SEKOLAH Arab Parit Subari atau kini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Agama Addiniah.
SEKOLAH Arab Parit Subari atau kini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Agama Addiniah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MESKIPUN tokoh ini handal dalam ilmu mempertahankan diri, tetapi kemampuan ilmu agama dan kebatinan dimilikinya tidak kurang hebatnya.

Kelebihan ini hasil didikan selain berguru dengan pakar ilmu Tasawuf, Allahyarham Kiyai Ahmad Shah Abdul Jabbar di Parit Yusof, Muar, Johor.

Malah, Allahyarham Abdullah Abd Wahid, antara individu penting yang bersama-sama Allahyarham Kiyai Ahmad Shah dan penduduk kampung berjuang menentang pengganas Bintang Tiga menerusi amalan zikir.

Cucu Allahyarham Abdullah Abd Wahid, Mohd Fadzil Hassan, 49, berkata, mereka melakukan amalan zikir berkenaan setiap hari sepanjang malam bermula selepas solat Isyak hingga Subuh.

"Kira-kira 10 orang terbabit dengan zikir ini yang dilakukan di sebuah pondok dalam kawasan sawah di kampung itu.

"Kelebihan daripada amalan zikir ini dapat menggagalkan usaha komunis daripada menyerang Kampung Parit Yusof apabila mereka melihat kampung ini berubah menjadi 'lautan'," katanya.

Menurutnya, kemampuan arwah datuknya bersama Allahyarham Kiyai Ahmad Shah dan penduduk kampung 'mengubah' laluan denai di kampung berkenaan kepada 'lautan' menggambarkan ketinggian ilmu agama dimiliki mereka.

Menurutnya, pada masa itu, Bintang Tiga sangat kejam dan ganas kerana anggotanya bukan saja membunuh penduduk malah pemimpin kampung serta tokoh agama.

"Banyak kampung di Muar diserang Bintang Tiga dan mereka bermaharajalela membunuh penduduk tanpa belas kasihan.

"Alhamdulillah, kampung ini terselamat daripada diserang hinggalah komunis berundur dari Muar," katanya.

Mohd Fadzil berkata, arwah datuknya juga turut mengajar silat kepada penduduk kampung untuk menentang Bintang Tiga demi mempertahankan maruah agama dan bangsa.

"Anak murid arwah datuk berjuang bersama-sama Kiyai Mohd Salleh Abd Karim atau lebih dikenali sebagai Panglima Tentera Selempang Merah.

"Arwah datuk tidak turut serta kerana mengawasi kawasan Kampung Parit Yusof," katanya.

Berkongsi ringkas sisi peribadi Allahyarham Abdullah Abd Wahid, Mohd Fadzil berkata, arwah datuknya seorang yang sangat tegas menyebabkan dia begitu dihormati penduduk kampung.

"Ketika kecil, saya juga takut untuk lalu di hadapannya walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Arwah datuk sangat marah jika seseorang itu solat tanpa memakai songkok selain menekankan disiplin yang tinggi dalam kehidupan," katanya.

Selain itu, katanya, arwah datuknya juga dikenali sebagai tukang kayu yang hebat.

"Allahyarham menebang balak dalam hutan sebelum dipotong bagi membina masjid dan sekolah Arab.

"Masjid yang dibina ialah Masjid al-Hijrah Pekan Baru, Parit Yusof dan masjid itu kini berusia hampir 50 tahun.

"Sekolah Arab yang dibinanya ialah Sekolah Arab Parit Subari sebelum bertukar nama kepada Sekolah Menengah Agama Addiniah, Parit Subari," katanya.

Menurut Mohd Fadzil, antara pesanan arwah datuknya sebelum meninggal dunia ialah supaya melazimkan amalan zikir, qiamullail dan memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 7:00 AM