AIDILFITRI pada tahun 2020 ini memberi makna emosi bercampur baur bagi kebanyakan kita. - Foto NSTP
AIDILFITRI pada tahun 2020 ini memberi makna emosi bercampur baur bagi kebanyakan kita. - Foto NSTP
Oleh Mohd Noor Ikhram Husin


KESEDIHAN apabila berjauhan dengan keluarga tersayang membuatkan hati menjadi sepi dan kesunyian. Namun, atas nama menyambut perjuangan memerangi pandemik Covid-19, berlaku perpisahan sementara seorang anak dari ibu bapa atau terpisahnya seorang isteri berjauhan dengan suami tercinta. Apatah lagi pengorbanan daripada menziarahi keluarga tersayang sempena perayaan penuh warna emosi di Hari Raya Aidilfitri. Terkenang pelbagai memori indah dari zaman kecil hingga kanak-kanak meraikan bersama sanak-saudara. Gelak ketawa ketika berkumpul berkongsi cerita.

Di luar sana sedang berpanas serta berhujan para pejuang barisan hadapan daripada kalangan penjawat awam juga swasta yang terus berkorban bagi memastikan terputusnya rantaian Covid-19 demi kita dan negara. Ada dalam kalangan mereka juga terpisah berbulan lama daripada keluarga. Pandanglah mereka sebagai insan, pasti kita juga akan menghitung kesyukuran.

Merayakan Aidilfitri pada tahun 2020 ini memberi makna emosi bercampur baur sedih serta sunyi berbeza bagi kebanyakan kita. Maka, kesunyian dan kesedihan perlu diurus bagi memastikan kestabilan perasaan berfungsi. Setiap daripada kita pasti akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Apa yang seseorang hadapi, mungkin tidak pernah dan tidak akan dihadapi oleh insan lain. Dalam ujian Covid-19 ini ada ujian lain bagi insan berlainan. Kenapa pula?

Ilmu psikologi dari perspektif terapi tingkah laku kognitif (CBT) menyatakan kesedihan adalah emosi yang berkaitan dengan kekurangan peneguhan positif. Teori emosi oleh James-Lange yang dikembangkan oleh William James dan Carl Lange menerangkan emosi adalah hasil reaksi fisiologi terhadap rangsangan luaran. Dalam konteks ini, kesedihan menyambut Aidilfitri bersendirian dalam kesedihan menyumbang faktor luaran terhadap kerinduan kepada ibu bapa, keluarga, kampung halaman juga suasana berhari raya.

Allah sudah beritahu bahawa kita semua pasti akan diuji berdasarkan apa yang kita mampu. Allah sebutkan di dalam Al Quran ; "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Dalam keheningan Syawal, tidak mengapa kesedihan dan kesunyian menyapa, tetapi kita yang memilih bagaimana menguruskan kedua-duanya. Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita, tetapi reaksi atau tindak balas kita terhadap ujian itu yang memuliakan atau menghinakan kita. Orang sabar dan syukur menjadi mulia lalu mereka berjaya. Mereka yang berputus asa dan takbur, mereka gagal terhina.

Hati yang tenang akan bersyukur apa­bila menerima nikmat, sabar apabila ditimpa musibah, rela mem­beri maaf apabila dipinta, mudah meminta maaf apabila bersalah, qanaah dengan rezeki yang ada, tawakal apabila berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan manusia. Semoga Aidilfitri kali ini menjadikan kita sebagai insan yang tabah menghadapi setiap ujian melanda dengan keyakinan penuh bahawa Allah tidak pernah mempersiakan kita sebagai hamba-Nya.

Penulis adalah Pegawai Psikologi Kanan Jabatan Perkhidmatan Awam dan AJK Tugas-Tugas Khas Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Islami)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 7:30 AM