ANTARA lelaki tempatan yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti Daish dalam operasi berasingan dilakukan pada 8 hingga 10 September 2017. Suspek mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda dan Kumpulan Pengganas Abu Sayyaf Group.
ANTARA lelaki tempatan yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti Daish dalam operasi berasingan dilakukan pada 8 hingga 10 September 2017. Suspek mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda dan Kumpulan Pengganas Abu Sayyaf Group.
Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah


KAITAN kumpulan pengganas dengan fahaman Salafi @ Wahhabi @ Salafi Wahhabi (SW) dalam tempoh 40 tahun kebelakangan ini tidak dapat dipertikaikan. Pengkaji keganasan menganggap Sheikh Muhammad Abdul Wahhab (SMAW) sebagai godfather keganasan moden dan militan Islam masa kini. Analisis yang dibentangkan di sebuah negara Barat menunjukkan penyokong SW aktif dalam setiap peringkat rantaian keganasan.

Jika dikaji kumpulan pengganas yang bertopengkan Islam dalam tiga dekad terakhir, teras ideologi mereka adalah SW. Sebagai contoh, ulama dan sarjana bersetuju bahawa kumpulan pengganas Al-Qaeda (AQ) adalah berasaskan fahaman SW dengan penyokong SW merupakan penyumbang terbesar dana AQ. Malah, Sheikh Abdul Aziz Bin Salih al-Jarbu menyatakan dalam sebuah buku bahawa perjuangan Osama Bin Laden merupakan kesinambungan perjuangan Sheikh Muhammad Abdul Wahhab (SMAW). Dalam Peristiwa 11 September, Zacarias Moussaoui, perampas ke-20 dalam plot tersebut mengakui bahawa SW menjadi inspirasi kepada tindakan ganas mereka.

Kajian mengenai [email protected] memaparkan bukti serupa. Pengasasnya, kurikulum sekolahnya, doktrin tauhid tiga (Uluhiyah, Rubbubiyah dan Asma Wal Sifat) yang disebarluaskan, kitab rujukan dalam kursus syariah, penentangan terhadap empat mazhab fiqh dan amalan tasawuf, menganggap ziarah kubur sebagai syirik, memusnahkan kubur, doktrin takfiri dan bid'ah palsu, memahami makna ayat al-Quran dan Hadis secara literal, menolak Maulidur rasul serta menolak tawassul adalah merujuk kepada fahaman SW. Apabila kita merujuk majalah Dabiq dan Rumiyyah terbitan Daish, beratus-ratus rujukan majalah ini adalah SMAW, selain Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.

Di Asia Barat, Jund Ansar Allah merupakan kumpulan pengganas SW yang menyerang Hamas, pemerintah sah Tebing Barat (Ogos 2009). Terdapat banyak kumpulan pengganas SW seperti Jund Al Sham (Lubnan), Aden-Abyan (Yaman), AQ Semenanjung Arab (Arab Saudi) selain Hayat Tahrir al-Sham (Syria).

Di Chechnya, tahun 1999 menyaksikan kemasukan penyokong SW yang mulanya seperti hendak menolong Mujahidin Chechnya, tetapi akhirnya bertindak menentang pemerintah Muslim Chechnya, menghancurkan kubur, menculik dan membunuh Muslim lain. Penyokong SW mempengaruhi Muslim Sunni untuk menjadi SW di Chechnya, Daghestan, Tartastan, Bashkortostan, dan Georgia, juga untuk menentang kerajaan sehingga membawa kepada penentangan bersenjata di Azerbaijan.

Di Asia Selatan, promosi ajaran SW melalui kumpulan seperti Ahli Hadith di India dan Pakistan sudah menyebabkan antaranya pengeboman makam sufi di Lembah Kashmir dan Utara India. Menurut Prof Muhammad Ayub Qadri, kumpulan Ahli Hadith ditubuhkan atas permintaan penyokong SW di India kepada British semenjak tahun 1886 lagi. Tahun 2010 menyaksikan pengeboman makam sufi, Hazrat Data Ganj Baksh Ali Hujweri di Lahore yang membunuh 42 orang, dua pengebom bunuh diri yang membunuh 40 dan mencederakan beratus yang lain di makam sufi di selatan Punjab (April 2011), serangan berterusan ke atas Dargah Ghulam Shah Gazi dan makam sufi lain di Sehwan Sharif, wilayah Sindh sepanjang 2013-2014 dan semuanya dilakukan berdasarkan doktrin takfiri dan 'mati syahid palsu'. Kemuncak serangan SW di Asia Selatan adalah pada 21 April 2019 yang menyaksikan penyokong SW melancarkan serangan bunuh diri di Sri Lanka dan mengakibatkan 259 orang awam terbunuh.

Di Asia Tenggara, dana daripada SW dikenal pasti membiayai kumpulan Abu Sayyaf di peringkat awal. Di Marawi dan kepulauan Mindanao, Filipina, dana berterusan daripada penyokong dan NGO SW dari Asia Barat ke masjid, penceramah, kuliah agama lama berlaku. Kemuncaknya adalah tragedi Kumpulan Maute yang menyerang Marawi bermula 23 Mei 2017.

Di Indonesia, kemunculan Jamaah Islamiyyah yang terkenal dengan pengeboman Bali 2002 (mengorbankan 180 orang), kewujudan berpuluh kumpulan pengganas lain serta yang terkini adalah Jamaah Ansarut Tauhid (terkenal dengan pengebom bunuh diri berkeluarga) serta pengebom bunuh diri merupakan mereka yang berpaksikan fahaman SW. Di Thailand, ada bukti menunjukkan serangan di wilayah selatan tahun 2006 dilakukan oleh mereka yang cenderung kepada SW.

Akhir sekali di Malaysia, kemunculan pelbagai kumpulan pengganas mulai sekitar 1990-an seperti Kumpulan Mujahidin Malaysia, Jamaah Islamiyyah, Al-Qaeda Asia Tenggara hingga kemunculan pelbagai sel kecil Daish seperti Darul Islam, Darul Islam Malaysia, dan Daulah Islamiah Malaysia adalah berpaksikan fahaman SW.

Kajian penyelidik Malaysia dan diterbitkan sebuah institusi penyelidikan kerajaan jelas menunjukkan ideologi teras tahanan dan banduan Daish di Malaysia adalah SW. Malah, pengalaman penulis sendiri dalam sesi rehabilitasi dengan banduan tegar Daish menunjukkan mereka berpegang dengan amalan seperti menolak amalan mazhab, membidaahkan Maulidul Rasul dan Nisfu Syaaban serta menolak hadis daif secara keseluruhan yang menjadi antara intipati fahaman SW.

Penulis adalah Felo Kanan Bersekutu, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 8:00 AM