SETIAP Muslim perlu melakukan muhasabah setiap malam, khususnya sebelum tidur dengan membuka lembaran perlakuan sepanjang hari bagi memeriksa untung ruginya ‘urus niaga’ pada hari berkenaan.
SETIAP Muslim perlu melakukan muhasabah setiap malam, khususnya sebelum tidur dengan membuka lembaran perlakuan sepanjang hari bagi memeriksa untung ruginya ‘urus niaga’ pada hari berkenaan.
Profesor Emeritus Dato' Zakaria Stapa

ADALAH perlu difahami mengenai ajaran Islam yang mengajarkan bahawa seluruh kehidupan duniawi makhluk manusia  bersama dengan segala apa jua yang terdapat di sekeliling mereka dalam kehidupan duniawi itu adalah  satu ruang niaga luas terbentang yang semestinya diceburi  tanpa ada pilihan lain.

Sama ada secara sedar atau secara tidak sedar  oleh makhluk manusia bagi mendapatkan habuan sama ada untung atau rugi.  Sebagai contoh hal ini terungkap dalam al-Quran menerusi istilah atau perkataan tijarah (perniagaan) seperti dalam ayat ke-10 Surah al-Saf dan ayat ke-16 Surah al-Baqarah.

Transaksi perniagaan ini sesungguhnya berlaku secara langsung di antara makhluk manusia dengan Allah SWT sendiri.  Modal dan segala kelengkapan untuk terlibat dalam perniagaan tersebut sudah sedia diberikan oleh Allah SWT kepada manusia.  Modal berkenaan ialah umur manusia itu sendiri dan kerana itu sebagai mana dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya' 'Ulum al-Din, setiap nafas yang dimiliki oleh manusia dalam kehidupan mereka itu adalah bagaikan mutiara yang amat berharga yang mesti dijaga dengan baik dan digunakan secara optimum untuk beroleh keuntungan lumayan dalam urus niaga bersifat ontologi yang ditetapkan oleh Allah kepada makhluk manusia. 

Dalam konteks gagasan Islam tentang kehidupan manusia merupakan sebuah perniagaan ini, maka manusia yang beroleh keuntungan dalam urus niaga tersebut adalah memihak kepada jenis manusia yang dijelaskan oleh al-Quran misalnya dalam ayat 11 Surah al-Saf iaitu golongan yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya  dan seterusnya berjuang atau berjihad dalam membela dan menegapkan agama Allah menerusi penggunaan sama ada  harta benda, diri atau jiwa raga.

Sedangkan golongan yang terperangkap dalam kerugian pula seperti terungkap misalnya dalam ayat 16 Surah al-Baqarah adalah memihak kepada golongan manusia: "...Yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk". Ini bermakna golongan yang rugi ini adalah golongan yang menghabiskan umur atau modal yang dimiliki dengan sibuk dalam urus niaga yang tersasar, lalu tenggelam dalam kesesatan.

Kemudian bertitik tolak daripada gagasan seperti di atas juga, timbul keperluan melakukan audit terhadap kegiatan urus niaga berkenaan bagi mendapatkan maklumat tepat tentang untung ruginya perniagaan tersebut.  Dan sesungguhnya pelaksanaan audit inilah yang dimaksudkan dengan praktik muhasabah.

Istilah muhasabah pada dasarnya merujuk kepada gerak kerja memerhati, mengawasi dan merenung perkara baik dan buruk yang dilakukan termasuk memperhatikan niat dan tujuan sesuatu perbuatan, malahan pelbagai gerak, diam serta lintasan fikiran sambil menghitung untung rugi semua perkara berkenaan.

Ia bertujuan mempertingkat lagi mana-mana perbuatan yang sedia baik dan membuat penambahbaikan terhadap perbuatan yang tidak baik.  Di samping itu, semua hal ini secara sekali gus pula dijadikan landasan persiapan dan strategi untuk hari-hari mendatang dalam melaksanakan kewajipan terhadap Allah SWT.  Ini bermakna bahawa praktik muhasabah adalah suatu kerja penggeledahan dan penambahbaikan yang mencakup perkara yang telah berlaku, yang sedang dilakukan, malah yang akan dilakukan pada masa depan. 

  • Kaedah muhasabah secara umumnya dilaksanakan dengan memberi fokus kepada empat perkara berikut:

    1. Muhasabah terhadap perkara wajib

    2. Muhasabah terhadap perkara terlarang

    3. Muhasabah terhadap kelalaian

    4. Muhasabah terhadap kata-kata yang diucapkan

    Penggeledahan terhadap perkara di atas adalah untuk mengenal pasti kesalahan atau kekurangan pada aspek berkenaan bagi tujuan pembetulan seperti yang dikehendaki oleh ajaran Islam. Justeru, muhasabah merupakan satu instrumen yang disediakan oleh bidang akhlak Islam untuk mengesahkan bahawa seseorang Muslim itu berupaya untuk sentiasa berada dalam keadaan yang diredai Allah dalam semua laku perbutannya zahir dan batin. 

    Waktu yang biasanya digunakan untuk melakukan muhasabah ialah setiap malam, khususnya sebelum tidur dengan membuka lembaran perlakuan sepanjang hari berkenaan bagi memeriksa untung ruginya 'urus niaga' pada hari berkenaan sebelum ditutup akaun harian.

    Ternyata bahawa menerusi praktik muhasabah yang merupakan satu bentuk audit dalaman yang dilaksanakan secara berterusan itu boleh melahirkan manusia Muslim yang tegap berdiri dengan jati diri keislaman tulen atas asas bahawa laku perbuatan yang muncul daripada Muslim berkenaan adalah hanya apa yang selaras dengan iradah dan keredaan Allah.

    Oleh kerana praktik muhasabah merupakan satu instrumen yang berupaya menggeledah ke akar umbi laku perbuatan seseorang bagi menyahkan perlakuan yang tidak selaras dengan iradah Allah, lalu diperkukuhkan hanya laku perbuatan yang diredai oleh Allah.  Justeru, ia merupakan instrumen yang amat penting dan perlu digunakan semaksimum mungkin dalam proses penstrukturan semula gaya hidup Muslim semasa yang sedang terperangkap dalam kemelut keruntuhan akhlak yang amat parah dalam pelbagai sektor kehidupan bermasyarakat.

    Penulis Profesor Emeritus Pengajian Islam  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 7:00 AM