GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Dr Ahmad Sanusi Azmi

DALAM situasi kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setiap kita hendaklah mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Ini bagi memastikan usaha kerajaan untuk mengawal penularan dan memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19 ini berjaya.

Daripada aspek syariat pula, setiap Muslim seharusnya mematuhi arahan yang dikeluarkan pemimpin selagi arahan itu tidak menjerumuskan mereka kepada maksiat.

Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menjelaskan kepada kita bahawa kepatuhan Muslim kepada setiap langkah yang digariskan dalam mendepani suasana wabak sebegini akan menyebabkan mereka memperoleh ganjaran yang tidak ternilai.

Sabda Rasulullah SAW: “Maka mana-mana lelaki yang berada dalam suasana wabak taun, lalu dia kekal berada di dalam rumahnya dengan penuh kesabaran dan mengharap ganjaran Allah, nescaya dia akan mendapat pahala seperti orang mati syahid.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut al-Imam Ibn Hajar, hadis ini menekankan aspek disiplin seorang Muslim dalam menghadapi suasana wabak.

Muslim seharusnya mengimani bahawa wabak yang melanda ini adalah ketentuan daripada Allah SWT, mereka seharusnya mampu mengawal diri mereka di rumah, bersabar atas segala ujian yang menimpa mereka serta meyakini bahawa tidak ada sesuatu pun yang berlaku melainkan atas ketentuan Allah SWT.

Andai sekiranya semua ciri-ciri ini dimiliki oleh seorang Muslim, maka beliau berhak mendapat ganjaran seperti pahala syahid, seperti yang disebutkan di dalam hadis.

Larangan memudaratkan orang lain

Dalam hadis lain pula, Rasulullah SAW menegaskan setiap Muslim itu tidak seharusnya melakukan tindakan boleh memudaratkan orang lain.

Dalam erti kata lain, ketika berlangsungnya PKP ini, Muslim seharusnya duduk diam di rumah.

Tindakan mereka yang enggan mematuhi arahan dengan keluar sesuka hati bukan saja boleh menggagalkan rancangan kerajaan bagi mengawal wabak, bahkan berpotensi menjadi punca kepada kemudaratan orang lain.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menegaskan: “Barang siapa yang memudaratkan orang lain, maka Allah akan mendedahkan mudarat padanya. Barang siapa yang menyusahkan orang lain, Allah boleh menyusahkan urusannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini jelas menunjukkan betapa Allah SWT tidak suka kepada hamba-Nya yang mendedahkan kemudaratan kepada orang lain.

Islam memuji penyelamat nyawa

Dari sudut yang lain pula, Allah SWT memuji tindakan Muslim yang berusaha menyelamatkan nyawa orang lain.

Dalam al-Quran, Allah SWT memberikan perumpamaan bahawa mereka yang menyelamatkan nyawa seseorang itu seumpama dia sudah menyelamatkan nyawa seluruh manusia. (Surah al-Maidah, ayat 32).

Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Mujahid menjelaskan bahawa semua usaha menyelamatkan nyawa manusia dikira termasuk dalam maksud ayat ini.

Kata beliau: “(Yang dimaksudkan ayat ini termasuklah) mereka yang menyelamatkan manusia dari tenggelam lemas atau dibakar, atau apa-apa kebinasaan.” (Tafsir Ibn Kathir)

Huraian oleh al-Imam Mujahid ini membayangkan betapa usaha petugas kesihatan kita pada hari ini turut boleh dikategorikan sebagai usaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

Ingatkah kita kisah seorang lelaki (dalam sebahagian riwayat mengatakan pelacur) yang memberi minum kepada anjing? Beliau dikatakan menyelamatkan anjing daripada kebinasaan.

Ketika menceritakan kisah ini, Rasulullah SAW memuji lelaki (atau pelacur ini) dan berkata: “Maka Allah memujinya (melalui malaikat) dan mengampunkan dosanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Dalam menghuraikan hadis ini, Menteri Agama Mesir (Wazir al-Auqaf) Dr Muhammad Mukhtar Jum’ah menjelaskan: “Bayangkan sekiranya menyelamatkan nyawa binatang saja pun diampunkan dosa, dipuji oleh Allah SWT dan dianugerahkan syurga, apatah lagi pahala mereka yang menyelamatkan nyawa manusia.”

Perhatikan di sini bagaimana tingginya darjat mereka yang berusaha menyelamatkan nyawa manusia.

Allah SWT memuji mereka di hadapan malaikat, dosa mereka diampunkan, urusan mereka dipermudahkan di hari akhirat dan mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan kepada mereka syurga yang kekal abadi.

Dengan itu, mari kita berusaha bersama menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dengan duduk diam-diam di rumah.

Berikan sokongan kepada petugas kesihatan dan keselamatan kita. Semoga Allah SWT membimbing kita.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Sains Islam (USIM)

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:59 AM
    Digital NSTP Subscribe