UMAT Islam harus mendidik diri agar menjadi hamba yang sentiasa menghargai dan mensyukuri nikmat silaturahim. FOTO Faiz Anuar
UMAT Islam harus mendidik diri agar menjadi hamba yang sentiasa menghargai dan mensyukuri nikmat silaturahim. FOTO Faiz Anuar
Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki


PELBAGAI kes yang dilaporkan mengenai konflik yang berlaku dalam sesuatu hubungan misalnya antara suami dan isteri, sesama rakan, ahli keluarga dan sebagainya.

Kebiasaannya, jika sesuatu konflik itu tidak diuruskan dengan baik pastinya membawa pergaduhan, pertelingkahan dan permusuhan.

Tanpa sedar rupa-rupaya ada hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik konflik dan ujian yang berlaku kepada diri kita selaku manusia.

Antaranya mendidik manusia dengan sifat sabar dan pemaaf. Sabar dan pemaaf adalah dua perkara yang mudah diungkapkan namun amat sukar diaplikasikan dalam kehidupan.

Adakalanya, sesuatu konflik berlaku disebabkan perkara kecil sebelum bertambah parah.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki yang paling dibenci Allah SWT ialah yang paling keras permusuhannya.” 

Oleh itu, sikap negatif antaranya sering mencetuskan permusuhan sesama manusia harus dihindarkan bagi mengelakkan terjadinya konflik sehingga menyebabkan terputusnya ikatan silaturahim yang terjalin dengan erat sebelum ini. 

Dalam al-Qur’an pada Surah Muhammad, ayat ke 22 hingga 23, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbangkan dan dikhuatirkan jika kamu dapat memegang kuasa kamu melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat?”

Selanjutnya, Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya Al-Jamie li Ahkami Al-Quran memetik kata-kata Qatadah yang memberi huraian mengenai ayat ini, “apakah kiranya jika kamu berpaling daripada kitab Allah SWT, kamu melakukan kerosakan ke atas muka bumi dengan menumpahkan darah dan memutuskan hubungan kekeluargaan sesama kamu.”

Ada pelbagai kelebihan bagi mereka yang menjaga hubungan silaturahim sesama manusia.

Pertamanya mendapat kemurahan rezeki dan dikurniakan umur yang panjang.

Keduanya, dihindarkan daripada mendapat dosa dan pembalasan buruk.  

Oleh itu, selaku Muslim yang mendambakan kebaikan di dunia serta di akhirat, marilah kita mendidik diri agar menjadi hamba yang sentiasa menghargai dan mensyukuri nikmat silaturahim.

Penulis adalah penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 7:15 AM