UMAT islam menziarahi pusara. FOTO Asyraf Hamzah
UMAT islam menziarahi pusara. FOTO Asyraf Hamzah
Dr Mohd Hamidi Ismail

TERDAPAT perbezaan nyata di antara menziarahi kubur dan menyembahnya sama ada dari sudut hukum atau tujuan. Hukum menzarahi kubur adalah sunah yang digalakkan Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya "Dahulu aku menegah kalian menziarahi kubur, sekarang ziarahilah ia. Sesungguhnya ia mengingatkan tentang Akhirat." (Muslim, Tirmidhi).

Sebaliknya, menyembah kubur adalah haram dan pelakunya adalah musyrik sebagaimana sabda Baginda: "Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai tempat sujud." (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Menjelaskan lagi perbezaan antara penziarah kubur dan penyembahnya, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menerangkan bahawa penyembah kubur mendatangi kubur dengan keyakinan roh si mati berkeupayaan seperti mana berkuasanya Tuhan sementara penziarah kubur pula hanya menyampaikan doa atau pahala sedekah dan zikir sebagai hadiah kepada roh si mati atau tanda ihsan serta mengenangkannya.

Perbezaan dua perkara ini sudah difahami dengan baik oleh Ahl al-Sunnah waal-Jama'ah. Oleh itu, para ilmuwannya meletakkan garis panduan terperinci berkenaan kaifiat menziarahi kubur seperti cara sebutan salam dan doa serta surah al-Quran yang sesuai untuk dibaca.

Seorang ilmuwannya, Dr Wahbah al-Zuhaili menggalakkan penziarah kubur membaca Yasin, al-Ikhlas dan ayat seperti awal dan akhir al-Baqarah serta ayat Kursi. Tujuan perincian ini diberikan untuk mengelakkan umat Islam melakukan perkara yang dilarang sama ada perbuatan mendatangkan syirik atau khurafat.

Ironinya, segelintir manusia menyamakan penziarah kubur daripada Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dengan kelompok Syiah atau ajaran sesat lain yang memuja kuburan dengan hanya berpandukan kepada sumber yang dieksplotasi dan tidak sahih. Penyamaan ini sangat berbahaya kerana ia berkaitan dengan akidah, ia boleh mengeluarkan orang Islam daripada agama Islam. Meskipun begitu, pada kurun ke-18, penyamaan itu digunakan secara berleluasa demi kepentingan politik.

Muhammad bin Abdul Wahab (m. 1792) pada awal seruan dakwahnya menggunakan istilah 'quburiyyun' ke atas sebilangan penduduk Najad bagi membolehkan mereka diperangi kerana melakukan syirik. Hakikatnya, apa yang dilakukan Muhammad Abdul Wahab itu hanya membantu Ibnu Muammar (m. 1750) mengukuhkan penguasaannya menakluki daerah di Najad.

Dalam proses tersebut kuburan para syahid dan salihin dimusnahkan kerana ia dianggap punca syirik penduduk. Ini termasuk pemusnahan makam Zaid al-Khattab saudara kepada Umar al-Khattab yang terkorban dalam pertempuran Yamamah. Siapakah Ibnu Muammar? Dia adalah penguasa Uyaynah sebuah daerah di Najad yang mengahwinkan ahli kerabatnya yang bernama Jawharah dengan Muhammad Abdul Wahab.

Pada kurun berikutnya, sebuah lagi penaklukkan atas nama kesyirikan 'quburiyyun' dilakukan dan ia berlaku di Kota Hadramaut, Yaman. Pelakunya Ibnu Qumla yang juga pendukung pemikiran Muhammad Abdul Wahab memusnahkan kubah yang dibina atas kuburan aulia dan ulama dengan alasan yang sama bahawa ia menjadi asbab kesyirikan orang ramai. Mereka didakwa datang ke kuburan berkenaan dan melakukan tawasul yang dianggap Ibnu Qumla dan Wahabiah sepertinya menyalahi akidah tauhid.

Malangnya, anggapan itu memakan diri mereka sendiri terutama pengasas Wahabiah. Kediaman Muhammad bin Abdul Wahab di Huraymila difatwakan Bin Baz supaya dirobohkan kerana rumah itu boleh menjadi wasilah kepada pelampau agama melakukan perbuatan tabaruk (mengambil keberkatan).

Hari ini, fatwa sedemikian menjadi pautan kelompok ekstremis memusnahkan kubur umat Islam dan membongkar kuburan ulama dengan tanpa malu dan sesal. Apa yang jelas, Wahabiah sengaja melakukan kesalahan memanipulasi istilah 'quburiyyun' sebagai senjata politik. Mereka menolak dalil-dalil keharusan tawasul dan tabaruk di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Penulis adalah Penyelidik Unit Penyelidikan Sekretariat Kumpulan Penyelidikan Ahli Sunnah (ARG) Negeri Sembilan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 10:07 AM