VIENNA, Austria lengang selepas pelaksanaan perintah berkurung akibat pandemik Covid-19.
VIENNA, Austria lengang selepas pelaksanaan perintah berkurung akibat pandemik Covid-19.
Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah

KETIKA majoriti rakyat Malaysia sedang sibuk dengan Belanjawan 2021 dan Covid-19,  ramai tidak sedar dengan serangan pada 2 November lalu di Vienna, Austria.  Serangan ini mengorbankan empat orang dan mencederakan 23 serta menggemparkan dunia, apatah lagi di sebuah negara yang aman, neutral dan  tidak terlibat dalam memerangi Daish.

Di sebalik peristiwa menyedihkan ini dan meningkatkan sentimen Islamophobia di seluruh dunia, kita perlu belajar sesuatu.

Pertamanya agensi keselamatan perlu memahami pemikiran  pengganas dan potensi serangan lone wolf berlaku agar  tindakan pencegahan dapat dilakukan. Serangan Vienna tidaklah berlaku secara spontan, dirancang pada waktu malam dan di  kawasan membeli-belah dan makan minum yang  padat. Apa yang  lebih menarik ia dirancang pada malam terakhir sebelum perintah berkurung bermula keesokan malamnya iaitu dengan tujuan memastikan kematian dan kecederaan adalah maksimum kerana  lebih ramai orang keluar untuk membeli-belah dan makan minum berbanding biasa. Dalam pada pemimpin Austria menyatakan ia serangan ke atas nilai, demokrasi dan cara hidup Eropah, mereka gagal memahami si penyerang sebenarnya menyahut seruan Daish  untuk melancarkan serangan di negara masing-masing dan penyerang sememangnya berniat 'untuk  mati  syahid' dalam  serangan. 

Keduanya, serangan ini menzahirkan kegagalan agensi perisikan BVT Austria. Di sebalik usaha agensi ini memantau warganya yang radikal, yang berusaha menyokong Daish serta  militan yang pulang dari Syria, kes ini menunjukka kegagalan BVT  mengambil tindakan pencegahan dan pemantauan yang  berkesan.  Penyerang dikenal pasti sebagai penyokong Daish, ke pernah Turki pada 1 September 2018  ketika  berumur  18  tahun,  sempat  berlindung  di safe house Daish di dalam Turki,  ditahan  di Turki beberapa bulan sebelum kembali ke Austria pada Januari  2019 sebagai Foreign Terrorist  Fighter.  Selain  itu,  penyerang juga diketahui berusaha menyertai Daish di Afghanistan. Kegagalan ini bertambah besar apabila penyerang cuba membeli  peluru  AK-47  di Slovakia pada Julai 2020, tetapi gagal kerana  tiada  lesen senjata api dan pihak polis Slovakia sudah memaklumkan  pasukan keselamatan Austria tentang perkara ini, tetapi  tidak  diberikan perhatian sewajarnya. Pengawasan BVT  juga gagal  apabila  tidak dapat menilai kehidupan penyerang yang 'kelihatan selamat  diserap ke dalam masyarakat' tetapi masih memiliki ideologi ini  serta menyimpan peluru dengan banyak di rumahnya. 

Ketiganya,  serangan  ini  menunjukkan  kegagalan  program  deradikalisasi  di Austria.  Penyerang dipenjaraka  selama  22  bulan bermula  25 April 2019 kerana hendak menyertai Daish di  Syria dan dibebaskan selepas 8 bulan pada Disember 2019.  Selain  berjaya  mempengaruhi peguamnya bahawa beliau sama sekali  tidak  berbahaya, apa yang lebih mengaibkan adalah penyerang  berjaya  memperdaya agensi dan NGO yang terlibat dalam program  deradikalisasi dengan mengikuti program deradikalisasi  dengan  baik,  berkelakuan baik, berjaya menyakinkan pihak berkuasa bahawa  beliau tidak lagi memiliki kepercayaan radikal (seperti mengecam  'serangan jihad' di Perancis), menipu pegawai terlibat  dan dibebaskan lebih awal dengan terma lebih  mudah. Situasi  ini  menyamai kes Usman Khan di United Kingdom yang menjalani  separuh dari hukumannya, mengikuti semua program pemulihan, tetapi membunuh dua orang di London pada 2019  tidak  lama  selepas dibebaskan.

Di peringkat lebih tinggi, serangan ini memperlihatkan kelompangan undang-undang dan kegagalan dasar kerajaan Austria. Beliau  dibebaskan lebih awal kerana undang-undang Austria bagi pesalah  muda, manakala senjata api mudah diperoleh kerana  undang-undang pemilikan senjata api yang ringan di Austria  kerana  ramai warganya suka berburu. Sekitar 2014 hingga 2017, Austria  melihat lonjakan radikal Muslim yang berusaha menyertai Daish di Syria dengan sebahagian mereka dipengaruhi pendakwah dan  komuniti masjid  tertentu, tetapi tiada dasar yang jelas untuk  mengatasi masalah  ini. Muslim yang lahir di Austria pula  mempunyai jurang pendidikan  yang  tinggi, tiada prospek  hidup, didiskriminasi dan tidak diintegrasi  ke dalam masyarakat dan  ini  akhirnya mewujudkan pihak yang bersimpati dengan Daish dan 'melahirkan pengganas dalam negara' apabila  tiba masanya.

Serangan ini juga memperlihatkan sifat bermuka-muka media dan  pemimpin Barat  kerana dengan mudahnya menggelar penyerang  sebagai 'pengganas Islam' tetapi dua warga Austria  berketurunan  Turki dan  seorang berketurunan Palestin yang dengan beraninya  menyelamatkan polis yang tercedera  dan  wanita dalam serangan tersebut tidak pula diangkat  sebagai hero Islam.  Ringkasnya  walaupun Malaysia  aman, tiada kemasukan warga asing dan semua pihak sibuk dengan Covid-19, kita tidak boleh leka kerana  kelekaan itu akan membuka ruang pengganas melakukan sesuatu yang tidak  dijangka.

Penulis Pakar Rujuk Kes Keganasan (Sosma) dan Felo Kanan  Bersekutu, Institut Islam Hadhari UKM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:59 AM