QALISYA Umairah, 8, dan adiknya Qalisya Khaira Zam Zaharesh, 5, sangat teruja dapat bermain pondok-pondok, memasak serta mengulangkaji pelajaran di dalam 'rumah' yang dibina oleh datuk dan nenek mereka di Taman Mata Ayer, Kangar. FOTO Bernama
QALISYA Umairah, 8, dan adiknya Qalisya Khaira Zam Zaharesh, 5, sangat teruja dapat bermain pondok-pondok, memasak serta mengulangkaji pelajaran di dalam 'rumah' yang dibina oleh datuk dan nenek mereka di Taman Mata Ayer, Kangar. FOTO Bernama
Mohd Noor Ikhram Husin


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dengan izin Allah mampu menyelamatkan nyawa dan dianggap oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) antara kaedah terbaik menangani virus jahat Covid-19.

Lain pula kerisauan ibu bapa mengenai masa depan anak apabila sesi pembelajaran dihentikan.

Kebimbangan ini berasas, namun ibu bapa perlu meletakkan keyakinan terhadap kepemimpinan kerajaan yang pasti tidak mempersiakan bakal pemimpin masa depan.

Maka, pengurusan dan perancangan amat kritikal perlu dipersiapkan pihak berwajib mengenai persediaan fizikal serta mental para pelajar.

Perubahan jadual waktu peperiksaan, tiada peperiksaan UPSR dan PT3 antara kebiasaan baharu (new normal) yang perlu dibiasakan.

Namun, penelitian kesan psikologi semasa dan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini perlu diambil kira.

Dalam kalangan remaja yang diuji isu kesihatan mental boleh mengakibatkan akses terhad kepada sumber pemulihan yang terdapat di sekolah.

Mereka mungkin kehilangan sokongan kesihatan mental seperti, sistem sokongan rakan sebaya atau perkhidmatan terapi kaunseling secara bersemuka.

Keperluan kritikal ketika ini bagi penggemblengan kepakaran pihak pentadbiran, pegawai psikologi, kaunselor berdaftar perlu bekerjasama erat dalam menyambut saranan kerajaan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran baharu semasa dan selepas PKP ini.

Penilaian psikometrik melalui pegawai psikologi diperlukan bagi memastikan tidak berlaku gangguan Post Traumatic Disorder (PTSD) iaitu kecelaruan emosi berpanjangan selepas seseorang berhadapan sesuatu tragedi di dalam kehidupan mereka.

Trauma ini tidak sama paras ketakutan, mengancam nyawa dan merbahaya dan ia dikhuatiri mempengaruhi kitar kehidupan mereka jika tidak ditangani dengan berkesan.

Rutin persekolahan amat penting dalam pembinaan daya tindak coping skills bagi golongan muda yang diuji isu kesihatan mental.

Apabila sekolah ditutup, mereka kehilangan kekuatan dalam kehidupan andai sekolah dijadikan satu-satunya sumber yang ada.

Bagi sesetengah kanak-kanak dan remaja, kesukaran membiasakan kehidupan selepas berakhirnya PKP perlu diberi penekanan.

Kebergantungan terlalu lama terhadap gajet lebih menyukarkan untuk mereka kembali melalui kehidupan normal.

Justeru, persediaan jadual pembelajaran dengan perbincangan bersama antara ibu bapa amat penting bagi mengurangkan kebimbangan kerana terlalu banyak berfikir mengenai ketidaktentuan masa depan.

Disebabkan itu, tidak pernah terlambat bagi ibu bapa bahkan pendidik menetapkan pembudayaan pembelajaran ilmu akidah, fikah dan tasawuf di kalangan remaja dan kanak-kanak.

Jika kita perhatikan, Imam Ghazali menyarankan pembelajaran ilmu fikah boleh bermula dengan kitab Bidayatul Hidayah untuk ilmu akidah menerusi kitab Arbain Fi Usuluddin dan kitab Minhajul 'Abidin pula bagi bidang tasawuf.

Penjarakan sosial boleh menjadi penyebab pengasingan sosial bahkan dikhuatiri menjadi faktor keganasan domestik.

Terdapat keperluan memantau kesihatan mental golongan muda bagi jangka masa panjang.

Kajian adakah tempoh penutupan sekolah, kesan penjarakan sosial remaja serta kanak-kanak daripada rakan sebaya yang terlalu lama berdepan pandemik akan memudaratkan personaliti juga keseimbangan kerohanian dan fizikal mereka.

Justeru, pemerhatian kesan psikologi terhadap kanak-kanak dan golongan remaja perlu diberi perhatian terutama membabitkan kesihatan mental.

Semoga kita tabah berjuang dan menyokong petugas barisan hadapan negara.

Penulis adalah  Pegawai Psikologi Kanan,  Bahagian Pengurusan Psikologi,  Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan AJK Tugas Khas Pertubuhan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 7:05 AM