CAPAIAN ilmu pengetahuan secara yakin dapat dicapai menerusi pancaindera  sempurna, akal yang salim dan khabar sadiq yakni al-Quran serta hadis mutawatir. FOTO Arkib NSTP
CAPAIAN ilmu pengetahuan secara yakin dapat dicapai menerusi pancaindera sempurna, akal yang salim dan khabar sadiq yakni al-Quran serta hadis mutawatir. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Hasrul Shuhari

BERKENAAN dengan permasalahan fahaman Agnostik, akhbar Harian Metro pernah menerbitkan artikel bertajuk Agnostik Menggugat Akidah yang ditulis oleh Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin pada 11 Mac 2020 dan beberapa tahun sebelum itu terdapat laporan berita dalam akhbar sama bertajuk Kekang Penularan Aliran Agnostik pada 24 September 2015 yang menampilkan pandangan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika itu, Datuk Othman Mustapha dan Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Mohd Fakaruddeen Che Omar.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga menerbitkan sebuah buku penting untuk tatapan masyarakat yang berjudul Gejala Agnostik: Satu Ancaman Akidah pada 2015. Buku ini mengandungi huraian aspek  konsep,  pemikiran dan  beberapa  kemusykilan  golongan  agnostik,  kes  fahaman Agnostik  di Malaysia  dan  cadangan  penyelesaian  untuk  menangani ancamannya.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga menerbitkan beberapa artikel di laman sesawang rasminya yang bertajuk Fenomena Agnostik Kalangan Muda Mudi pada 15 Mac 2018, Definisi Agnostisisme & Kaedah Berinteraksi pada 26 Jun 2018 dan Logik Kewujudan Allah Untuk Agnostik Dan Ateis pada 9 Julai 2018. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) juga menyedari ancaman fahaman ini terhadap akidah Islam dengan mengeluarkan teks khutbah khas bertajuk Agnostik: Satu Ancaman Akidah kepada semua masjid di Pulau Pinang.

Terbitan buku, teks khutbah dan beberapa artikel ini menunjukkan pihak ulil amri menyedari bahayanya dengan bantuan pihak media massa untuk memperluaskan lagi capaian pengetahuan mengenainya. Sokongan dan dokongan pelbagai pihak sangat penting agar bahaya ini dapat diketahui dan disedari semua umat Islam.

Perkataan Agnostik berasal daripada bahasa Yunani 'a' yang bermaksud tanpa dan 'gnostikos' yang bermaksud pengetahuan. Secara ringkasnya, agnostik    bermaksud   tidak    memiliki pengetahuan. Konsep agnostik berfahaman bahawa manusia itu hakikatnya tidak   mempunyai pengetahuan mengenai kebenaran agama,  metafizika dan ajaran Tuhan.

Ini menunjukkan fahaman ini bermasalah dari aspek epistemologi ilmu iaitu bidang ilmu membahaskan hakikat ilmu pengetahuan manusia yang meliputi sumber ilmu, persoalan ilmu itu benar atau tidak, kaedah ilmu diperoleh dan seumpamanya.

Menurut Prof  Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, fahaman Agnostik ini berasal daripada pemikiran falsafah pada zaman Yunani kuno yang diasaskan golongan Sophist. Golongan ini berbeza dengan apa yang ditekan oleh Imam al-Nasafi yang menulis dalam kitab 'Aqaid al-Nasafi bahawa hakikat segala sesuatu itu adalah tetap dan pengetahuan mengenainya boleh dicapai, bersalahan dengan golongan berfahaman Sophist.

Fahaman ini dipimpin oleh Protagoras (480-410SM), Georgias (483-375SM), Hippias (460-399SM) dan Prodicus (465-395SM) yang memperjuangkan fahaman epistemologi relativisme. Justeru difahami daripada penjelasan ini, fahaman ini adalah ulangan semula asas mereka yang sama dengan fahaman falsafah zaman klasik terdahulu.

Dalam tesis Ijazah Doktor Falsafah Dr Basri Husin bertajuk Perbahasan Epistemologi Dalam Wacana Kalam Al-Asha'irah: Analisis Terhadap Pemikiran Al-Baqillani (M. 403h) Dan Al-Baghdadi (m. 429H), dijelaskan dengan baik tentang epistemologi ilmu menurut Islam berdasarkan susunan ilmuwan muktabar Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) aliran al-Asha'irah.

