SUASANA solat Jumaat di Masjid Negara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). FOTO Asyraf Hamzah
SUASANA solat Jumaat di Masjid Negara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Shahrizal Nasir

SETIAP orang Islam semestinya tahu bahawa penciptaannya di atas dunia ini adalah untuk beribadah kepada Allah SWT.

Selagi mana akidah seseorang Muslim meyakini dirinya adalah hamba kepada Allah SWT, maka iman dalam diri tidak akan sesekali menolak tanggungjawab untuk tunduk menyembah-Nya.

Inilah fitrah seorang hamba yang masih ada iman dalam dirinya. Lihat apa berlaku dalam seminggu dua ini. Disebabkan kepatuhan umat Islam di Malaysia terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beberapa peringkat, mereka tidak dapat menunaikan solat di masjid terutama solat Jumaat.

Maka apabila masjid mula dibuka untuk jumlah jemaah yang dihadkan, kelihatan umat Islam tidak melepaskan peluang ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Setiap masjid perlu akur terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Dapat disaksikan ada dalam kalangan umat Islam terpaksa berpatah balik dari masjid kerana jumlah jemaah yang memenuhi ruang masjid sudah mencukupi.

Ada juga yang terpaksa pulang ke rumah kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan seperti tidak memakai pelitup muka. Mungkin ada yang kecewa dengan perkara yang berlaku.

Pihak masjid juga dilihat beberapa kali memberi penjelasan kepada orang ramai yang terpaksa pulang ke rumah kerana tidak dapat menunaikan solat Jumaat. Tidak kurang juga ada yang meluahkan perasaan tidak puas hati dalam media sosial masing-masing.

Hakikatnya perkara yang berlaku ini perlu dilihat dari sudut yang positif. Pihak masjid perlu akur terhadap SOP yang ditetapkan demi mengekang penularan wabak Covid-19 yang boleh berpunca daripada kecuaian sesiapa sahaja.

Usahlah hal ini menjadi punca perbalahan sesama Muslim kerana sebenarnya semua orang mempunyai hasrat murni mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan tanggungjawab ibadah.

Pada masa sama, umat Islam perlu menyedari setiap usaha kebaikan dilakukan pastinya tidak akan dipersiakan Allah SWT. Maksudnya, usaha setiap orang yang menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat pasti mendapat ganjaran daripada Allah SWT meskipun akhirnya terpaksa berpatah balik ke rumah.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang yang berbuat kebaikan." (Surah Hud, ayat 115)

Bukankah berusaha untuk pergi ke masjid untuk menunaikan tanggungjawab solat Jumaat adalah termasuk dalam perkara ibadah? Hakikatnya perbuatan itu adalah satu tuntutan daripada Allah SWT, maka sudah pasti ia tidak akan dipersiakan oleh-Nya.

Rasulullah SAW menjelaskan perihal ganjaran istimewa bagi orang yang berusaha menuju ke rumah Allah dalam hadisnya bermaksud: "Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah daripada rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefarduan daripada kefarduan-kefarduan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Memahami hakikat ini, usah berdukacita atau berasa marah apabila tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat. Teruskan berusaha untuk mendapat tempat di masjid dengan antara lainnya hadir awal ke masjid.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta…" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Betapa luasnya rahmat Allah SWT untuk hamba-Nya yang berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab ibadah. Setiap usaha yang dilakukan semuanya diiringi dengan ganjaran yang istimewa sehingga dapat difahami bahawa umat Islam tidak akan rugi dalam usaha mereka melaksanakan ibadah.

Seperkara lagi, umat Islam perlu terus bertekad untuk mencari peluang melaksanakan ibadah. Sekiranya sekali tidak berpeluang menunaikan solat Jumaat pada minggu lepas, maka jangan pula tidak mahu lagi ke masjid mencari peluang untuk masuk ke masjid pada minggu berikutnya.

Jangan ada orang yang tanpa rasa bersalah tidak mahu berusaha ke masjid dengan alasan jumlah jemaah yang dihadkan. Jadilah orang yang menunjukkan contoh terbaik kepada orang lain dengan berusaha untuk hadir ke masjid bagi menunaikan ibadah.

Ketua keluarga perlu memainkan peranan dalam menggalakkan setiap orang di bawah tanggungannya untuk berusaha mencari peluang agar dapat menunaikan solat Jumaat di masjid.

Mudah-mudahan semangat sebegitu dapat mendidik jiwa ahli keluarga untuk sentiasa berusaha mencari keredaan Allah SWT dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT yang taat.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan itu oleh seseorang yang lain), maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 8:29 AM