BEBERAPA hari ini negara kita hangat dengan wabak dan penularan virus. Semoga Allah membentengi diri kita atas nama Tuhan yang memiliki kemuliaan dan kekuatan. Ini doa yang diajarkan ulama bila wabak melanda.

Jangan pandang enteng pada wabak. Antara wabak pernah menggemparkan dunia ialah penyakit bawaan nyamuk seperti malaria dan denggi. John McNeil, seorang profesor sejarah dan pengarang buku Mosquito Empires menyebutkan dalam sesetengah keadaan, nyamuk boleh mempengaruhi perubahan dunia.

Dalam sejarah peperangan abad ke-20, jumlah korban akibat penyakit lebih banyak berbanding akibat senjata. Kebanyakan penyakit ini dibawa oleh nyamuk.

Ketika Revolusi Amerika sekitar 1780, pihak British memilih southern strategy dengan menghantar sepasukan besar tentera ke selatan. Kawasan berkenaan diserang wabak malaria dan nyamuk Anopheles.

Pihak British berperang menentang rakyat setempat yang kebanyakan mereka tinggal di dalam zon malaria dan sudah kebal penyakit itu.

Apabila seseorang itu dijangkiti malaria, mereka akan menjadi kebal dengan penyakit itu. Alah bisa tegal biasa. Lagi banyak dijangkiti, lagi tinggi kekebalannya.

Tentera British yang baru kali pertama terdedah dengan malaria dijangkiti dan ia melumpuhkan tentera mereka. Akibatnya, antara Jun hingga November 1780, lebih separuh tentera British menderita wabak malaria.

Menurut Gordon Patterson penulis buku ‘The Mosquito Wars’, ketika Perang Dunia Kedua pihak Amerika memperoleh kelebihan ke atas tentera Jepun kerana nyamuk. Mereka menghantar 10,000 tentera ke kawasan aktif malaria di Selatan Pasifik kerana mempunyai kelengkapan dan kepakaran untuk mengatasi demam malaria berbanding Jepun.

Mereka menubuhkan sebuah pusat untuk memantau dan mengatasi wabak malaria. Nyamuk aedes simbol eksklusif, ia tidak menyerang mangsa sepanjang waktu. Ia lazimnya keluar ketika senja dan subuh. Ia juga tidak membiak di semua tempat. Ia sukakan tempat yang sempit, kawasan bebas gangguan dan di dalam air bersih.

Wabak yang datang dari binatang atau benda yang hina ini patut buatkan kita terkenang pada sepotong ayat al-Quran yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 26)

Ketika mengulas ayat ini, kebanyakan ulama tafsir menukilkan satu kenyataan dalam kitab mereka: “Nyamuk itu hidup ketika lapar dan menjadi mati ketika gemuk (kenyang).”

Bagaimana cara kita memahami kenyataan ini? Secara saintifiknya, nyamuk tidak mati ketika gemuk kerana setelah menghisap darah, nyamuk akan mencari kawasan untuk bertelur. Boleh jadi maksudnya ialah apabila seekor nyamuk lapar dan kurus, mereka lebih selamat kerana bergerak dengan bebas dan pantas. Namun setelah kenyang dan gemuk, mereka tidak mampu terbang tinggi sehingga lebih terdedah dengan bahaya.

Imam al-Razi dalam Tafsir al-Kabir menjelaskan bahawa kenyataan itu perumpamaan kepada kehidupan di dunia ini. Jika seseorang itu tidak terikat hatinya dengan dunia, ia akan menjadi seperti nyamuk lapar bebas terbang dengan selamat.

Namun jika dirinya tenggelam dalam kemewahan dunia, ia akan jadi lemah dan musnah seperti nyamuk yang gemuk.

Menurut ahli tafsir, ayat ini sebenarnya turun selepas orang Musyrik mempertikaikan ayat al-Quran sebelumnya ketika Allah SWT membuat perumpamaan dengan sesuatu yang dipandang remeh seperti lalat dan labah-labah.

Ia suatu isyarat bahawa Allah sebagai sebaik-baik pencipta, tidak sekali-kali malu untuk mendatangkan sekecil-kecil umpama, lantaran di sebaliknya tersimpul sebesar-besar rahsia.

Sedarlah, Allah sedang menegur kita. Jadilah seorang hamba yang lebih peka. Kalau sekecil-kecil komen di media sosial buat kita sentap, teguran Allah sepatutnya buat kita lebih terasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:10 AM
Digital NSTP Subscribe