Huraian mengenai golongan yang mengingkari kebenaran sesuatu ilmu yakni Sophist merupakan salah satu perbahasan yang diambil berat oleh al-Baghdadi. Ini kerana ia bertentangan dengan tabiat dan tujuan ilmu pengetahuan bagi mencapai ilmu yang yakin serta benar.

Al-Baghdadi dalam kitab al-Farq Bain al-Firaq, menyusun  lima belas prinsip ASWJ, yang mana beliau meletakkan perbahasan epistemologi sebagai prinsip pertama yang wajib dipegang. Ini kerana mustahil bagi seseorang itu dapat berpegang dengan mana-mana kepercayaan jika ia tidak mempercayainya ia adalah benar secara yakin, tidak ragu dan tidak syak. Maka, ia berkaitan dengan kebenaran sesuatu perkara itu mestilah boleh dicapai.

Prof  Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa al-Baghdadi adalah tokoh pertama yang mengklasifikasikan secara sistematik berkenaan metodologi tiga kelompok yang meragui kebenaran sesuatu ilmu. Kemudian ia dikembangkan oleh beberapa  tokoh terkemudian seperti al-Nasafi, al-Taftazani dan al-Raniri yang menamakan kelompok tersebut sebagai al-'inadiyyah, al-'indiyyah dan al-la adriyyah.

Meskipun mereka dari tiga kelompok yang berbeza, tetapi mereka bersepakat pada aspek ketidakmampuan manusia untuk mencapai kebenaran dan keyakinan. Golongan al-la adriyyah atau agnostik adalah golongan yang sering mengatakan mereka tidak tahu. Mereka menolak kemungkinan ilmu pengetahuan itu adalah benar dan yakin.   Golongan al-'indiyyah pula merujuk kepada mereka yang bersikap subjektif. Manakala golongan  ketiga  iaitu al-'inadiyyah terdiri  daripada kelompok   yang   keras   kepala   yang   menafikan segala hakikat sesuatu dan menganggap hakikat itu sebagai fantasi dan khayalan semata-mata.

Menurut al-Taftazani pada satu tahap tidak  ada  jalan  untuk  menghadapi  golongan  al-la adriyah ini sama ada  secara perdebatan mahupun  perbincangan  disebabkan mereka sentiasa  meragui  segala hujah yang diberikan walaupun ia berdasarkan nas dan akal yang salim. Menurutnya, barangkali cara yang sesuai ialah menyuruh mereka merasai sendiri kepanasan api agar mereka faham bahawa sesuatu perkara itu boleh dipercayai secara yakin dan tidak boleh diragui lagi.

Berdasarkan sejarah pandangan alam orang Melayu berasaskan Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, insan berupaya mencapai ilmu pengetahuan yang thabit tentang hakikat segala sesuatu. Ini menolak golongan yang meragui hakikat ilmu, penisbian ilmu dan golongan yang degil tidak menerima hakikat kebenaran.

Capaian ilmu pengetahuan secara yakin dapat dicapai menerusi pancaindera yang sempurna, akal yang salim dan khabar sadiq yakni al-Quran dan hadis mutawatir. Ia disampaikan ulama Islam seperti menerusi teks terjemahan kitab akidah yang dianggap tertua di alam Melayu oleh Prof  Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas iaitu 'Aqaid al-Nasafi. Inilah jati diri epistemologi ilmu ASWJ yang dibentuk di Alam Melayu.

Mudah-mudahan penjelasan ringkas ini dapat membuka mata umat Islam tentang keabsahan epistemologi ilmu menurut Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh ilmuwan ASWJ muktabar. Ia berdasarkan al-Quran dan hadis yang menjadi asas utama kepada pembinaan sistematik epistemologi ilmu dalam Islam ini. Apatah lagi Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan sebuah buku yang berjudul Epistemologi Islam: Teori Ilmu dalam al-Quran. Ini adalah warisan turath ilmuwan Islam muktabar yang boleh dimanfaatkan untuk berhadapan dengan golongan Sophist moden iaitu Agnostik.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 8:36 AM