X
ISLAM merupakan agama atau sistem hidup yang menyeluruh.
ISLAM merupakan agama atau sistem hidup yang menyeluruh.
Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam

ISLAM merupakan agama atau sistem hidup yang menyeluruh atau disebut juga dengan istilahnya syumul. Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap iaitu setiap aturan berkaitan dengan semua aspek dan bidang kehidupan umat manusia, daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya.

Bagi seorang Muslim, bimbingan Islam ini mencukupi semua keperluannya kerana Islam sudah mengatur kehidupan manusia dengan lengkap yang meliputi aspek akidah, ibadat, akhlak, ekonomi, politik, kemasyarakatan, kesihatan, kebudayaan, bahasa, seni, pengetahuan, hubungan antarabangsa, alam sekitar, falsafah, sains, undang-undang dan sebagainya.

Allah SWT menjelaskan mengenai Islam sebagai agama yang kekal, bersifat umum dan menyeluruh sebagaimana dalam Surah Saba' ayat 28: "Dan kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita dan sebagai pemberi peringatan." (Saba: 28)

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT juga berfirman mengenai al-Quran yang diturunkan kepada manusia sebagai pelengkap dan penerang atas sesuatu perkara yang menjadi kemusykilan. "Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran untuk menjelaskan tiap-tiap sesuatu." (Al-Nahl: 89)

Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi terakhir membawa ajaran Islam yang lengkap dan sempurna untuk semua umat manusia di dunia ini. Risalahnya adalah abadi yang berkekalan hingga ke hari kiamat dan meliputi seluruh alam.

Risalah ini membawa hidayah yang paling lengkap kepada umat manusia. Ini menunjukkan Islam adalah sesuai dengan setiap zaman. Segala sesuatu dijelaskan di dalam al-Quran dan hadis adalah panduan yang jelas dan sesuai.

Yang berubah adalah kaedah hukum, ibadat atau syariat bukannya akidah. Sebagai contoh, al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab di bumi Makkah dan Madinah bukanlah semata-mata untuk orang Arab di Makkah sahaja.

Namun apa yang diterangkan mengenai 'penduduk di sekelilingnya' adalah merujuk kepada orang yang berada di luar dari bumi Makkah, misalnya di benua Asia, Eropah dan lain-lain termasuk Malaysia.

Ia menunjukkan Islam tidak ada batas sempadan dan tidak ditadbir oleh faktor bentuk muka bumi dan sempadan sesebuah negara atau tempat.

Apa kaitannya keterangan di atas dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia hari ini? Sebagai umat Islam yang memahami konsep kesyumulan dalam Islam, maka seharusnya diyakini penyelesaian masalah berkaitan Covid-19 adalah dengan berbalik kepada Islam.

Dengan mengadaptasikan konsep sains dan teknologi moden serta kajian pemutusan rantaian virus ditambah dengan penyesuaian cara hidup berlandas konsep syumul, maka virus ini akan dapat dikekang.

Pada 1,441 tahun yang lalu, Nabi Muhammad SAW sudah memberi peringatan mengenai larangan memasuki kawasan berwabak dan jika sudah berada dalam kawasan itu maka jangan keluar. Hadis ini bukan hanya sesuai pada masa itu, ia merentasi sempadan masa dan tempat. Hadis itu sesuai dan perlu dipraktikkan hingga ke hari ini.

Islam mengangkat syiarnya dengan bersalaman, budaya kunjung-mengunjung di musim perayaan, solat berjemaah dan sebagainya. Akan tetapi semua perkara ini terpaksa diubah untuk memastikan kejayaan memenangi peperangan melawan Covid-19.

Umat Islam tidak lagi mengamalkan bersalaman, tiada lagi menunaikan solat secara berjemaah di masjid, menyambut perayaan Aidilfitri di rumah masing-masing dan pelbagai perkara yang disebut normal baharu kehidupan beragama muncul dalam dunia moden ini.

Malah, normal baharu ini menjadikan hubungan kekeluargaan semakin akrab, masa beribadat semakin banyak dan dunia luar tidak mengganggu sama sekali.

Islam sama sekali tidak meletakkan syarat bahawa perkara berkaitan syiarnya haruslah rigid. Syiar Islam boleh diubah dan pasti boleh disesuaikan dengan keadaan, masa serta tempat.

Syiar Islam tetap tertegak malah dikagumi penganut sendiri mahupun musuh Islam. Walaupun terdapat segelintir umat Islam yang keliru dan secara tidak langsung menjadi ekstrem dalam beribadat dan mengangkat syiar Islam, akan tetapi akhirnya ego kelompok ini mampu ditundukkan dengan undang-undang dan fatwa kontemporari.

Walaupun janggal pada awalnya, akhirnya semua menyedari bahawa cara hidup perlu diubah, cara beribadat jadi berbeza dan harus mempraktikkan normal baharu dalam kehidupan seharian.

Di sinilah letaknya keindahan dan kesyumulan Islam. Boleh berubah dan diubah mulai dari turunnya Nabi Adam AS hinggalah hari kiamat nanti.

Penulis adalah Pakar Kajian Strategik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 7:00 AM