GOLONGAN mualaf sentiasa disantuni melalui pelbagai program kebajikan, kelas pengajian, bimbingan dan pusat perlindungan.
GOLONGAN mualaf sentiasa disantuni melalui pelbagai program kebajikan, kelas pengajian, bimbingan dan pusat perlindungan.
Mohd Ajib Ismail

Mualaf ialah mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam, tetapi belum kukuh Islamnya. Golongan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu beragama Islam, sama ada baru memeluk agama Islam atau orang yang memeluk Islam tetapi masih lemah imannya. Kedua, bukan beragama Islam, namun boleh dipujuk supaya menganut Islam serta cenderung hatinya kepada ajaran Islam.

Golongan mualaf memainkan peranan penting dalam sejarah awal pengembangan ajaran Islam. Di antara mereka adalah sahabat Nabi Muḥammad SAW yang mengembangkan ajaran Islam melalui pengorbanan jiwa dan harta. Menurut Alṭ-Ṭabari, perkataan al-mu'allafah qulubuhum ditafsirkan dengan mereka yang lembut hati mereka terhadap Islam, yang tidak perlu dibantu diri dan keluarga mereka seperti Abi Sufyan, 'Uyaynah bin Badr, al-Aqra' bin Habis dan sebagainya daripada kalangan pembesar kabilah.

Muhammad 'Ali Al-Sobuni pula berpendapat muallaf qulubuhum ialah mereka yang diberikan zakat oleh Rasulullah SAW dengan tujuan menjinakkan hati mereka masuk Islam atau supaya menetapkan diri mereka dalam Islam. Seperti mana yang diriwayatkan Sofwan bin Umaiyah bahawa dia berkata: "Nabi SAW memberikanku zakat, sedangkan dia adalah orang yang paling aku benci. Baginda berterusan memberikanku zakat sehingga dia menjadi orang yang paling aku kasihi." (Riwayat Muslim).

Ibn Kathir menjelaskan golongan mualaf juga adalah orang yang diberi sedekah agar Islamnya menjadi baik dan hatinya tetap dengan keislamannya.

Mualaf adalah mereka yang dijinakkan hatinya agar berkeinginan memeluk Islam sehingga tidak lagi memberikan gangguan kepada umat Islam ataupun golongan yang baru memeluk Islam sehingga mereka tidak kembali kepada agama lamanya.

Mualaf berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perjalanan pengislamannya sehingga sebahagian daripada mereka kehilangan pekerjaan, putus hubungan dengan keluarga dan diusir oleh masyarakat kaumnya. Justeru mereka wajar disantuni dengan memenuhi keperluan hidup dan kebajikan agar dapat merasai nikmat persaudaraan Islam.

Sebagai saudara seakidah, kita berkewajipan membantu dan membimbing mualaf untuk mempelajari Islam dengan sempurna. Bimbingan dan pendidikan agama bagi mualaf sangat penting kerana mereka sebelum ini berasal dari kepercayaan agama yang berbeza.

Di antara hak mualaf yang perlu ditunaikan termasuk menerima zakat, mendapatkan bimbingan dan pendidikan agama serta hak memperoleh keamanan. Apabila dua kalimah syahadah dilafazkan oleh seseorang mualaf, maka harta dan diri mereka tertakluk di bawah undang-undang agama serta terpelihara darahnya dan hartanya.

Perkara ini selaras dengan maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari "Sesungguhnya Miqdad bin 'Amr al-Kindi RA, salah seorang sahabat yang menyertai peperangan Badar bersama Rasulullah SAW. Beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Apakah pandangan tuan, jika aku bertemu dengan seorang lelaki daripada golongan kafir lantas kami saling berbunuhan, dia berjaya menetak salah satu tanganku dengan pedang dan memotongnya. Kemudian pergi berlindung di sebatang pokok dan berkata: 'Aku masuk Islam kerana Allah, adakah boleh aku membunuhnya wahai Rasulullah setelah dia mengucapkannya? Rasulullah SAW bersabda: 'Jangan kamu membunuhnya.' Beliau berkata: 'Wahai Rasulullah SAW, dia telah memotong tanganku, kemudian mengucapkannya setelah itu? Sabda Rasulullah SAW: 'Jangan kamu membunuhnya, jika kamu membunuhnya, maka dia seperti berada di kedudukanmu sebelum kamu membunuhnya dan kamu berada di tempatnya sebelum dia melafazkan ungkapan yang dikatakan.'"

Mualaf berkewajipan melaksanakan seluruh perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya seperti yang dipertanggungjawabkan ke atas umat Islam. Untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna, selain wajib mengucapkan dua kalimah syahadah, kita juga perlu melaksanakan tanggungjawab dalam rukun Islam yang lima seperti mendirikan solat, berzakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadan.

Umat Islam perlu sentiasa mendekati mualaf bagi menjadi umat terbaik yang bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Oleh itu mualaf wajar didekati melalui pendekatan dakwah yang penuh berhikmah. Seruan dakwah kepada golongan mualaf boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan mewujudkan hubungan silaturahim, ziarah menziarahi, mengadakan sesi dialog tentang Islam serta usaha menangani isu-isu kebajikan masyarakat.

Di antara aktiviti yang sesuai dilaksanakan termasuklah program motivasi, gotong-royong, keluarga angkat, sukaneka, kesenian dan hiburan, khidmat masyarakat dan majlis dialog. Orang bukan Islam juga boleh dijemput menghadiri program kemasyarakatan yang dianjurkan. Selain mendekatkan golongan bukan Islam kepada Islam, usaha seperti ini juga dapat mengelakkan ketegangan, mengurangkan salah faham serta merapatkan jurang perbezaan dan penerimaan kelompok minoriti dan majoriti dalam sesuatu masyarakat.

Interaksi yang berlaku di antara penduduk Islam dan bukan Islam dalam masyarakat akan dapat membentuk kesefahaman dan kesepaduan yang menyumbang kepada sikap penerimaan sesama anggota masyarakat. Bahkan interaksi masyarakat Islam dengan bukan Islam melalui sambutan perayaan bersama misalnya secara tidak langsung dapat menarik orang bukan Islam kepada Islam.

Firman Allah SWT dalam surah Ali 'Imran ayat 159 bermaksud: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu, kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya."

Dalam konteks Wilayah Persekutuan, golongan mualaf disantuni melalui pelbagai program kebajikan, kelas pengajian, bimbingan dan pusat perlindungan seperti dilaksanakan di Kompleks Darul Hidayah selain bantuan zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dalam negara kita terdapat ramai dalam kalangan golongan mualaf yang kemudiannya dapat menjadi contoh teladan terbaik dan menyumbang semula sebagai pendakwah dalam masyarakat. Mereka berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi dan menjadi contoh ikutan masyarakat. Keprihatinan kerajaan terhadap pengupayaan golongan mualaf ini dapat dilihat melalui cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini yang berhasrat menghantar mualaf yang terpilih menyambung pengajian agama ke peringkat lebih tinggi serta melantik guru takmir dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Mengambil kira kepentingan ini juga, JAWI turut memasukkan agenda Mualaf Care di dalam Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan demi memastikan program bimbingan dan kebajikan melibatkan golongan ini terus terbela serta akhirnya dapat memainkan peranan penting dalam usaha menegakkan syiar Islam sebagaimana zaman awal pengembangan Islam.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 5:59 AM