KAUM Arab Quraisy adalah satu-satunya yang terlibat dan menguasai perniagaan ini secara total.
KAUM Arab Quraisy adalah satu-satunya yang terlibat dan menguasai perniagaan ini secara total.
Ustaz Hashrul Niezam Abdul Haniff

PASTI kita biasa membaca surah Quraisy di dalam al-Quran. Surah yang menceritakan tentang kaum Quraisy. Antara inipati yang terdapat dalam surah ini ialah berkaitan perniagaan yang mereka lakukan. Bahkan Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA pernah berniaga hingga ke Syam atau Syria sekarang ini. Dalam sebab turunnya ayat 15 pada surah al-Ahqaf, diceritakan Rasulullah SAW  ketika itu berumur 20 tahun manakala Saidina Abu Bakar al-Siddiq pula berumur 18 tahun. Kisah ini menjelaskan kaum Quraisy telah lama terlibat dalam dunia perniagaan.

Di dalam surah Quraisy ini terdapat perkataan Li ilaaf. Apakah maksud perkataan ini? Jika melihat kepada terjemahan perkataan tersebut ialah 'kebiasaan aman tenteram' jika dirujuk kepada kebanyakan kitab tafsir daripada sumber primer mahupun sekunder, disebabkan keamanan dan tenteram tersebut kaum Quraisy dapat melakukan urusan perniagaan mereka ke utara kawasan Syam (ketika musim panas) dan juga ke selatan Yaman (ketika musim sejuk).

Pernahkah kita terfikir, bagaimana laluan perniagaan ini dapat dilakukan oleh kaum Quraisy ini dengan tenteram dan aman seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran melalui surah Quraisy. Setiap kisah pasti ada permulaannya, kejayaan dalam dunia perniagaan juga ada yang memulakannya. Sejarah yang terdapat dalam kisah kejayaan kaum ini dalam dunia perniagaan perlu diketahui oleh kita sebagai umat Islam.

Kejayaan dalam dunia perniagaan kaum Quraisy adalah melalui perjanjian yang mereka lakukan. Kisah ini juga dikenali sebagai kisah al-ilaf. Kisah ini juga ditulis di dalam sebuah buku tafsir oleh ulama Syria yang bernama Abdul Rahman Hasan Habannakah al-Midani. Tajuk buku tersebut ialah Maarij al-Tafakkur wa Daqaiq al-Tadabbur. Kisah al-ilaf ini terdapat pada muka surat 423 sehingga 436.

Al-ilaf ini adalah satu terma perniagaan di dalam budaya Arab. Ia digunakan untuk perjanjian atau persetujuan bersama bagi urusan perniagaan, ia termasuk juga urusan keluar masuk barang yang diperdagangkan. Perjanjian ini dilakukan bersama dengan pihak satu lagi untuk memudahkan urusan berkaitan perniagaan.

Perjanjian ini dilakukan bersama raja Rom, Parsi, Habsyah dan juga Raja Himyar di Yaman. Kelebihan yang diberikan oleh-Nya kepada kaum Qurasiy berjaya meyakinkan raja-raja tersebut untuk memberi persetujuan. Malah pihak kaum Quraisy melakukan perjanjian ini kerana melihat juga kepada kepentingan Makkah sebagai tempat yang menjadi tumpuan ramai. Malah, Makkah juga menjadi tempat tumpuan daripada doa nabi Ibrahim yang dimakbulkan oleh-Nya.

Berdasarkan sejarah, perjanjian ini dimulakan oleh empat orang anak Abdul Manaf seperti yang dinyatakan Ibn Manzur daripada Ibn al-A'rabi. Empat orang  tersebut ialah Hasyim, Abd Syams, Abdul Mutalib dan Naufal. Mereka berempat inilah yang memulakan urusan perjanjian untuk memudahkan urusan perniagaan kaum Quraisy bagi tahun-tahun mendatang, berikut adalah perincian tugas yang mereka lakukan:

  • Hasyim: mendapat persetujuan daripada raja Rom

  •  Naufal : mendapat persetujuan daripada raja Kisra, Parsi

  • Abd Syams : mendapat persetujuan daripada raja Najasyi dari Habsyah

  • Abdul Mutalib : mendapat persetujuan daripada raja Himyar dari Yaman.

    Ini menjelaskan kepada kita tentang makna secara literal pada perkataan al-Ilaf itu sendiri. Mereka berempat melakukan tugas dengan baik dan mereka adalah orang yang paling berkelayakan untuk berunding. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn al-A'rabi tentang perkataan al-Ilaf, ia juga memberi maksud  layak dan menyediakan. Hasil daripada perjanjian tersebut, bangsa ini dapat melakukan urusan perniagaan sehingga mampu mengeksport barang dari pelbagai kawasan.

    Ini menjadikan Makkah itu sendiri adalah tempat perniagaan berskala besar. Barang-barang yang diniagakan cukup banyak, ini menjadikan kawasan Makkah itu sibuk. Ia dipenuhi dengan peniaga dari segenap pelosok tanah Arab dan juga pelbagai kabilah Arab hadir ke Makkah. Antara barang yang diniagakan oleh kaum Quraisy pula adalah:

    Dagangan dari benua Afrika: tepung, gam dan juga barang-barang logam

    Dagangan dari Yaman: barangan kulit, wangi-wangian dan juga pakaian

    Dagangan dari Iraq dan Iran: rempah ratus dari India

    Dagangan dari Syam dan Mesir: zaitun, minyak zaitun, peralatan perang dan juga kain-kain sutera

     

    Gambaran situasi perniagaan ketika itu adalah pada skala besar. Dari segi barang yang diniagakan itu cukup banyak sehingga kenderaan yang membawa barang tersebut mencapai ribuan unta atau lebih. Malah, yang terlibat dari segi menanam modal juga melibatkan modal yang banyak dan juga modal yang sikit. Modal ini berdasarkan kemampuan masing-masing. Operasi perniagaan begini yang bermula sejak dulu hingga ke zaman permulaan Islam.

    Operasi perniagaan ini menjelaskan kepada kita secara sejarahnya kaum Arab Quraisy adalah satu-satunya yang terlibat dan menguasai perniagaan ini secara total. Berbanding dengan kaum atau kabilah Arab yang lain, kaum Arab Quraisy lebih mempunyai kelayakan dalam mengurusan perniagaan ini secara global. Ini kerana kaum Arab Quraisy adalah penduduk Makkah yang tinggal berdekatan dengan Kaabah, merekalah yang menyelenggara Kaabah dan mengurus hal ehwal berkaitan haji.

    Surah Quraisy ini satu surah yang pendek. Bagaimanapun, jika diperdalami makna yang dirakamkan oleh surah ini, ia mampu menjadi panduan kita dalam membangunkan kekuatan ekonomi dan perdagangan umat Islam hari ini. Allah memperlihatkan, jika ditadbir dengan baik, suatu tempat yang mempunyai sumber yang terhad sekalipun, masih mampu menjadi satu tempat yang makmur.

    Penulis Ketua Lajnah Dakwah,  Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami), Wilayah Persekutuan Putrajaya

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 5:59 AM