RAMADAN adalah platform memberikan pendidikan bagaimana menjadi seorang muslim yang sempurna.
RAMADAN adalah platform memberikan pendidikan bagaimana menjadi seorang muslim yang sempurna.
Mohd Rizal Azman Rifin


MESKIPUN seluruh dunia diancam dengan penularan wabak Covid 19 namun umat Islam di serata ceruk rantau dunia tetap menyambut Ramadan. Sesungguhnya, Ramadan yang sedang kita lalui ini adalah bulan yang terkandung di dalamnya 1001 satu kelebihan yang sepatutnya direbut. Hal ini kerana Allah menawarkan ganjaran pahala yang cukup besar kepada umat Islam yang benar-benar menjalani ibadah puasa yang menepati kualiti yang dikehendaki agama.

Baginda Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala (reda Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." (Hadis riwayat Imam Bukhari) Justeru, kita seharusnya mempergunakan setiap detik masa di bulan Ramadan ini dengan melakukan apa sahaja amal ibadah dan berbuat kebajikan sedayanya kerana setiap amal ibadah dan amalan kebajikan di bulan Ramadan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah.

Ibadah berpuasa, apatah lagi dalam bulan Ramadan ini bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum dan kehendak kelamin semata-mata di siang hari. Kalau itu sahaja tujuan puasanya, semua orang mungkin dapat melaksanakannya dengan sempurna. Namun, apa yang dikehendaki oleh Allah semasa kita sedang melaksanakan junjung perintah-Nya melebihi tahap itu. Kita diarahkan supaya turut berpuasa anggota badan yang lain seperti lidah misalnya. Abu Hurairah ada memberitahu bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah berbicara tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa." (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Di sini bolehlah kita ibaratkan bahawa bulan Ramadan merupakan bulan tarbiah buat umat Islam. Ramadan adalah platform memberikan pendidikan bagaimana menjadi seorang muslim yang sempurna. Kalau selama ini kemungkin kita sukar mengawal tutur kata, malah perbuatan mengumpat keji, memfitnah dan seumpamanya sudah terlazim dalam kehidupan harian namun apabila berada di bulan Ramadan, segala budaya hidup yang buruk itu seharusnya dihindari. Amatlah sedih dan malang sekali sekiranya budaya negatif yang lama seperti berkata-kata yang keji, kotor dan amalan umpat dan menghina masih dilakukan sedangkan dalam waktu yang sama kita begitu khusyuk menahan diri daripada lapar dan dahaga. Lapar dan dahaga dapat ditahan, tetapi tutur kata daripada lidah tidak bertulang itu tidak pula kita tahan daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menigurangkan pahala puasa.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 8:05 AM