka yang tidak mengambil perhatian terhadapnya sebelum ini.

Sejumlah besar jemaah yang hadir ke masjid untuk menunaikan solat jenazah untuknya memberi petunjuk tentang kematiannya yang dirahmati Allah SWT.

Dalam media sosial, dikhabarkan banyak kebaikan dilakukan oleh arwah sama ada secara terang mahupun tersembunyi.

Beliau sering menghulurkan bantuan kepada anak yatim serta mengeluarkan belanja persekolahan untuk insan yang memerlukan.

Selain itu, kebaikan yang dapat disaksikan juga oleh semua ialah apabila beliau seorang anak yang sangat mentaati ibunya.

Lihatlah rakaman beberapa video yang tersebar dalam media sosial tentang cara arwah menyantuni ibunya.

Sememangnya Islam menggesa setiap umatnya memberikan layanan terbaik kepada kedua-dua orang tua terutama si ibu yang melahir dan membesarkan anaknya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah…” Surah al-Ahqaf (ayat 15)

Rasulullah SAW juga menjelaskan kepentingan menyantuni ibu bapa pada tahap terbaik menerusi sabdanya: “Celaka, sekali lagi celaka dan sekali lagi celaka orang yang berpeluang bersama kedua-dua orang tuanya ketika berusia lanjut, salah satunya atau kedua-duanya, tetapi (dengan peluang itu) dia tidak masuk syurga.” Hadis Riwayat Muslim

Semua ini perlu menjadi ingatan setiap anak yang masih mempunyai peluang menyantuni kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripadanya. Perintah daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW agar menyantuni kedua ibu bapa pasti mempunyai kelebihan yang besar.

Hayatilah kisah arwah Abam Bocey yang sentiasa bersama ibunya, memberi kemudahan sebaik-baiknya untuk ibu, menjaga hati ibu serta taat hatta dalam memilih suri hati untuk dijadikan isterinya.

Semua perbuatan baik itu dizahirkan sendiri oleh ibunya dengan ungkapan yang cukup bermakna: “Dia anak yang baik.”

Sebenarnya tidak mudah menjadi anak yang sentiasa mendahulukan ibu dalam semua perkara.

Adakalanya hasrat si anak tidak sama dengan kehendak si ibu. Bagaimanapun, cara untuk menyantuni ibu bagi mencari titik pertemuan dalam hal kehidupan perlu diusahakan setiap insan bernama anak.

Pendek kata, pilihan ibu itulah yang sebenarnya terbaik untuk si anak.

Selain ibu bapa, adik-beradik juga kelompok insan yang perlu diberi perhatian. Islam sangat mementingkan hubungan silaturahim yang merujuk kepada hubungan darah kekeluargaan.

Al-Imam al-Nawawi menjelaskan maksud silaturahim dalam kitabnya Sharh Sahih Muslim: “Menghubungkan silaturahim bermaksud melakukan kebaikan (ihsan) kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya.”

Seperti yang dinyatakan oleh arwah Abam Bocey sendiri yang beliau mengutamakan keluarga khususnya adik-beradiknya sendiri.

Beliau tidak pernah berkira dengan adik-beradik sendiri sehinggakan turut membiayai majlis perkahwinan adik-adiknya.

Nasihat beliau yang tersebar dalam media sosial juga agar setiap orang sentiasa membantu ahli keluarga kerana wujudnya golongan gelandangan sebagai contoh adalah kesan daripada perbuatan adik-beradik yang tidak menghulurkan bantuan.

Inilah antara perkara yang boleh dipelajari daripada seorang insan yang dimuliakan oleh Allah SWT pada hari pemergiannya meninggalkan dunia ini.

Ia perlu diinsafi, dihayati dan dicontohi agar kita juga mendapat kemuliaan daripada Allah SWT atas perbuatan mengutamakan ahli keluarga daripada kalangan ibu bapa dan adik-beradik.

Sabda Rasulullah SAWbermaksud: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya , maka sambunglah tali silaturrahim.” (Muttafaq’alaih)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 7:30 AM
Digital NSTP Subscribe