PENULIS tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis kurma yang dijual di ladang.
PENULIS tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis kurma yang dijual di ladang.
USTAZ Badrul Hakimi (kiri) bersama seorang jemaah yang menziarahi ladang kurma.
USTAZ Badrul Hakimi (kiri) bersama seorang jemaah yang menziarahi ladang kurma.
PENJUAL kurma berhampiran ladang fasih berbahasa Melayu dan jemaah tiada masalah membeli atau tawar menawar.
PENJUAL kurma berhampiran ladang fasih berbahasa Melayu dan jemaah tiada masalah membeli atau tawar menawar.
Mohd Rizal Azman Rifin


SESUNGGUHNYA setiap inci ruang lokasi baik di Makkah mahupun Madinah, semuanya memiliki nilai sejarahnya yang tersendiri dan berikutan itu kebanyakan jemaah pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai setiap ziarah yang dilaksanakan.

Hal itu termasuk diri penulis sendiri yang bersama rombongan Umrah JAD Travel bersama Ustaz Badrul Hakimi dalam memberi penerangan serta sejarah setiap lokasi lawatan.

Paling indah apabila penulis diizinkan Allah SWT untuk membawa semua ahli keluarga termasuk empat anak, isteri bersama ibu bapa serta dua adik kandung untuk sama-sama mengimbau kembali sejarah Islam di dua lokasi suci berkenaan.

Hari kedua berada di Kota Madinah, jemaah dibawa
ke sebuah ladang kurma tidak jauh dari Masjid Quba dan semasa berada di dalam bas, kebanyakan ahli rombongan lebih banyak memfokuskan perbualan berkenaan pokok kurma saja.

Bas rombongan bergerak semakin perlahan memberi petanda rombongan jemaah semakin menghampiri ladang kurma dan boleh dilihat dari jauh sudah ada deretan pokok kurma yang menghijau subur.

Tatkala sampai di pinggiran sebuah ladang, jemaah secara penuh berdisiplin keluar dan beratur dengan tertib seperti yang dinasihatkan oleh mutawif.

Sebaik berada di ‘muka pintu’ masuk ke ladang kurma itu, secara tiba-tiba anak perempuan penulis iaitu Amna Fahimah bersuara riang dan memanggil isteri untuk menzahirkan keseronokannya apabila sampai di ladang kurma berkenaan.

Selepas selesai melawat persekitaran ladang kurma, jemaah diarahkan berkumpul di sudut utama pintu masuk ladang kurma bagi penerangan lanjut Ustaz Badrul Hakimi.

Penulis mengingati pesanan mutawif sebelum berangkat ke Tanah Suci iaitu setiap inci tempat di Tanah Suci mempunyai nilai sejarahnya tersendiri dan ia menjadi saksi kedatangan Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Menziarahi ladang kurma tidak hanya melihat kepada pepohon itu sebaliknya mengimbau kisah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abu Darda’ daripada kaum Ansar yang mendapat pohon kurma di syurga.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud, ketika ayat 245 Surah al-Baqarah diturunkan bermaksud: “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (membelanjakan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya.”

Maka seorang sahabat akrab Rasulullah SAW iaitu Abu Darda’ berkata: “Wahai Rasulullah, apakah memang Allah menginginkan pinjaman daripada kami?”

Lalu Baginda SAW menjawab: “Benar, sahabatku,” Abu Darda’ berkata lagi; “Wahai Rasulullah, hulurkan tanganmu.” Maka Rasulullah SAW pun menghulurkan tangannya kepada sahabatnya itu, lalu pada ketika juga Abu Darda’ berkata: “Sesungguhnya aku meminjamkan kepada Tuhanku kebun milikku.”

“Labbaik!” Abu Darda segera berkata: “Keluarlah kamu, sesungguhnya aku telah meminjamkan kebun ini kepada Tuhanku.”

Inilah sebahagian kisah dan setiap pandangan di Makkah dan Madinah mengimbau kisah perjuangan Nabi SAW.

Sesungguhnya perjalanan ziarah kami ke ladang kurma seolah-olah mengimbau kembali sejarah perjuangan Rasulullah SAW dulu sekali gus memberi keinsafan kepada jemaah.

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 7:01 AM
Digital NSTP Subscribe