GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

BEKERJA dari rumah atau singkatan dalam bahasa Inggerisnya Working From Home (WFH) adalah satu bentuk normal baharu masa ini.

Ia mula dipraktikkan secara meluas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu berikutan penularan wabak Covid-19.

Semua pekerja sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta terbabit dengan kebiasaan baharu bekerja dari rumah sepanjang PKP.

Sehingga sekarang, meskipun kebanyakan pekerja sudah kembali ke tempat bertugas masing-masing, pergerakan kerja masih tidak seperti sebelum PKP.

Banyak perubahan terpaksa dilalui lebih-lebih lagi membabitkan orang ramai seperti mesyuarat, taklimat, bengkel dan sesi bertemu pelanggan di tempat kerja.

Meskipun banyak perubahan terpaksa dilalui, setiap pekerja perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing selari tanggungjawab yang diamanahkan majikan.

Hal ini turut menjadi gesaan dalam Islam terhadap umatnya dalam usaha mencari rezeki.

Setiap pekerjaan yang dilakukan individu Muslim perlu dilaksanakan dengan baik kerana ia membabitkan rezeki yang diperoleh untuk meneruskan kehidupan.

Setiap rezeki yang diterima perlu dipastikan berpunca daripada sumber yang halal.

Cakupan halal ini bukan sahaja membabitkan jenis makanan seperti ditetapkan Islam, malah ia turut membabitkan aspek sumber perolehan rezeki itu.

Meskipun kita makan makanan yang halal namun sekiranya ia dibeli daripada wang yang berpunca daripada sumber haram seperti rasuah, judi, hasil curi dan sebagainya, maka ia juga termasuk dalam kategori hasil pendapatan yang haram.

Pekerja Muslim mesti mempamerkan nilai Islam dalam melaksanakan amanah di tempat kerja.

Justeru, perbuatan yang dilarang Islam seperti rasuah, curi tulang, malas, sikap acuh tak acuh, pecah amanah dan sebagainya perlu dijauhi sepanjang tempoh pelaksanaan tugasan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Wahai manusia bertakwalah kepada Allah dan pilihlah cara yang baik dalam mencari rezeki kerana tidaklah suatu jiwa akan mati hingga dipenuhi rezekinya, walau lambat rezeki tersebut sampai kepadanya, maka bertakwalah kepada Allah dan pilihlah cara yang baik dalam mencari rezeki, ambillah rezeki yang halal dan tinggalkanlah rezeki yang haram." (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Rasulullah mengingatkan umatnya mengenai kepentingan mencari rezeki halal dan meninggalkan perkara haram termasuk hal yang berkaitan punca perolehan rezeki.

Mungkin ada segelintir pekerja yang mengambil sikap acuh tak acuh dalam pekerjaan dengan alasan sekarang ini semua orang berada dalam suasana PKP.

Rezeki yang diperoleh daripada sumber yang diragui juga perlu dielakkan oleh setiap Muslim.

Hal ini boleh jadi membabitkan pengabaian amanah yang diberikan majikan.

Ingat bahawa pendapatan yang bersumberkan perbuatan tidak bermoral juga menjadi faktor utama runtuhnya semangat kasih sayang sesama insan.

Orang yang melaksanakan tugasnya secara sambil lewa menyebabkan urusan orang lain tergendala.

Ini semua menjadi antara sebab Islam melarang semua perbuatan yang boleh menyebabkan rezeki menjadi tidak bersih.

Setiap Muslim perlu menyemarakkan budaya itqan dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan dalam pekerjaan masing-masing.

Itqan membawa maksud pelaksanaan sesuatu pekerjaan dengan semangat bersungguh-sungguh sehingga dapat mencapai objektif yang ditetapkan.

Ada orang yang datang ke tempat kerja tanpa diiringi semangat positif untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

Tidak kurang juga yang cuba mengelak daripada mendapat tugasan baharu kerana selesa dengan tugasan sedia ada.

Malah, lebih teruk lagi, ada golongan yang memandang rendah dan memperlekehkan usaha orang lain yang komited dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

Ingatlah bahawa setiap rezeki yang diperoleh adalah nikmat kurniaan Allah SWT.

Dan Allah boleh menyempitkan rezeki golongan yang ingkar terhadap ketetapan-Nya.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: "Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara para hamba-Nya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Ankabut, ayat 62)

Budaya itqan mampu dipraktikkan sekiranya setiap Muslim memahami konsep halal dan haram dalam Islam.

Mari kita sama-sama melakukan muhasabah diri terhadap mutu kerja sendiri.

Usah menuding jari kepada pihak lain sekiranya kita gagal mencapai sasaran kerja yang ditetapkan.

Cari punca masalah terbabit dalam diri sendiri.

Budaya itqan dalam melaksanakan pekerjaan adalah satu perkara yang dituntut kerana Islam tidak pernah membuka ruang kepada umatnya untuk hidup di dunia ini dengan sia-sia tanpa berusaha mencipta kecemerlangan.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 8:30 AM