ISLAM sangat menitik beratkan soal kepemimpinan yang adil.
ISLAM sangat menitik beratkan soal kepemimpinan yang adil.
Muhammad Saufi Hassan


ISLAM sangat menitik beratkan soal pemimpin serta kepemimpinan yang adil. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW mencerminkan keperibadian terpuji sama ada tatkala mendekati rakan mahu pun menyantuni lawan.

Akhlak dan sikap yang ditunjukkan Baginda Nabi menjadi ikutan sahabat termasuk empat kepemimpinan ketika era Khulafa’ Ar Rasyidin terdiri daripada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA, Saidina Umar Al-Khattab RA, Saidina Usman Affan RA dan Saidina Ali Abi Talib RA.

Kepemimpinan menerusi akhlak mulia itu turut diteruskan menerusi beberapa pemerintahan Islam lain selepas Khulafa’ Ar Rasyidin memandangkan ia adalah bukti Allah SWT memelihara pemimpin yang adil serta saksama.

Berdasarkan sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda: “Tiga orang yang doa mereka tidak akan ditolak. Pertama, orang puasa ketika berbuka. Kedua, pemimpin yang adil. Ketiga, doa orang yang kena zalim. Maka Allah akan mengangkat doanya ke atas dan membukakan baginya akan pintu langit dan Allah berfirman: “Demi kebesaran-Ku, pasti dia akan Aku tolong walaupun selepas beberapa masa nanti.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Khalifah Umar Abdul Aziz iaitu pemimpin ketika era Kerajaan Islam Umaiyah memegang beberapa prinsip serta pendirian antaranya sentiasa menegakkan keadilan, memelihara daripada pembohongan, menolak daripada menerima hadiah, melarang pembaziran dan beberapa prinsip lain.

Sifat kepemimpinan yang ditonjolkan Umar ini menjadi contoh sehingga ulama menyatakan bahawa beliau adalah jelmaan Saidina Umar al-Khattab.

Memetik artikel karangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohamad Zulkifli al-Bakri menyatakan bahawa ketrampilan Umar diwarisi daripada sifat datuknya, Umar Al-Khattab.

Umar pernah menulis surat kepada gabenornya yang bernama al-Jarrah bin Abdullah al-Hakami yang menjadi gabenor di Khurasan dengan berkata: “Hai Ibn Ummi Jarrah, janganlah kamu memukul orang-orang beriman dan kafir mu’ahad (membuat perjanjian dengan orang Islam) dengan menggunakan tongkat atau rotan kecuali pada kebenaran.

“Awasilah kamu daripada melaksanakan qisas kerana ia membawa kepada banyaknya khianat dan perkara yang tersembunyi. Baca semua surat dan jangan disembunyikan atau diabaikan kecil atau besar urusan kecuali hendaklah dihitungkannya.”

Ketokohan kepemimpinan khalifah ini juga terserlah apabila beliau dengan tegas tidak menerima sebarang bentuk hadiah sekalipun dikatakan Rasulullah menerima hadiah dengan berhujah: “Tetapi bagi kami dan orang selepas kami dianggap sebagai rasuah.”

Begitu juga beliau membatalkan pemberian hadiah kepada semua gabenor yang kebiasaannya menerima hadiah pada setiap kali perayaan Nairuz dan Mahrajan.

Umar juga pernah menegah gabenor dan pegawai kerajaan daripada terbabit aktiviti perniagaan dan tindakan itu dibuat dengan menghantar surat kepada gabenornya dengan menegaskan bahawa pemimpin, gabenor atau pegawai kerajaan tidak boleh melakukan aktiviti perniagaan.

Ini kerana aktiviti itu mengakibatkan mereka sibuk dengan perniagaan dan akan berlaku pilih kasih serta mendapat habuan daripada sumber yang kurang elok.

Selain daripada Umar, empat kepemimpinan Khulafa’ Ar Rasyidin menampilkan akhlak terpuji sebagai pemimpin begitu juga beberapa tokoh antaranya Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad al-Fateh dan ramai lagi.

Penulis adalah wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 7:00 AM