PROSES pengebumian perlu berlangsung dengan ketat bagi memastikan tiada ruang penyebaran wabak berlaku.
PROSES pengebumian perlu berlangsung dengan ketat bagi memastikan tiada ruang penyebaran wabak berlaku.
Oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi


SITUASI penularan Covid-19 banyak mengubah corak kehidupan manusia. Semua aspek kehidupan terpaksa disusun semula tidak kira dari aspek pendidikan, kehidupan peribadi, pengurusan ekonomi sehingga kepada pentadbiran negara. Ini tidak lain adalah bagi mengawal kemudaratan yang lebih besar yang berupaya menggugat nyawa jutaan manusia.

Begitu juga aspek pengurusan jenazah. Dalam situasi yang luar biasa, maka pengurusannya juga adalah tidak seperti biasa. Situasi penularan Covid-19 bukan satu situasi yang pernah berlaku di Malaysia.

Jenazah pesakit Covid-19 dikatakan berpotensi memindahkan virus terbabit kepada pihak pengurusan jenazah. Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia membincangkan kaedah terbaik dalam pengurusan jenazah bagi mengawal penularan wabak ini terhadap petugas kesihatan yang menguruskan dengan  menggunapakai keputusan Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola di Malaysia.

Namun dalam situasi ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bersetuju untuk menukarkan prosedur asal mandi jenazah digantikan kepada perlaksanaan tayammum terhadap jenazah. Ini bagi mengurangkan risiko terhadap petugas daripada terkena air atau tersentuh kulit yang mempunyai risiko menyebarkan virus kepada pihak pengurusan.

Bagi proses mengkafankan mayat pula, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengumumkan bahawa proses kafan adalah memadai dengan balutan kain yang dilaksanakan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jenazah berkenaan.

Proses pengebumian jika berlangsung dengan ketat bagi memastikan tiada ruang penyebaran wabak berlaku.

Segala perubahan prosedur dan protokol pengurusan jenazah ini menggambarkan betapa Islam itu bukan agama yang rigid dan sempit. Islam sangat fleksibel dan praktikal, sesuai dengan kehidupan manusia. Islam mengutamakan kesejahteraan manusia, membimbing manusia membina kehidupan yang harmoni.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 7:00 AM