USTAZ Nazmi ketika misi bantuan di Syria.
USTAZ Nazmi ketika misi bantuan di Syria.
Lizam Ridzuan


TIDAK hanya di tanah air sendiri, usaha, jasa dan pengorbanan yang disumbangkan beliau banyak memberi manfaat buat umat Islam di luar negara.

Ustaz Mohammad Nazmi Abdul Karim, 46, banyak terbabit dengan misi bantuan terutama di Syria, negara yang beliau pernah menuntut ilmu selama tujuh tahun.

Menurutnya, pada peringkat awal pembabitannya pada 2009, dia hanya menjadi penterjemah untuk membantu Muslim Care Malaysia (MCM) untuk berkomunikasi dengan bekas Imam Masjid al-Aqsa, Syeikh Dr Mohammad Mahmood Siyam.

Ustaz Nazmi kemudiannya menjadi penterjemah kepada wakil Hamas yang datang ke Malaysia selain balu Dr Abdul Aziz Rantisi yang juga antara pemimpin tertinggi Hamas di Palestin yang gugur syahid.

"Sehinggalah ditakdirkan berlaku kebangkitan rakyat di Syria pada awal 2011, saya mengajak MCM membantu umat Islam yang dizalimi di sana.

"Sejak itu, saya secara rasmi menyertai MCM dan kami merancang banyak misi bantuan," katanya yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Usahanya secara aktif sejak 2012 untuk menyampaikan bantuan bukan mudah. malah menempuh banyak halangan dan cabaran.

Ini kerana, pada waktu itu, tidak ramai yang mengenali Syria termasuklah warga Malaysia.

"Ini kerana Syria adalah negara yang mengamalkan dasar tertutup walaupun melahirkan ribuan alim ulama di serata dunia.

"MCM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama dari Asia yang berjaya masuk ke Syria ketika tempoh peperangan yang berlaku pada waktu itu malah kami sendiri turut berdepan pelbagai risiko keselamatan," katanya.

Menurut Ustaz Nazmi yang juga anak ketiga daripada lapan beradik, pada peringkat awal, bantuan lebih kepada makanan, perubatan dan pakaian untuk musim sejuk.

"Bagaimanapun, sejak 2014, berlaku kebanjiran pelarian Syria di sempadan Turki maka tercetus idea untuk membuka Tadika buat kanak-kanak yang kehilangan tempat belajar.

"Tadika berkenaan ketika itu mampu menempatkan 200 murid dan kini, kami berjaya menyediakan enam sekolah termasuk menengah di Rayhanli (sempadan Turki-Syria) dan Ariha di Idlib, Syria," katanya yang juga Exco Pendidikan MCM.

Menurut Ustaz Nazmi, antara sebab dia berusaha membantu adalah kerana terhutang budi dengan ilmu dan tertarik dengan budi bahasa yang dipamerkan masyarakat Syria, terutama guru-guru yang mengajarnya dahulu.

"Orang Syria terkenal dengan watak lemah-lembut dan tidak kasar seperti bangsa Arab yang lain.

"Pada masa sama, banyak hadis Nabi Muhammad SAW yang menceritakan kelebihan negara Syam ini dan pahala membantu mereka yang memerlukan," katanya yang menamatkan pengajian di Maahad Al Furqan di Damsyik dalam bidang bahasa Arab dan Syariah pada 1998.

Ustaz Nazmi berkata, beliau dan rakan lain bukan setakat menghulurkan bantuan di negara Arab malah, berusaha mengukuhkan lagi syiar Islam di Malaysia.

"Oleh itu, kami membuka Maahad Turath Al Islami di Shah Alam, Selangor. Ia pusat pengajian yang menitikberatkan ilmu turath (ilmu warisan ulama silam).

"Ia kemudian menjadi rujukan silibus bagi Maahad Turath Yayasan Pahang, ini antara pengiktirafan yang kami peroleh," katanya.

Menurut Ustaz Nazmi, selain sibuk dengan urusan di maahad, beliau serta rakan memantau perkembangan sekolah selain kem pelarian di Syria malah turut menghantar bantuan bekalan berbuka puasa di sana.

Ustaz Nazmi menyeru, sekiranya ada pihak yang ingin menghulurkan bantuan buat umat Islam di Syria, boleh menyumbang di akaun Maybank 5644 9041 3882 atas nama Muslim Care Malaysia.

INFO:

- Ustaz Mohammad Nazmi Abdul Karim mendapat pendidikan awal di Methodist ACS Klang, Selangor sebelum menyambung pengajian di sekolah pondok Tarbiah Al Ansar, Batang Berjuntai, Kuala Selangor.

- Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Pusat Pengajian Islam Taman Islam Kemaman, Terengganu pada 1989 sebelum ke Syria pada 1992.

- Beliau juga menyambung pengajian di Universiti Al Azhar di Mesir pada 2000 hingga 2001 dalam bidang Syariah sehingga mendapat Sarjana Muda Kepujian (B.A Hons).

- Pada 2002 hingga 2005, beliau melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Sains Politik di American Open University of Cairo di Kaherah, Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 7:00 AM