MARILAH kita kembali kepada Allah SWT dan mohon keampunan-Nya agar musibah banjir dan Covid-19 akan segera berakhir. FOTO Arkib NSTP
MARILAH kita kembali kepada Allah SWT dan mohon keampunan-Nya agar musibah banjir dan Covid-19 akan segera berakhir. FOTO Arkib NSTP
Fahimi Zakaria

Negara dikejutkan dengan banjir besar ketika statistik kes jangkitan Covid-19 meningkat yang seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga pula. Kedua-duanya menjejaskan kelangsungan hidup termasuk pengangkutan, pendidikan dan pekerjaan yang akhirnya membawa kepada krisis ekonomi negara ke tahap yang meruncing. Kawasan pantai timur seperti Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor kini mengalami banjir yang semakin serius akibat paras air yang semakin tinggi selepas hujan lebat sejak hujung tahun lepas.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat ini berpunca dari angin monson timur laut yang berlaku setiap tahun dari November ke Mac yang membawa hujan terutama ke kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak. Akibat dari tiupan angin monson ini melumpuhkan negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia pada waktu ini, bahkan lebih menyedihkan media melaporkan beberapa kes kehilangan nyawa disebabkan lemas dan hanyut dalam arus air yang deras.

Kita wajar menyedari apa yang sedang kita hadapi pada waktu ini ialah musibah yang datang daripada pemilik segala makhluk, yakni Allah SWT. Banyakkan mengucap lafaz yang mulia seperti saranan al-Quran yang bermaksud: "Orang yang bersabar apabila ditimpa musibah mereka berkata, 'Sesungguhnya kita milik Allah dan kita pasti akan kembali kepada-Nya." (al-Baqarah: 156)

Imam Ibnu Kathīir ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah SWT akan menguji hamba-Nya dengan pelbagai musibah seperti ketakutan, kelaparan, kehilangan harta, nyawa dan hasil tanaman sebagai berita gembira buat hamba-Nya yang sabar. Maka orang yang sabar akan sentiasa sedar bahawa semuanya milik Allah SWT dan Dia berhak melakukan apa sahaja menurut kehendak-Nya. Mereka juga meyakini bahawa kesabaran itu pasti akan dibalas dengan pahala yang besar pada hari akhirat. Lantas mereka musahabah dan menyesali perbuatan mereka kerana kelak akan kembali (perhitungannya) di padang Mahsyar (Tafsīr Ibn Kathīr).

Justeru, manfaatkan waktu sempit ini dengan menjaga perintah Allah SWT khususnya ibadah fardu seperti solat lima waktu dan berusaha sedaya upaya menjauhi dosa dan maksiat yang berlaku akibat banjir seperti pendedahan aurat di pusat penempatan, percampuran lelaki perempuan yang disengajakan dan meremehkan ibadah dengan alasan darurat. Laksanakan solat walaupun terpaksa menggunakan air banjir selagi mana selamat dan cukup untuk keperluan wuduk. Jangan menyusahkan dengan perkara yang sunat sehingga mengganggu kesempurnaan perkara yang wajib.

Berkata Imam Ibnu Bāz sesungguhnya musibah ini datang dalam dua bentuk iaitu ujian dan bala. Jika musibah itu datang ke atas orang Mukmin, maka musibah itu sebenarnya ujian untuk mengampuni dosanya dan mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Namun jika musibah itu ke atas orang fasiq, maka ia suatu bala bencana untuk memberi amaran yang keras supaya mereka bertaubat dan kembali kepada-Nya. (Majmū' al-Fatāwā)

Semoga banjir dan bencana yang sedang menimpa kita ini sebagai ujian yang menjadi sebab keampunan dan kasih sayang Allah SWT kepada kita semua, Insya-Allah.

Seterusnya berusahalah untuk memahami kaedah pelaksanaan ibadah ketika waktu yang sukar seperti ketika hujan lebat dan banjir sekarang. Sebagai contoh, keharusan solat dalam keadaan pakaian yang basah, pengurusan jenazah dalam keadaan air yang terhad untuk keperluan wuduk, solat jamak disebabkan sukar atau bahaya untuk mendirikan solat secara sempurna dan sebagainya. Info seperti ini boleh diperoleh daripada pihak berwajib agama seperti Jabatan Mufti, Majlis Agama dan laman sesawang yang berkaitan. Bahkan terdapat aplikasi maya seperti Fiqh Banjir, Fiqh Bencana dan sebagainya yang boleh dimuat turun secara terus dari telefon pintar yang banyak dimiliki oleh pengguna hari ini.

Sebagai Muslim, ingatlah bahawa musibah ini sewajarnya mengajar kita sentiasa insaf dan mengingati Allah SWT. Kita sepatutnya mengambil pengajaran daripada al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: "Apa sahaja musibah yang menimpa manusia (sebenarnya) disebabkan perbuatan (dosa) mereka, lalu Allah memaafkan (mengampuni dosa) mereka." (Surah As Shura: 30)

Beginilah sikap terpuji orang Mukmin, iaitu setiap ujian yang menimpanya pasti akan kembali menyalahkan dirinya dan kembali kepada Allah SWT dengan membanyakkan taubat. Lalu Allah SWT mengampuni dosa dan memuliakannya ke tempat yang lebih tinggi.

Mudah-mudahan musibah ini mendekatkan kita kepada Allah SWT. Barang kali juga ia sebagai teguran kasih sayang-Nya untuk kita agar lebih takut dan bertakwa kepada-Nya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kita tidak langsung mengambil pengajaran atas musibah yang sedang melanda negara, bahkan tiada perasaan menyesal dan menginsafi perbuatan diri sendiri sehingga mengundang pelbagai musibah. Marilah kita kembali kepada Allah SWT, mohonlah keampunan-Nya yang seluas langit dan bumi. Bersama kita berdoa semoga Allah SWT mengangkat musibah ini dan mengembalikan kita dalam kehidupan yang selamat dan aman.

Penulis pensyarah di Management & Science University (MSU)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:20 AM