MEMENANGI reda Allah adalah motivasi untuk semua aktiviti kehidupan. FOTO AFP
MEMENANGI reda Allah adalah motivasi untuk semua aktiviti kehidupan. FOTO AFP
Fatimah Syarha Mohd Noordin

DUNIA ini keperluan. Akhirat itu tujuan. Waktu pula dicipta sebagai tempoh ujian. Waktu itu diukur pada pusingan bumi mengelilingi matahari. Pusingan itu pula dalam keadaan bumi berputar pada kelajuan 1,670 kilometer per jam.

Ia berlaku sepanjang masa sejak jutaan tahun namun tidak disedari sesiapa sehingga sains menyingkap fenomena ini. Begitulah hebatnya Allah mampu menjadikan putaran lebih laju daripada kapal terbang Boeing-777 selamat kepada setiap hidupan tanpa sebarang komplikasi kepada salur darah, tulang vertebra dan lain-lain. Kehebatan Allah menjadikan hanya Dia paling layak menjadi tempat pengabdian hidup kita.

Apabila Allah menghancurkan bumi, bintang dan matahari, tiada lagi tempoh ujian. Tiada lagi waktu. Muhasabahlah, sejauh mana kita mendedikasikan seluruh waktu dan saat yang kita ada, hanya untuk Allah. Marilah kita bermula daripada yang ringan, membiasakannya sehingga menjadi budaya hidup. Jika tidak mampu lakukan semua, jangan tinggal semua.

Amal yang paling utama boleh menjadikan keseluruhan hidup kita dikira ibadah ialah amal hati. Amal hati adalah amal yang tidak dapat dilihat tetapi padanya tempat jatuhnya pandangan Allah yang paling utama. Kenapa amal hati lebih agung berbanding amal anggota.

Amal anggota atau amal jawarih bersifat ada tempoh, ada mula dan akhirnya. Namun tidak demikian dengan amal hati. Ia tiada had masa.

Ia rahsia kita dengan Allah dan kerja hati itu berterusan.

Contoh amalan hati ikhlas, mengharap reda Allah (ihtisab), takut dan harap (khauf dan raja), sabar, syukur, reda, bersangka baik kepada Allah, cinta dan sebagainya.

Lihatlah seruan yang diperjuangkan semua rasul dari Nabi Nuh hingga Nabi Muhammad SAW adalah tauhid. Tauhid menyeru kita mengikhlaskan perhambaan hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Ini kerja hidup kita yang paling utama sehingga seruan Rasul tentang hal ini tidak berubah daripada awal sampai akhir zaman.

Ihtisab adalah bagaimana kita mengekspresikan tauhid dengan mendidik hati mempunyai kesedaran bahawa Allah adalah penggerak dan sumber motivasi dalam setiap saat dan detik.

Memenangi reda Allah adalah motivasi untuk semua aktiviti kehidupan. Diam dan gerak, tidur dan jaga semua untuk Dia. Menjadikan hidup berpandu kepada hukum-Nya. Yang wajib dilakukan. Yang sunat digalakkan. Yang makruh dihindari. Yang haram ditinggal terus.

Saat diuji dengan perkara yang tidak disukai, semoga kita cepat mengadu kepada Allah, terima atas segala yang Allah izinkan berlaku, bersabar, makin mendekatkan diri kepada Allah dan berharap (ihtisab) mendapat pahala atas musibah itu. Itulah ihtisab. Hanya dengan hadirnya amal hati ini, setiap ucapan dan perbuatan, diam dan gerak, memberi dan menahan, tidur dan jaga, makan dan minum, mendidik, melayani, semuanya bernilai pahala. Semuanya peluang mendapat sebanyak-banyaknya kebaikan dunia dan akhirat.

Itulah keistimewaan amal hati. Ia juga dipanggil niat. Atau disebut Stephen R Covey sebagai begin with the end in mind. Bagi seorang yang bertauhid, niat segala amal perbuatannya hanya untuk Allah.

Niat yang membezakan segala yang nampak sama di permukaan, namun ada kelodak di dasar yang hanya Allah mengetahuinya. Niatlah yang menjadikan amal rutin yang kecil menjadi bernilai dan penting. Niat mengubah adat kebiasaan menjadi ibadah yang sampai pada Tuhan. Niat mengubah aktiviti makan minum sama ada sekadar mendapat kuat dan sihat atau mendapat kuat, sihat dan pahala akhirat.

Lebih membahagiakan, niat mengundang pahala dan kebaikan buat seseorang yang berazam melakukan kebaikan, namun terhalang oleh faktor yang tidak dapat dielakkan. Misalnya ibu yang sangat berhasrat bangun malam dan beribadah namun terhalang kerana menyusukan bayi dan meredakan anak kecil yang lain yang mungkin menangis di tengah malam.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang bertekad mengerjakan satu kebaikan, lalu ia belum mampu mengamalkannya, maka Allah mencatat untuknya satu kebaikan.” Hadis Riwayat Muslim (no.190/133)

Namun, usah dijadikan halangan itu sebagai alasan terus-terusan tidak melakukan kebaikan dan hanya berharap pada pahala. Orang yang mendapat pahala meskipun terhalang ini ialah orang yang terbiasa melakukan suatu amalan kerana Allah, lalu kerana satu sebab amalan tersebut tidak dapat dikerjakan mungkin kerana sakit, safar atau seumpamanya, maka dia akan tetap mendapatkan pahala mengerjakannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang hamba sakit atau dalam keadaan safar, maka Allah akan mencatat untuknya kebaikan yang biasa ia kerjakan taktala sihat dan mukim.” Hadis Riwayat al-Bukhari (no.2790/2996)

Penulis adalah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 7:00 AM