JEMAAH membeli makanan antaranya buah kurma dan kacang untuk dibawa pulang.
JEMAAH membeli makanan antaranya buah kurma dan kacang untuk dibawa pulang.
Mohd Rizal Azman Rifin


SESUNGGUHNYA, penulis sememangnya berniat untuk sampai di bumi kelahiran Rasulullah SAW dan akhirnya dimakbulkan Allah SWT.

Bukan itu saja, penulis juga memanjat kesyukuran tidak terhingga kerana mampu menjejakkan kaki di kota sunah iaitu Madinah al-Munawarah.

Selain mengisi masa dengan mengambil setiap ruang tersedia sepanjang 10 hari di dua bumi penuh berkat itu apabila menunaikan umrah dan ibadat lain, penulis serta keluarga bersama 37 ahli jemaah umrah daripada JAD Travel sentiasa dididik mutawif Ustaz Badrul Hakimi agar bijak ‘membaca’ setiap yang dipandang serta bestari memahami sirah terdahulu.

Penulis secara peribadi sangat memahami bahawa berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat umrah dan aktiviti ziarah yang lain adalah peluang terbaik memungut sedaya termampu iktibar dan penghayatan untuk dijadikan perangsang memotivasikan kehidupan.

Antara aspek yang paling menyerlah ketika berada di Tanah Suci ialah keakraban sesama Mukmin apabila setiap yang berada di bumi ini seolah-olah dalam satu keluarga besar berpayung di bawah satu akidah diredai Allah SWT.

Lebih menarik ialah masyarakat Arab khususnya golongan peniaga dan mereka yang berkhidmat di premis penginapan begitu lancar berbahasa Melayu.

Hal itu membuatkan setiap umat Melayu Nusantara seperti yang datang dari Malaysia, Singapura dan Indonesia bangga dengan kadar penerimaan masyarakat di sana.

Sebenarnya, sejarah hubungan Arab dan Nusantara sudah terjalin sejak abad ketujuh Masihi.

Situasi itu dijalin erat oleh golongan pedagang Arab yang datang ke seluruh kawasan pesisir Asia Tenggara.

Aceh adalah tapak awalan bermulanya sinar Islam di Nusantara sehingga berjaya membina sebuah kerajaan Islam yang hingga kini menjadi sebutan iaitu Kerajaan Samudera-Pasai.

Betapa sejarah terpahat kukuh menunjukkan ‘peristiwa terbesar’ yang berlaku di bumi Nusantara ini sepanjang zaman ialah tersebarnya usaha dakwah Islam yang dimula langkahnya oleh pendakwah dan pedagang Arab sejak pertengahan abad ketujuh.

Hakikat demikian terakam dalam catatan dinukilkan sarjana Dinasti Tang, I-Tsing atau panggilan lain menyebutnya sebagai Yijing, pemilik kepada nama sebenar, Zhang Wenming.

Sarjana dari China itu mencatatkan pada 671, ada dua negeri berlokasikan pesisir pantai, Mo-Lo-yeou(Melayu)-Jambi dan kerajaan Sriwijaya yang mempunyai perkampungan Muslim.

Selain itu, Aceh bersama Pasai-Samudera turut disenaraikan dalam catatan sejarah sebagai tapak terawal penerimaan agama Islam yang dibawa masyarakat Arab.

PENULIS (kiri) bersama penduduk Arab Saudi yang fasih berbahasa Melayu.
PENULIS (kiri) bersama penduduk Arab Saudi yang fasih berbahasa Melayu.

Meskipun masih terdapat teori lain yang mengatakan Islam di Nusantara ini disebarkan melalui pintu dagang oleh pedagang India dan China, teori yang mengatakan Islam disebar melalui dakwah oleh pedagang tanah Arab tidak boleh diketepikan sama sekali.

Hal itu berdasarkan kekukuhan bukti dan analisis data sejarah.

Hubungan erat sehingga terbentuk kerajaan Islam bukan saja berserata di kawasan pulau Sumatera dan Jawa (kini di Indonesia) malah meliputi beberapa kawasan di Tanah Melayu (Malaysia) seperti di Kedah, Melaka serta Terengganu.

Perjalanan sejarah kedatangan Islam dan keakraban masyarakat Arab dengan penduduk setempat di Nusantara tetap berjalan utuh sehingga kini yang bukan semata-mata antara pucuk pimpinan antara negara malah membabitkan warganya.

Hal itu dapat dihidu dengan jelas tatkala menunaikan ibadat haji dan umrah.

Ketara sangat percikan keakraban hubungan ukhuwah antara masyarakat Nusantara dengan masyarakat Arab.

Ini pernah saya rasai sendiri apabila kita berada di restoran sekalipun, pasti akan ada orang Arab yang secara spontan akan menegur dan ingin berkomunikasi dengan kita.

Amat beruntung bagi seseorang jemaah haji dan umrah sekiranya mereka mampu berbahasa Arab kerana ia sekali gus boleh menambahkan koleksi rakan setauhid dengan lebih berkesan.

Namun, yang tidak mampu menguasai bahasa Arab tetap mesra meskipun dalam kadar terbatas.

Seakan-akan hubungan silam kembali bertaut padu menerusi amalan haji dan umrah serta situasi itu membawa kita kepada ingatan betapa sejarah silam mengajar kita untuk terus berukhuwah dalam rangka hidup bersendikan syariat agama.

Hubungan erat penuh mesra antara masyarakat Nusantara dengan Arab serta masyarakat lain dari serata dunia melambangkan paparan kehidupan sebenar seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW.

Cubit paha kanan, terasa di paha kiri, bagai aur dengan tebing terzahir dengan jelas ketika kami berada di bumi haramain yang mulia itu.

Apa yang terpapar dalam perjalanan rohani di Madinah dan Makkah juga menjelaskan segala didikan Rasulullah SAW dalam aspek sosial tetap dijunjung tinggi.

Bersepakat meskipun dalam perbezaan warna kulit. Berkomunikasi mesra meskipun berlainan tutur bicara.

Saling melempar kuntuman senyuman meskipun berlainan budaya resamnya. Itulah warna kehidupan Islam.

Tambah menggembirakan saya apabila rata-rata orang Arab tanpa berselindung memuji ketinggian pekerti luhur masyarakat kita ketika berada di sana.

Nama Malaysia dan masyarakat rantau Nusantara ini begitu harum lantaran percikan akal budi dan pekerti peribadi yang terpuji.

Terasa di hati bahawa masyarakat Nusantara seolah-olah membawa imej pewaris sunah Rasulullah SAW yang jitu.

Sesungguhnya ibadat haji dan umrah bukan sekadar amal ibadat secara spiritual, tetapi sarat dengan imbauan serta imbasan penghayatan sirah silam untuk dihayati seterusnya dijadikan pedoman kehidupan.

Pasti tidak akan terasa berada di bumi asing kerana menyedari kita semua adalah hamba Allah SWT.

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 8:00 AM
Digital NSTP Subscribe