ISLAM mengajar umatnya melakukan cara hidup sempurna. FOTO Rasul Azli Samad
ISLAM mengajar umatnya melakukan cara hidup sempurna. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Ajib Ismail


ISLAM adalah agama yang membawa ajaran serta cara hidup sempurna meliputi seluruh aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara seperti kenegaraan dan pemerintahan.

Allah SWT menyempurnakan Islam melalui pengutusan rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Kesyumulan ajaran Islam bukan saja khusus kepada amalan ritual keagamaan, tetapi merangkumi tatacara kehidupan yang lain seperti sosial, ekonomi, politik, pendidikan, pembangunan dan lain-lain.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ma’idah ayat 3 bermaksud: “Pada hari ini, Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Kesempurnaan Islam dapat dilihat dalam aspek yang paling penting dan utama iaitu akidah dengan menetapkan keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT sebagai pegangan asas dalam kehidupan. Justeru, ajaran Islam menggesa manusia menjauhi perbuatan syirik, merosakkan akidah serta sebarang perlakuan menghina agama.

Selain itu, kesyumulan Islam juga dapat dilihat dalam aspek syariah yang menetapkan panduan dan tatacara melaksanakan ibadah, ketaatan dalam melaksanakan perintah serta hukum-hakam termasuk peraturan dan undang-undang negara yang tidak bercanggah dengan syariat.

Tujuan segala peraturan ini ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia serta mengatur manusia supaya melaksanakan perbuatan ma’ruf dan menjauhi mungkar.

Kesempurnaan Islam dalam aspek akhlak pula dapat dilihat melalui ketetapan tatacara muamalah serta panduan bagi memelihara hubungan dalam keluarga, jiran tetangga, masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam, serta makhluk yang lain termasuk alam sekitar.

Manusia hakikatnya tidak dibezakan berdasarkan pangkat dan darjat, warna kulit, bangsa dan keturunan, kaya dan miskin mahupun pengaruh.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Sebagai Muslim, kita dianjurkan saling mengenali antara satu sama lain dan diperintahkan agar kita memelihara kesatuan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sebagai pegangan yang menyelamatkan kita daripada seksaan api neraka.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 103 bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Dalam kehidupan bermasyarakat, ajaran Islam menganjurkan setiap warga negara membudayakan amalan menyantuni, prihatin dan peduli sesama masyarakat.

Selain itu, setiap warga negara perlu memiliki sifat yang mesra dan berinteraksi dengan semua pihak termasuk meraikan kelompok rentan dan minoriti dalam masyarakat seperti golongan orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain. Akhirnya, masyarakat dalam sebuah negara perlu mengekalkan sifat saling menghormati di atas prinsip kemanusiaan serta menghormati perbezaan dan kepelbagaian agama dan kepercayaan.

Sesungguhnya segala sifat kesyumulan Islam diserlahkan melalui Maqasid Syariah yang lima yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang akhirnya akan menatijahkan sebuah negara yang makmur, harmoni dan sejahtera.

 

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe