GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fahimi Zakaria

SELEPAS hampir tiga bulan kita mengurung diri dan keluarga di dalam rumah serta bersabar menanti keputusan demi keputusan dengan izin Allah SWT akhirnya kita mendapat kebenaran untuk kembali menjalani rutin harian seperti biasa seperti bekerja, berniaga, beriadah, bercuti dan berjumpa ahli keluarga yang jauh.

Sebaik sahaja pengumuman Perdana Menteri pada 10 Jun 2020, maka kita dapati ada yang pantas membeli tiket percutian keluarga secara atas talian, ada yang terus pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa dan ahli keluarga terdekat, bahkan ada yang mengambil keputusan untuk terus duduk di rumah dengan alasan bahawa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini masih belum tamat.

Apapun pilihan kita, perkara paling asas dalam setiap tindakan kita ialah mengambil sikap rasional dan matang.

Justeru, Islam mengajar kita agar bersederhana dalam setiap urusan kehidupan supaya kita berlaku adil kepada diri dan orang lain.

Oleh itu, inilah masa yang wajar untuk kita menyempurnakan hak mereka yang berhak selepas kita berusaha selama hampir tiga bulan dengan menuruti perintah pihak berkuasa kerajaan agar duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian virus pembunuh, Covid-19.

Tawakal adalah pilihan kita pada waktu setelah kita berusaha. Seterusnya, usahlah kita berlengah untuk memulakan langkah pertama kita dengan penuh berhati-hati iaitu menjaga diri dan keluarga dalam fasa pemulihan ini.

Aturkanlah perjalanan pertama kita ke rumah ibu bapa dan ahli keluarga terdekat. Mungkin ada yang sekian lama tidak pulang menziarahi ibu bapa di kampung, ada yang sudah lama tidak pulang menyambut hari raya, ada yang sibuk dengan urusan kerja di kota dan mungkin ada yang tersinggung di hati.

Maka fasa inilah waktunya untuk kita terus bertindak dengan segera sebelum apa-apa kemungkinan yang boleh terjadi pada masa akan datang.

Sebenarnya, fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini bukanlah fasa untuk kita melancong atau bercuti ke pulau peranginan.

Bukan juga fasa paranoid sehingga kita keterlaluan tanpa pedoman ilmu dan kewarasan, sebaliknya manfaatkanlah fasa ini untuk bertemu dan mengeratkan hubungan kekeluargaan khususnya dengan ibu bapa.

Kita tidak tahu kemungkinan garis panduan baharu selepas 31 Ogos akan datang, boleh jadi fasa ini akan diteruskan atau sebaliknya.

Kita mematuhi larangan sebelum ini dengan pedoman ilmu dan kewarasan, maka sekarang kita juga menyambut kelonggaran yang diberikan ini dengan pedoman ilmu dan kewarasan.

Marilah kita menjadi bijak dalam bertindak, kegagalan kita membuat keputusan akan merugikan hidup.

Kita sedih jika ibu bapa meninggal dalam tempoh yang ketat sebelum ini sehingga ada ahli keluarga yang tidak dapat pulang memberi penghormatan terakhir buat insan tersayang.

Maka janganlah kita ulanginya lantaran sikap kita yang paranoid dan pentingkan diri sendiri.

Bagi yang sedang merancang percutian, selitlah sedikit masa untuk pulang menziarahi ibu bapa di kampung di samping pulang memohon maaf, meminta restu dan mengisi kerinduan mereka sejak sekian lama.

Akhir sekali, jadikanlah fasa ini sebagai pengajaran yang mendidik hati kita menginsafi sejauh mana hubungan kita dengan ibu bapa, apakah yang sudah kita beri kepada mereka? Adakah mereka mendapat kasih sayang yang cukup daripada kita? Sudahkah kita mentaati mereka seperti suruhan agama? Mudah-mudahan kita berfikir dan segera bertindak sebelum tiba hari penyesalan yang tidak guna lagi.

Penulis adalah pensyarah Management & Science University (MSU)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 11:02 AM