X
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

KEPEMIMPINAN adalah amanah yang cukup berat sarat dengan tanggung jawab dan kewajipan. Ini selaras dengan kewajipan sebagai khalifah di atas muka bumi ini yang Allah kurniakan kepada manusia dengan misi membangun dan memakmurkan bumi yang terbentang luas ini.

Kepemimpinan itu bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya adalah tanggungjawab yang cukup getir. Ia bukanlah satu kelebihan atau kemegahan, tetapi satu pengorbanan. Ia juga bukannya kesenangan dan kemewahan, tetapi kerja keras dan usaha bersungguh-sungguh. Bahkan ia bukan tindakan secara semberono dan membuta tuli, tetapi tindakan penuh strategi dan perancangan. Pendek kata, kepemimpinan adalah wadah pembangunan, kemajuan, kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Perlu diinsafi, Islam menganggap bahawa setiap manusia sama ada lelaki mahu pun perempuan secara umumnya adalah seorang pemimpin. Paling minimumnya ialah setiap orang adalah pemimpin terhadap dirinya sendiri dan yang paling tinggi sekali ialah tanggung jawab seorang pemimpin terhadap rakyat bawahannya.

Dalam hal ini, baginda Rasulullah pernah bersabda maksudnya: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya."  (Hadis Riwayat Bukhari)

Jelas daripada maksud hadis tersebut bahawa tanggungjawab dan kewajipan yang terpikul di bahu setiap Muslim adalah berbeza antara satu sama lain bergantung kepada kedudukan dan kuasa kepemimpinan yang diamanahkan kepadanya. Namun tanggung jawab terbesar yang akan dipertanggungjawabkan kelak pada hari akhirat ialah tanggung jawab seorang pemimpin terhadap rakyatnya. Maka tidak hairanlah Rasulullah pernah memberi peringatan kepada setiap pemimpin tentang tanggung jawab seorang pemimpin yang sebenarnya.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, tetapi tidak bersungguh-sungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim) 

Demikianlah betapa besar dan beratnya tanggung jawab seorang pemimpin yang diamanahkan Allah kepadanya kuasa kepemimpinan untuk menerajui rakyatnya ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat. Pemimpin yang baik adalah seorang pemimpin yang sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan rakyat yang dipimpinnya dan tidak sekali-kali mengutamakan kepentingan dirinya, keluarganya mahu pun kerabat terdekatnya.

Lebih daripada itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: "Pemimpin sesuatu bangsa pada hakikatnya adalah pelayan bagi bangsa itu." (Hadis Riwayat Abu Na'im dan  Ibnu Babuwaih) 

Sehubungan itu, memadailah Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rasyidin sebagai contoh ikutan terbaik dalam konteks kepemimpinan yang unggul dalam lipatan sejarah Islam. Rasulullah SAW sendiri adalah seorang pemimpin yang amat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya dan baginda sanggup berkorban demi kesejahteraan rakyatnya. 

Pernah satu hari, Saidatina Aisyah kebingungan untuk menyediakan hidangan makanan untuk dimakan bersama dengan baginda. Di dapur tidak ada apa-apa bahan yang boleh dimasaknya kecuali segenggam gandum. Akhirnya, gandum yang sedikit itulah yang dimasaknya untuk hidangan bersama Rasulullah. 

Tatkala Rasulullah hendak makan, tiba-tiba dari depan pintu rumahnya datang seorang mengucapkan salam, iaitu seorang lelaki yang kurus kering tubuhnya dan pakaiannya nampak lusuh. Dia pun berkata: 'Ya Rasulullah! Saya ini orang miskin. Kami sekeluarga dalam beberapa hari ini menahan lapar kerana kami tidak memiliki apa-apa lagi untuk dimakan. Oleh kerana itu, tolonglah kami…'

Rasulullah hanya terdiam dan baginda tidak tahu bagaimana dia harus menjawab kerana baginda sendiri pun tidak memiliki apa-apa. Akhirnya baginda berkata: "Wahai saudaraku! Aku pun hari ini tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan kecuali sekeping roti bakar. Namun, kalau kamu mahu menerimanya, dengan senang hati akan aku berikan kepadamu. "

Saidatina Aisyah tidak senang hati kerana tidak ada makanan lagi yang dapat mereka berdua makan pada hari itu.

Lalu Aisyah berkata: "Mengapa Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri? "

Baginda menjawab: "Wahai isteriku! Aku adalah pemimpin rakyatku. Kewajipanku adalah memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Ingatlah, bagaimana aku harus menjawab apabila kelak Allah bertanya kepadaku: Wahai Muhammad! Mana tanggung jawabmu sebagai pemimpin? Mengapa rakyatmu kelaparan sedangkan perutmu selalu kenyang? "

Begitulah contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin. Seorang pemimpin berkewajipan untuk memberikan layanan dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang berada di bawah pimpinannya.

Pendek kata, kebahagiaan dan kesengsaraan rakyat merupakan cermin kejayaan atau kegagalan pemimpin berkenaan.

Keadaan ini amat berbeza dengan realiti masyarakat dewasa ini yang rata-rata ramai manusia yang tertipu dengan kekuasaan sehingga mereka sanggup berusaha untuk mendapatkannya dan meraihnya dengan berbagai taktik dan cara biarpun dengan saluran yang kotor dan terlarang sekalipun. Kadang-kadang menyembunyikan agama, keyakinan dan tidak kurang pula ada yang sanggup mempermainkan agama demi kepentingan politiknya. Sedangkan Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras terhadap umatnya melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya kalian semua berlumba-lumba untuk mendapatkan kekuasaan padahal pada hari akhirat nanti akan menjadi penyesalan kamu sekalian. Berbahagialah orang yang tidak mengejarnya dan celakalah orang yang berlumba-lumba mendapatkannya." (Hadis Riwayat Jama'ah) 

Dalam konteks ini, kekuasaan dan amanah kepemimpinan yang dimiliki seseorang manusia jika tidak dilandasi dengan ketakwaan kepada Allah dan kesedaran bahawa kuasa itu adalah amanah daripada Allah yang sifatnya amat terbatas dan merupakan amanah yang harus dipertanggungjawabkan di hadapan-Nya kelak di kemudian hari, maka dia akan cenderung berlaku zalim, sombong, menindas  rakyatnya, mengamalkan kronisme, rasuah dan pelbagai amalan keji yang lain. Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umatnya supaya jangan tersalah pilih pemimpin daripada kalangan mereka.

Sabda baginda SAW maksudnya: "Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Seorang sahabat bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka tunggulah saat kehancurannya." (Hadis Riwayat Bukhari) 

Ringkasnya, kepemimpinan dalam Islam bukan sekadar kontrak perjanjian yang termetri di antara seorang pemimpin dengan masyarakat di bawah pimpinannya, tetapi juga merupakan satu ikatan perjanjian yang suci antaranya dengan Allah dalam menjunjung titah dan perintah Ilahi dan menjauhi daripada segala larangan-Nya. Seorang pemimpin yang sebenar akan berkhidmat kerana Allah dan akan berjuang menegakkan keadilan Islam demi kesejahteraan hidup rakyatnya.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 9:42 AM