SUASANA di sekitar Masjid Nabawi memperlihatkan jemaah berlumba-lumba menunaikan ibadah.
SUASANA di sekitar Masjid Nabawi memperlihatkan jemaah berlumba-lumba menunaikan ibadah.
JEMAAH merakam gambar kenangan tatkala menziarahi Makam Rasulullah di Madinah.
JEMAAH merakam gambar kenangan tatkala menziarahi Makam Rasulullah di Madinah.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin


Tidak lengkap bagi jemaah umrah mahupun haji berada di bumi Makkah al-Mukkaramah tanpa mengunjungi kota hijrah Rasulullah SAW iaitu Madinah al-Munawwarah.

Apatah lagi, hati setiap jemaah umrah atau haji pasti sudah memasang keinginan kuat untuk berada di Masjid Nabawi, sekali gus berada di sisi makam Rasulullah yang sentiasa dirindui.

Selama ini, di tanah air, lidah kita saban waktu tidak pernah lekang dibasahkan dengan bacaan selawat ke atas Rasulullah.

Maka, apabila berada di Tanah Suci, keinginan kita menjadi semakin membara untuk melihat dan bersolat di Masjid Nabawi yang penuh keberkatan.

Kota Madinah adalah bumi penghijrahan Rasulullah bersama sahabat Muhajirin, ia sentiasa dikunjungi serta dipenuhi jemaah haji dan umrah.

Daripada segi geografi, Kota Madinah dikelilingi dataran gunung yang tinggi dan berada di persimpangan tiga lembah utama iaitu Lembah ‘Aqi, Lembah Aqiq dan Lembah Himd.

Di barat Madinah, terletak Gunung Haji, di barat lautnya tersergam gah Gunung Salaa manakala di selatannya, Gunung ‘Ir dan kawasan tumpuan pengunjung iaitu Gunung Uhud.

Kota Madinah adalah kota penyatuan hati umat Islam dan hakikat terbabit sentiasa kekal terzahir hingga masa kini yang mana seluruh mereka yang hadir ‘melucut’ segala pangkat darjat serta keturunan masing-masing, sebaliknya hati mereka disatukan dalam ketautan tauhid yang satu.

Warna kulit dan berbeza budaya dan bahasa seakan-akan terpadam tatkala berada di sini.

Kota Madinah adalah ‘pelabuhan cinta abadi’ yang melakar hakikat sejati imej kendiri umat Nabi Muhammad yang bertunjangkan akidah sama.

Pastinya, kehadiran saya bersama 37 jemaah umrah kelolaan JAD Travel tidak mahu terlepas peluang untuk ‘meluahkan’ rasa rindu yang terbuku di hati selama ini terhadap Rasulullah.

Selesai urusan penginapan di Nozul Hotel, penulis diberi taklimat berkenaan Masjid Nabawi oleh mutawif, Ustaz Badul Hakimi.

Mendengar isi kandungan taklimat beliau sudah cukup membuatkan hati kami membuak-buak mahu bersegera ke masjid berkenaan.

Selesai taklimat, jemaah terus dibawa ke Masjid Nabawi.

Dari kejauhan, jemaah dapat melihat payung gergasi berkembang gah di luar dataran masjid berkenaan, malah bacaan selawat ke atas Rasulullah mengiringi langkah kaki.

Akhirnya, dengan izin Allah SWT, kami tiba di Masjid Nabawi yang tersergam indah.

Pada masa sama, kami ingat juga kisah utuhnya perjuangan Rasulullah bersama sahabat untuk menyinari bumi ini dengan cahaya Islam.

Di masjid ini, segala urusan ibadat dan hal ehwal kemasyarakatan ummah dikendalikan ketika hayat baginda.

Hati umat Islam yang sebelum itu terbelenggu dalam kancah perpecahan dan persengketaan diikat kukuh dengan tali Allah menerusi pegangan tauhid yang satu.

Walaupun kisah mereka sudah lama berlalu dan Kota Madinah kini berdiri megah menjadi kota moden yang serba maju namun hati ini masih berbekas dengan liku-liku perjuangan mereka yang penuh dramatik dan tragis.

Saidina Umar al-Khattab pernah mengungkapkan: “Madinah itu adalah ibu segala kota.”

Ia memberikan gambaran betapa di sini menzahirkan perwatakan jati diri umat Islam yang berjaya memercikkan aura iman setulusnya kepada Ilahi.

Selain mengisi masa yang termampu untuk beribadah di dalam Masjid Nabawi, jemaah juga berpeluang untuk ke Raudhah, ‘Taman Syurga’ dan ke sisi makam Rasulullah.

Mana mungkin penulis lepaskan peluang untuk meraih nikmat berada di Raudhah dan makam Rasulullah kerana kedua-duanya selama ini sentiasa sentiasa terlekat kemas dalam hati.

Penulis ingin memetik ungkapan kalam penulis Indonesia, Zuhairi Misrawi yang antara lain beliau menyatakan, ‘Kota Makkah dan Madinah pada era Rasulullah itu ibarat terik matahari dengan dingin embun. Sekiranya Makkah panas bak terik mentari, maka Madinah itu pula umpama embun pagi hari. Madinah memberi secebis harapan bagi menegakkan sistem masyarakat yang beragama benar dan saling menghargai sesama insan.’

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:01 AM