DR Zulkifli menyampaikan amanat semasa Majlis Tausiah Am di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya.
DR Zulkifli menyampaikan amanat semasa Majlis Tausiah Am di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya.
Mohd Shahrizal Nasir


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan amanat yang cukup bermakna semasa Majlis Tausiah Am. Majlis tersebut diadakan pada 12 Mac 2020 di Dewan Solat Utama, Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya khusus membabitkan agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Nasihat yang disampaikan ini wajar dijadikan ingatan bukan saja kepada agensi di bawah kepemimpinannya, tetapi juga seluruh penjawat awam dan pekerja sektor swasta. Antara lain, nasihat menyentuh perkara berkaitan pengurusan masa yang baik semasa menjalankan tugas yang diamanahkan. Hal ini penting kerana setiap pekerja diberi tempoh masa yang jelas untuk melaksanakan tanggungjawab.

Masa bekerja bukanlah perkara boleh dipandang remeh kerana ia termasuk dalam perkara yang berkait dengan keberkatan rezeki. Peraturan masa mesti dipatuhi dan setiap orang tidak boleh culas dalam mengatur masa.

Bayangkan setiap pekerja perlu merekod waktu masuk dan pulang dari bekerja. Bagaimanapun, masih ada segelintir individu yang menggunakan masa bekerja untuk makan dan minum sedangkan masa rehat ditetapkan.

Hasilnya banyak kerja tertangguh atau tidak dapat di laksanakan dengan lancar. Apatah lagi jika sesuatu kerja itu membabitkan aspek penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Tidak boleh pelanggan yang berurusan dibebani dengan penantian yang tidak masuk akal hanya kerana menunggu pegawai yang sedang minum dalam waktu bekerja.

Setiap pekerja mesti menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Perbuatan mengabaikan amanah yang diberikan memberi petunjuk bahawa diri tidak termasuk dalam kalangan orang yang layak menerima amanah. Allah SWT mengingatkan hal ini menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)…” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Masa bergerak terlalu pantas. Jika masa yang ada tidak digunakan untuk menyelesaikan amanah yang diberikan, maka ia boleh dikira sebagai satu perbuatan menzalimi orang lain. Ditambah dengan peringatan Allah SWT tentang perihal manusia yang berada dalam kerugian selagi mana mereka gagal mengurus masa dengan sebaiknya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar.” (Surah al-‘Asr, ayat 1-3)

Dalam suasana negara yang baru saja selesai mendepani kemelut politik, masa yang ada sekarang perlu digunakan sebaiknya untuk memacu negara ke tahap yang lebih baik. Pemimpin diharap tidak lagi membuang masa dengan percaturan politik yang tidak berkesudahan. Semua wakil rakyat adalah pemimpin yang dipilih rakyat untuk saling bantu-membantu membawa negara ini maju ke hadapan.

Rakyat pula tidak perlu terlalu taasub dengan pegangan politik masing-masing sehingga membuang masa bercakaran sesama sendiri. Jangan pula ada yang menghabiskan masa dengan bersembang hal politik ketika bekerja sehingga mengganggu perjalanan urusan kerja.

Korupsi masa adalah satu bentuk salah laku yang boleh membawa malapetaka dalam tadbir urus sesebuah organisasi. Apatah lagi apabila setiap pekerja dijelaskan tentang tanggungjawab yang perlu dipikul dan semua ini pastinya memerlukan pengurusan masa yang terbaik.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Umat Islam berkewajipan untuk sentiasa mematuhi persyaratan mereka.” (Hadis riwayat Muslim). Apa juga syarat dipersetujui antara pekerja dengan majikannya perlulah dipatuhi agar setiap rezeki yang diperoleh hasil daripada tugasan diberkati Allah SWT.

Tidak ada seorang pun insan waras yang sanggup memberi nafkah kepada ahli keluarganya dengan hasil rezeki yang tidak diberkati. Justeru, patuhilah peraturan berkaitan masa bekerja dan jangan sekali-kali mengkhianatinya. Pengurusan masa bekerja yang baik akan menghasilkan kerja yang berkualiti.

Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 7:01 AM
Digital NSTP Subscribe