GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siri Kitab Qalbun Salim

MINGGU ini, kita akan melihat mengenai kaedah dan kebaikan dalam menjaga salah satu pancaindera iaitu telinga. Sesungguhnya Allah SWT mencipta deria pendengaran menerusi telinga untuk manusia tidak lain dan tidak bukan untuk menambah nikmat kepada hambaNya dengan pendengaran dan sebagai kaedah untuk memahami dalam sesuatu ilmu atau berita atau perkhabaran yang ingin disampaikan.

Dapat kita fahami secara jelas bahawa menerusi deria pendengaran ini, setiap hamba dapat memperdengarkan merdunya bacaan al-Quran, mendengar hadis daripada Nabi Muhammad SAW dan mendengar ilmu yang bermanfaat buat manusia.

Imam Habib Abdullah al-Haddad pernah menyatakan bermaksud: "Telinga juga adalah suatu nikmat Allah SWT yang terbesar. Dan ia diciptakan Allah SWT untuk hamba-Nya supaya dia boleh mendengar kalam Allah SWT (al-Quran) dan kalam nabiNya (hadis) serta kalam semua ulama dan hukama daripada golongan orang yang soleh daripada hamba-hamba Allah SWT. Semuanya itu adalah jalan untuk mendapat pelbagai faedah dan manfaat dalam menempuh perjalanan yang diredai Allah SWT serta menjaga cara hidup yang akan membantunya dalam urusan akhiratnya." (An-Nasha'ih ad-Diniyah)

Sheikh Abdul Kadir al-Jailani pula menyatakan bermaksud: "Selalulah mendengarkan nasihat yang baik kerana sesungguhnya hati ketika kosong daripada nasihat itu akan buta." Ini jelas menunjukkan betapa besarnya nikmat deria pendengaran yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk setiap hambaNya mendengar kalam-kalam yang haq lagi benar.

Kita juga perlu sentiasa mensyukuri nikmat telinga termasuk memelihara pendengaran daripada mendengar kata nista atau umpatan yang boleh merosakkan hati seseorang. Memelihara telinga daripada mendengar sesuatu yang dilarang seperti mengumpat, mengadu domba, mendengar perkataan yang tidak baik, berkelahi, mendengar suara perempun dan orang muda yang boleh menimbulkan fitnah dan bermacam-macam lagi.

Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan." (Surah al-Isra', ayat 36)

Kesan daripada kata-kata yang didengar adalah lebih lama daripada kesan makanan kerana makanan yang ada di dalam usus boleh hilang dengan tidur atau ia mungkin kekal untuk beberapa hari, tetapi ia akan hilang menerusi satu kaedah. Namun, kata-kata yang didengar sebaliknya kadang-kadang ia boleh kekal seumur hidup di dalam hati.

Untuk itu, setiap daripada manusia yang ingin mencari reda Allah SWT perlulah sentiasa memelihara setiap pemberiannya dan menjaga nikmat ini supaya kelak di Mahsyar nanti kita tidak dipertanggungjawabkan atas kelalaian serta kejahilan sendiri.

Rabu: Lidah yang tajam seperti mata pedang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 8:55 AM