SETIAP anggota masyarakat perlu tanam sikap simpati terhadap petugas kesihatan yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik membasmi penularan wabak.
SETIAP anggota masyarakat perlu tanam sikap simpati terhadap petugas kesihatan yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik membasmi penularan wabak.
Mohd Shahrizal Nasir


RASULULLAH SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud: “Berkelakuanlah kepada manusia dengan perlakuan yang baik.” (Hadis riwayat Ahmad)

Hadis ini dilihat sangat signifikan dalam keadaan sekarang. Setiap orang perlu berakhlak dengan akhlak yang baik antara satu sama lain ketika menghadapi ujian sekarang. Ketika ini seluruh rakyat Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perlu difahami ketetapan yang dibuat kerajaan Malaysia ini bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak. Ia langkah yang perlu diambil bagi memastikan wabak Covid-19 dapat disekat daripada terus menular. Maka tiada pilihan lain untuk menyekat wujudnya kontak rapat antara pesakit yang didapati positif wabak ini dengan orang lain yang sihat melainkan dengan pengawalan pergerakan khususnya melibatkan perkumpulan orang ramai.

Situasi ini sebenarnya memerlukan pemahaman yang jelas tentang sifat kebersamaan dalam menghadapi ujian mendepani penularan wabak Covid-19 di negara ini. Orang yang disahkan menghidap penyakit daripada virus ini atau orang yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit dilarang mendekati orang yang sihat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Orang yang sakit janganlah mendatangi orang yang sihat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ketetapan ini memberi petunjuk jelas tentang perlunya seseorang mengasihi orang lain agar tidak menerima jangkitan wabak Covid-19. Sesungguhnya seseorang Muslim yang memiliki iman yang sempurna akan mengasihi orang lain seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.

Begitu juga dengan orang awam yang sihat, mereka perlu mematuhi perintah yang dikeluarkan pihak berkuasa agar diri mereka tidak terdedah dengan jangkitan wabak Covid-19. Setiap anggota masyarakat tidak boleh berdegil sebaliknya perlu menanam sikap simpati terhadap petugas kesihatan yang sedang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik membasmi penularan wabak ini.

Jika semua orang memainkan peranan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan kekal berada di rumah, maka pihak polis dan tentera juga tidak perlu mengeluarkan pelbagai arahan atau menguatkuasakan undang-undang demi memastikan setiap arahan dipatuhi.

Selain itu, pada saat negara berdepan dengan ujian ini ada pula sesetengah anggota masyarakat yang dilihat mementingkan diri sendiri. Mereka membeli barang lebih daripada keperluan. Akhirnya orang kemudian tidak dapat membuat pembelian atau terpaksa menunggu stok barangan baharu sampai di kedai. Perbuatan tersebut jelas menunjukkan hilangnya sikap bertimbang-rasa dalam diri.

Islam menggesa setiap umatnya menyebarkan kasih sayang. Orang yang memiliki sifat kasih sayang sesama manusia tidak akan tergamak melihat orang lain berada dalam kesusahan. Malah, orang yang memiliki sifat kasih sayang akan menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Para pengasih dan penyayang dikasihi dan disayang oleh Ar-Rahman (Allah). Rahmatilah yang ada di bumi nescaya kalian akan dirahmati oleh yang berada di langit.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Perbuatan menyebarkan berita kurang tepat apatah lagi palsu adalah perbuatan orang yang tidak mempunyai sifat kasih sayang. Golongan seperti ini suka melihat orang lain berada dalam kegelisahan dan ketakutan. Berita palsu tidak akan tersebar sekiranya setiap orang memahami perbuatan mencipta berita tersebut diharamkan agama.

Begitu juga dengan kemunculan orang yang mengambil kesempatan dalam situasi sekarang. Majlis Keselamatan Negara (MKN) menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan kewujudan pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar kononnya hadir ke rumah untuk menjalankan imunisasi Covid-19. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membenarkan pihak yang mencurigakan masuk ke dalam rumah mereka.

Seluruh rakyat disaran agar terus mematuhi ketetapan yang dibuat oleh kerajaan. Dapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa melalui pengumuman yang dibuat pihak kerajaan. Dalam masa sama, setiap orang perlu sama-sama berdoa agar ujian ini segera berakhir dan rakyat Malaysia dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada sesuatu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe