SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pemimpin tertinggi yang menjadi ketua negara dan memayungi kedaulatan negara berlandaskan Perlembagaan. FOTO - BERNAMA
SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pemimpin tertinggi yang menjadi ketua negara dan memayungi kedaulatan negara berlandaskan Perlembagaan. FOTO - BERNAMA
Oleh Mohd Ajib Ismail


DI antara ciri-ciri kepemimpinan Rasulullah SAW di Kota Madinah ialah mempunyai wawasan, misi dan visi yang jelas mempunyai nilai serta akhlak yang unggul dan mempunyai daya ketahanan kental. Justeru, pemimpin yang baik harus memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan, memupuk nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai integriti yang tinggi.

Sebuah kepemimpinan harus bermatlamat melahirkan sebuah negara Baldatun Taiyyibatun Wa Rabbun Ghafur iaitu negara yang dinamik dengan ciri-ciri asas yang tidak berubah iaitu berpandukan syariah. Dalam masa sama, sebuah negara Islam hendaklah memperakui dan membenarkan segala peraturan lain demi memelihara kemaslahatan manusia selagi berada di bawah pengawasan dan pengiktirafan syariah.

Pemimpin berkewajiban mempertahankan negara daripada ancaman musuh dan melunaskan tanggungjawab keagamaan dengan melaksanakan hukum hakamnya serta menegakkan hukum ke atas semua yang menyeleweng dan melanggar ajarannya.

Pemimpin juga adalah golongan yang memainkan peranan yang paling utama dalam menegakkan syiar agama kerana sebahagian besar tanggungjawab agama hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna melalui pemerintahan yang adil. Justeru dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA dinyatakan salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat kelak termasuk pemimpin yang adil.

Begitu juga perihalnya dengan rakyat. Setiap warga negara harus menghayati tanggungjawab kepada negara dengan memberikan taat setia kepada pemimpin. Menurut panduan Islam, masyarakat bertanggungjawab memberikan ketaatan kepada pemimpin selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ketaatan rakyat kepada pemimpin berasaskan firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada 'Ulu al-Amr' daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunah) Rasul-Nya jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah al-Nisa' (4): 59).

Di dalam konteks Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pemimpin tertinggi yang menjadi ketua negara dan memayungi kedaulatan negara berlandaskan Perlembagaan. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama khususnya dalam konteks Wilayah Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya."

Komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab ini dizahirkan di dalam titah Baginda bahawa "Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan. Selaras dengan ajaran Islam yang syumul dan dengan dipacu oleh prinsip Maqasid Syariah, Beta mahu Kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat. Pada masa yang sama, Kerajaan Beta akan terus mempertahankan hak-hak penganut agama lain untuk terus bebas mengamalkan agama mereka secara berhemah dan aman."

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hakikatnya raja untuk semua rakyat Malaysia. Justeru, baginda turut menzahirkan keperihatinan agar memelihara keharmonian masyarakat melalui titah, "Setiap kaum perlu menunjukkan sikap dan tauladan yang jujur untuk mengeratkan hubungan. Pada hemat Beta, sebarang bentuk tindakan provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang, biarpun dilakukan segelintir pihak, perlu dibendung sebelum ia merebak dan menjadi barah kepada kestabilan negara."

Baginda turut menitahkan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan prinsip Rukun Negara.

Sehingga hari ini, rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang tenteram dan aman berbanding persekitaran dan suasana kehidupan rakyat di kebanyakan negara Islam yang lain terutamanya di Asia Barat. Dalam hal ini, pergolakan politik, pergaduhan dan persengketaan antara etnik dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah di beberapa negara luar sewajarnya menginsafkan kita betapa penting dan tinggi nilainya erti sebuah perpaduan, keamanan dan kestabilan. Tanggungjawab untuk mempertahankan sebuah negara yang berdaulat harus dihayati oleh setiap warga negara tanpa mengira bangsa dan agama serta jauh daripada kepentingan peribadi.

Keperihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai pemimpin tertinggi negara terhadap perkara membabitkan maslahah ummah jelas dilihat melalui sifat cakna Baginda ketika negara berdepan cabaran getir wabak Covid-19 yang melanda dunia. Baginda menzahirkan penghargaan secara peribadi terhadap dedikasi dan pengorbanan petugas barisan hadapan Covid-19 sewaktu Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang lalu.

Baginda juga turut berperanan penting dalam pelbagai agenda berkaitan pentabiran hal ehwal Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Beberapa berita tular berkenaan sifat Baginda yang mesra dan sering turun ke lapangan bagi menyantuni rakyat tidak mengira masa, tempat dan latar belakang lebih-lebih lagi golongan yang memerlukan menjadi bukti jelas keperihatinan dan teladan yang ditunjukkan oleh Baginda sebagai Raja yang memayungi rakyat.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 8:00 AM