X
DILARANG merokok di tempat awam dan di kedai makan.
DILARANG merokok di tempat awam dan di kedai makan.
Dr Muzaffar Syah Mallow

PIHAK kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari bebas atau tanpa rokok sebagai salah satu usaha yang telah diambil bagi menghentikan masalah ketagihan orang ramai dalam negara kita khususnya di kalangan umat Islam terhadap rokok. Setiap hari dalam Islam mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

Namun Jumaat dilihat oleh umat Islam sebagai sebagai 'Penghulu Segala Hari' kerana banyak kejadian penting yang berlaku di dalam hari berkenaan. Oleh yang demikian, sebagai menghormati keunikan yang ada pada Jumaat, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan supaya rokok tidak dihisap terutama di kalangan umat Islam pada setiap Jumaat.

Walaupun rokok tidak sepatutnya dihisap langsung dalam mana-mana hari, namun cadangan yang dikemukakan ini boleh dijadikan langkah permulaan bagi melatih pihak yang ketagih dengan rokok terutama di kalangan umat Islam supaya menghentikan masalah ketagihan mereka terhadap rokok sedikit demi sedikit sehingga mereka berjaya sepenuhnya menghentikan masalah ketagihan mereka terhadap rokok.

Cadangan yang dikemukakan ini juga selaras dengan fatwa yang sudah lama dikeluarkan yang mengharamkan penggunaan rokok dalam negara kita. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang buat Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 membincangkan isu mengenai Hukum Merokok Dari Pandangan Islam dan  bersetuju memutuskan dengan jelas bahawa 'Merokok adalah haram daripada pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan'.

Pengharaman rokok dibuat berdasarkan tiga faktor utama iaitu merokok membahayakan kesihatan diri perokok itu sendiri, merokok mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekelilingnya yang terpaksa menghidu bau asap rokok berkenaan serta sikap merokok itu sendiri yang menjuruskan kepada amalan pembaziran wang, masa dan tenaga serta merugikan perokok yang menggunanya.

Merokok juga membawa kerosakan alam sekitar melalui pencemaran akibat daripada asap rokok yang dihasilkan serta proses pembuangan puntong rokok merata-rata. Rokok juga berisiko tinggi mencetuskan kebakaran sekiranya putung rokok yang digunakan tidak dipadam sepenuhnya dan dicampak dengan sesuka hati di tempat yang mudah berlaku kebakaran.

Berdasarkan pelbagai kajian yang dilakukan, wanita dan kanak-kanak adalah antara golongan paling ramai menderita diserang penyakit berbahaya kesan daripada pencemaran asap rokok daripada perokok tegar di sekitar mereka. Bayi dan kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti lelah, jangkitan paru-paru dan bagi wanita yang mengandung pula boleh melemahkan kandungan.

Semua keburukan yang dibawa oleh rokok ini perlu diberi perhatian serius oleh umat Islam dalam negara kita. Pengharaman rokok juga selaras dengan perintah Allah SWT di dalam al-Qur'an seperti firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan."

Allah SWT juga berfirman di dalam Surah Al-A'raf: Ayat 157 yang bermaksud: "Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…"

Pada awal Mac 2018 pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih tujuh juta manusia meninggal dunia setiap tahun, akibat merokok atau menghidu asap rokok. Menurut WHO, tabiat merokok dipercayai menyebabkan satu kematian bagi setiap enam saat. WHO juga menyatakan bahawa kanser, serangan jantung, strok dan penyakit paru-paru  adalah pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan tembakau atau rokok.

Sejak abad ke-20, tembakau sudah meragut 100 juta nyawa, iaitu melebihi 60 juta hingga 80 juta kematian yang dicatatkan ketika Perang Dunia Kedua (1939 - 1945) serta 18 juta mangsa yang maut dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918).

Sekiranya tiada sebarang usaha bersungguh-sungguh dan berani yang diambil oleh mana-mana pihak dalam negara kita bagi menghentikan masalah berkaitan dengan rokok ini, amat sukar bagi pihak kerajaan membendung jumlah penagihan rokok dalam masyarakat kita khususnya dalam kalangan generasi muda. Kempen berterusan mengenai isu rokok ini perlu dipergiatkan pada setiap masa khususnya di kalangan umat Islam dalam negara kita kerana sudah ada ketetapan yang jelas mengenai penggunaan rokok itu sendiri seperti yang diputuskan melalui majlis fatwa.

Pihak yang berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam serta kerajaan negeri perlu memberi kerjasama bagi memastikan kesihatan masyarakat Islam dalam negara kita sentiasa terjaga dan dilindungi. Sebarang bentuk pencanggahan pendapat mengenai isu rokok ini perlu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul mengenai isu berkenaan.

Isu rokok ini juga perlu dibawa berbincang di dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi mewujudkan satu penyelarasan di peringkat antarabangsa di kalangan negara-negara Islam seluruh dunia bagi memastikan kesihatan seluruh umat Islam di serata dunia dapat dijaga dan dilindungi dengan baik.

Penulis adalah Pensyarah Kanan,  Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 8:14 AM